Membina semula Terengganu perlu audit kewangan terperinci

Membina semula Terengganu perlu audit kewangan terperinci

Tan Sri Khalid Ibrahim digesa memastikan kerajaan Terengganu mengenalpasti liabiliti melalui audit serta masalah infrastruktur pelaburan negeri terdahulu untuk mendapat gambaran sebenar yang lebih jelas.

Pengerusi AMANAH Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, budaya serta “work culture” di Terengganu agak berbeza dengan pantai barat dan kepakaran serta pandangan anak tempatan di perlukan bagi menangani isu semasa di negeri itu.

Katanya, pandangan dewan-dewan perniagaan tempatan serta ahli-ahli profesional dan korporat tempatan Terengganu perlu di beri tumpuan utama dalam usaha mengorak langkah ke hadapan.

“Kerajaan negeri dan Tan Sri Khalid perlu menyatakan situasi hutang negeri sepenuh dan sebenarnya kepada rakyat Terengganu sebelum memulakan usaha membina semula negeri Terengganu yang kita sayangi ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas pelantikan Khalid sebagai Penasihat Ekonomi oleh Kerajaan Terengganu katanya rakyat negeri itu wajar diberitahu kedudukan sebenar ‘kesihatan’ kewangan negeri setelah begitu lama digelar dan berlagak seperti Kuwait Malaysia.

“Seperti sedia maklum selepas 40 tahun pengeluaran minyak dan gas malangnya, Terengganu masih di antara 4 negeri termiskin di Malaysia.

“Kalau dahulu semasa waktu Tan Sri Wan Mokhtar menjadi Menteri Besar telah diujudkan Tabung Warisan negeri untuk generasi akan datang, kenapa dananya di beritakan telah kosong hari ini ? Soalan sekarang bukan hanya untuk berbelanja untuk hari ini tetapi perancangan masa hadapan apabila minyak dan gas Terengganu sudah tiada lagi,”ujarnya.

Tegas beliau, hutang kerajaan Terengganu dengan kerajaan pusat yang di percayai sedang bertambah hampir RM 1 billion adalah hanya sebahagian sahaja dari hutang negeri, tetapi hutang negeri dengan pihak swasta lain perlu di nyatakan sepenuhnya juga.

“Ada berita menyatakan hutang melalui projek-projek “deferred repayment” – bayaran hutang secara tertangguh, dengan kontraktor-kontraktor swasta melebihi sekali ganda atau lebih dari hutang dengan kerajaan pusat.

“Ini adalah hampir sama caranya kerajaan Dato Najib cuba menyorok hutang penuh sebenarnya negara kepada rakyat umum. Akhirnya anak, cucu serta cicit kita juga akan menanggung bebanan hutang ini untuk beberapa generasi yang akan datang,”katanya.

Oleh kerana itulah, katanya Tun Dr Mahathir terpaksa mencari pinjaman luar negara dengan kadar faedah yang lagi murah untuk mengatasi bebanan hutang jangka masa panjang ini.

“Rakyat Terengganu perlu di beri tahu keadaan hutang sebenarnya dari kerajaan UMNO- BN dahulu.

“Ini tidak lagi termasuk keperluan membaiki projek Mega yang rosak dan terbengkalai peninggalan kerajaan UMNO- BN seperti Taman Ilmu, Pusat Bebas Cukai Kenyir, Stadium Bola Sepak Gong Badak serta Kolam Renang yang berjumlah sekitar RM1 billion kesemuanya.

“Ini semua perlu di kenalpasti dan di ketahui sebelum Tan Sri Khalid boleh memberi gambaran keseluruhannya kepada kerajaan Terengganu.

“Walaupun Tan Sri Khalid berjaya membawa pelabur dan pembangunan ke Selangor, tetapi
senario di Terengganu agak jauh berbeza.

“Terlalu banyak lubang dan tebing yang runtuh perlu di perbaiki di Terengganu sebelum kita boleh membina jalan kukuh yang lurus ke masa hadapan yang lebih cerah bagi generasi akan datang anak Terengganu,”katanya.

 

 

CATEGORIES
TAGS