Malaysia Dateline

Memburukkan saudara semuslim berdosa besar, kata Nik Abduh

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz membidas sesetengah pihak yang tidak mahu mempertahankan hak saudara semuslim iaitu bangsa Rohingya supaya berdiam diri sahaja.

Katanya, bersuara dan memburukan saudara semuslim yang ditindas oleh kezaliman musuh Islam adalah berdosa besar.

“Ia membunuh nilai Ramadhan anda. Ia membunuh jiwa dan nurani anda. Ia menarik sifat rahmah kurniaan Allah dalam jiwa setiap muslim.

“Ingat, ia hanyalah propaganda musuh yang dirancang rapi untuk menidakkan hak Rohingya di negara asal mereka,” katanya dalam lontaran di Facebooknya.

Katanya, fitnah yang nyata ke atas umat Islam adalah untuk memecahbelahkan umat Islam

Kata beliau, propaganda musuh “Rohingya tiada hak di Myanmar kerana mereka bangsa bodoh, malas, jahat, menyusahkan dan tak bertamadun adalah fitnah yang nyata untuk memecahbelahkan Umat Islam.

“Lihatlah, mereka telah menyusahkan rakyat Malaysia. Begitulah kami di Myanmar menjadi susah kerana kejahatan dan keburukan mereka. Jangan menyambung lidah fitnah musuh ke atas Muslim Rohingya,” ujarnya.

Nik Abduh juga meminta rakyat Malaysia jangan menjadi sombong sebaliknya bersyukur dengan menolong dan membantu umat yang tertindas.

“Jangan sombong wahai Malaysiaku. Berfikirlah untuk menyelesaikan isu, bukan melangsaikan kebencian dan dendam.

“Jangan diri merasa hebat menjulang Ustaz Ebit Liew sebagai duta kasih sayang negara, tetapi dalam masa yang sama meninggalkan akhlak mulianya menyantuni orang-orang yang susah, apatah tertindas,” katanya.