Malaysia Dateline

Membodoh untuk mencari jawapan bijak

Hari ini penulis ingin membodoh-bodohkan diri. Namun, ia bukanlah untuk tujuan mencari jodoh. Sebaliknya, bertujuan mengemukakan beberapa persoalan kepada cerdik-pandai yang mengendalikan krisis Covid-19 yang menyemarak ketika ini. Soalan-soalan ini tercetus dalam minda bodoh penulis apabila melihat cara wabak ini diurus dan cara PKP dilaksanakan di negara ini.

Kita selalu mendengar bahawa keputusan-keputusan mengenai pengurusan wabak Covid-19 dan PKP diputuskan secara dipacu data atau “data driven”. Bila dengar ungkapan “data driven” mungkin kita merasakan ia suatu yang canggih.

Namun, ungkapan ini sebenarnya bersifat umum dan tidak memberi kita gambaran yang jelas mengenai data dan kaedah analisis yang digunakan mahu pun hasil dari analisis yang dilakukan.

Seorang pelanggan yang memesan makanan dari menu di sebuah restoran juga membuat keputusan yang “data driven”. Seorang bomoh yang menentukan rawatan yang diperlukan selepas meneliti air dalam mangkuk atau asap kemenyan juga boleh mendakwa dia membuat keputusan yang “data driven”.

Demikian juga dengan penyelidik yang mendakwa mereka telah menemui rawatan untuk penyakit tertentu berdasarkan sampel yang hanya melibatkan sedozen atau dua dozen peserta kajian. Semuanya “data driven”. Namun, tidak semua data yang digunakan sah dan tidak semua analisis yang dilakukan adalah berdasarkan model yang mempunyai nilai prediktif yang kuat.

Saya bertanyakan soalan ini kerana walau pun sudah setahun setengah terjejas dengan Covid-19 dan kita kini berada dalam pelaksanaan PKP 3.0, keputusan mengenai tempoh PKP masih dibuat untuk dua minggu sahaja.

Bukankah data dari pengalaman tahun lepas menunjukkan ketika jangkitan mencapai tiga angka kita memerlukan lebih dua bulan untuk melandaikan jangkitan wabak ini?

Adakah pada ketika jangkitan telah mencapai empat angka jangkitan ini akan dapat dilandaikan dalam tempoh dua minggu? Kemungkinan besar bomoh di kampung pun dapat menelah bahawa kita memerlukan masa yang lebih lama untuk mengawal wabak Covid-19 ini.

Rakyat, khususnya peniaga-peniaga, memerlukan ketentuan untuk merancang. Keputusan pelaksanaan PKP yang dibuat bagi tempoh dua minggu-dua minggu ini hanya menimbulkan ketidaktentuan.

Demikian juga, taklimat yang diberi setiap hari menunjukkan sebahagian besar dari jangkitan Covid-19 yang berlaku masih lagi pada kelompok-kelompok tempat kerja. Ini bukanlah suatu yang baharu kerana tiga hingga empat bulan lalu pun keadaannya sama.

Persoalannya, mengapa keadaan ini masih berterusan dalam keadaan pelaksanaan PKP yang dikatakan “total lockdown”. Bukankah analisis yang “data driven” sepatutnya menunjukkan bahawa kelompok-kelompok tempat kerja ini harus dibendung dengan cepat?

Dan adakah analisis yang “data driven” ini menunjukkan mereka yang keluar berjogging di luar kawasan mereka tinggal adalah punca utama kelompok jangkitan sehinggakan perlu dihalang?

Analisis yang “data driven” hanya memberi manfaat jika ia digunakan untuk menjawab persoalan yang strategik. Sesiapa yang pernah menulis tesis sedia maklum kepentingan soalan penyelidikan dalam menentukan kaedah penyelidikan dan seterusnya pengumpulan serta analisis data.

Keadaan di mana langkah-langkah lama masih digunakan untuk menyelesaikan masalah yang semakin rumit dan parah menimbulkan persoalan adakah mereka yang bertanggunjawab jelas persoalan yang harus mereka tanya ketika menganalisis data.

Lori ketum

Selain itu, dalam mengurus sesuatu krisis adalah penting mereka yang terbabit bercakap dengan satu suara. Sesiapa yang pernah membina rumah akan tahu betapa kontraktor amat tidak menyukai apabila pelanggan mereka tidak bercakap dengan satu suara.

Si suami ingin bumbungkan warna biru. Kemudian isteri pula tidak setuju dah mahukan bumbung warna merah. Si suami mahukan laman belakang yang lapang supaya boleh bermain badminton, si isteri pula mahukan laman belakang mempunyai ”rock garden”. Poning eh kontraktor!

Maka demikian juga rakyat bila berdepan pemimpin-pemimpin yang tidak sekata dan saling bercanggahan. Dalam penguatkuasaan peraturan mengenai rentas daerah. Berlaku keresahan di kalangan rakyat apabila ada pegawai polis yang mentafsirkan sempadan daerah berdasarkan daerah polis dan bukan daerah PBT.

Kita melihat baru-baru ini pegawai KKM membuat kenyataan mengenai darurat yang kemudiannya disanggah oleh seorang menteri. Kita juga telah menyaksikan pengurusan ding dong dalam isu surat kebenaran beroperasi dan untuk tujuan rentas daerah dan rentas negeri.

Keputusan melaksanakan sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) di pusat beli belah juga telah turut menjadi isu. Ia menimbulkan kekeliruan dan keresahan kerana pemilik-pemilik mall tidak diajak berbincang terlebih dahulu. Demikian juga dengan keputusan melaksanakan vaksinasi melalui klinik-klinik perubatan swasta.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah menyuarakan kekecewaan kerana tiada perbincangan di antara kerajaan dengan pengamal-pengamal perubatan swasta terlebih dahulu. Bukankah keputusan-keputusan ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan licin jika pihak-pihak berkepentingan di bawa berbincang terlebih dahulu?

Bukan sedikit rakyat yang terpukul teruk akibat pelaksanaan siri PKP yang tidak berkesudahan.

Tahun lalu, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan amat penting membantu rakyat yang terjejas. Mereka merupakan punca bekalan makanan bagi sejumlah keluarga yang terputus bekalan makanan.

Pada PKP 3.0 ini NGO menghadapi masalah membantu rakyat kerana penguatkuasaan peraturan pergerakan menyulitkan mereka bergerak untuk mendapatkan bantuan dan memberi bantuan.

Ada NGO yang berjaya mendapatkan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi tetapi ada yang tidak diberikan kelulusan.

Yang anehnya, satu kumpulan penjenayah berjaya mendapatkan kelulusan MITI dan menggunakan surat itu untuk merentas negeri dan pergi merompak di Melaka!

Pada 21 Jun lalu pula sebuah lori membawa 1,505 kg daun ketum ditahan polis dan turut didapati memiliki surat MITI! Sepatutnya ada kementerian yang memainkan peranan menyelaraskan dan memudahcarakan usaha oleh NGO-NGO ini. Setakat ini, kita hanya mendengar YB Hannah Yeoh menyuarakan isu ini.

Mengapakah pemimpin-pemimpin tidak memikirkan dengan teliti keputusan-keputusan yang mereka ambil? Tahun lalu, kebanyakan rakyat menunjukkan sikap memahami memandangkan itu adalah kali pertama PKP dilaksanakan.

Tetapi kenapakah pembuatan keputusan ding dong masih berterusan pada tahun 2021? Prestasi pengurusan krisis tahun ini sepatutnya jauh lebih baik dari tahun lalu.

Jika tahun lalu kita kurang bijak, pada tahun ini kita sepatutnya lebih bijak. Dalam suasana krisis, pemimpin-pemimpin harus bertindak ibarat kumpulan boria atau dikir barat. Adalah menggusarkan bila mereka bertindak ibarat orang berjoget lambak.

Kita memerlukan perancangan dan strategi yang bijak untuk pulih dari wabak Covid-19 ini. Sudah tentu ada makna yang mendalam apabila Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan bahawa Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan baru-baru ini merupakan satu pelan yang tidak mempunyai strategi.

Selepas meneliti pelan pemulihan berkenaan, penulis bodoh ini pun dapat memahami kenapa Rafidah berkata sedemikian.

Pepatah Cina mengatakan “ikan akan mula mereput dari kepalanya”. Demikianlah juga apabila wujud kebingungan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat bawahan.

Kerajaan tiada perancangan dan strategi yang bijak untuk pulih dari wabak Covid-19.