Mementaskan “Teater di Sawah Padi” di Kuala Lumpur

Mementaskan “Teater di Sawah Padi” di Kuala Lumpur

Timbunan jerami padi sudah siap diproses di gudang PPK Pasir Panjang. TdSP Muzika Uda Dan Dara akan menggunakan banyak jerami ini dalam pementasan Oktober nanti.

Saya sedang berkarya. Teater yang saya pentaskan di sawah padi di Parit Dua Barat, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 12 & 13 Ogos 2017, “Muzika Uda Dan Dara”, telah mendapat perhatian Pengarah Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur, untuk menjadi acara utama dalam festival tersebut pada Oktober tahun ini.

Alhamdulillah. Tetapi membawa teater yang saya namakan Teater di Sawah Padi atau TdSP itu bukanlah mudah. Walaupun teater itu dibuat berdasarkan karya terkenal Usman Awang “Muzika Uda Dan Dara”, saya telahpun menterjemahkannya menjadi Teater di Sawah Padi (TdSP).

Teater di Sawah Padi (TdSP) maksudnya teater itu dipentaskan di sawah padi, yakni di dalam petak sawah padi. Itulah yang kami lakukan pada tahun 2017 itu. Kami mencari lokasi yang sesuai di kawasan sawah padi di Tanjung Karang dan Sabak Bernam, dan akhirnya kami memilih satu kawasan di Parit Dua Barat, Sabak Bernam.

Apabila Datin Sunita Rajakumar, Pengarah Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur mendengar mengenainya, dia menjemput saya mementaskannya di Kuala Lumpur, dalam festival berkenaan. Saya kata teater ini mesti dipentaskan di dalam sawah padi, dan saya mencadangkan ia dibuat di lokasi yang paling dekat dengan Kuala Lumpur, iaitu di Kuala Selangor.

Sunita kata pementasan dalam festival itu mestilah dibuat di Kuala Lumpur, kerana festival seni tersebut ialah festival seni Kuala Lumpur. Saya bersetuju. Tetapi sawah padi hendaklah diwujudkan di Kuala Lumpur. Sunita pun bersetuju.

Perbincangan itu berlaku pada tahun lalu. Kita cuba membuatnya, tetapi masa tidak mengizinkan, kerana banyak persiapan perlu dilakukan. Tahun ini kita mencuba lagi. Sunita mendapat kebenaran asas daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mementaskannya di Dataran Merdeka.

Apabila kita bermesyuarat saya dapati peraturan-peraturan yang memang ada di sekitar penggunaan padang Dataran Merdeka itu agak ketat. Tambahan pula jumlah hari yang boleh digunakan agak terhad, iaitu tak lebih daripada 10 hari untuk segala persiapan (saya memerlukannya tidak kurang daripada satu bulan), maka saya mencadangkan lokasinya dipindahkan ke Padang Merbok.

Penulis bersama pegawai tani PPK Pasir Panjang, Sabak Bernam, meninjau benih padi di tapak semaiannya, untuk kemungkinan dugunakan untuk teater,

“Mewujudkan sawah padi” di tengah-tengah kota kosmopolitan Kuala Lumpur itu memang suatu cabaran besar. Tidak ada siapa pun yang tahu betul bagaimana membuatnya. Saya hanya mengharapkan dan percaya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Tentulah mereka tahu. Di bawah kementerian itu ada beberapa agensi yang berkaitan dengan padi.

Saya membawa pasukan kerja PAKSI (Seniman Paksi Rakyat) bertemu dengan menterinya Datuk Salahuddin Ayub, membincangkan perkara ini. Tidak sukar untuk menjelaskannya kepada menteri dan mendapatkan persetujuan asasnya.

Nampaknya proses mendapatkan persetujuan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk pakej kerjasama bagi menjayakan pementasan ini, memerlukan waktu yang lebih panjang. Sunita bukan sahaja perlukan kerjasama DBKL untuk penggunaan padang (Dataran Merdeka atau Padang Merbok), tetapi juga sokongan dan bantuan mereka dalam hal muzik, peralatan pementasan seperti pencahayaan dan siaraya dan sebagainya.

Walaupun kami juga berjumpa dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan mendapatkan restu serta kerjasama pihaknya, namun dalam hal-hal pelaksanaan yang lebih terperinci, lampu hijau daripada pihak Datuk Bandar adalah diperlukan.

Memang. Konsep pementasan TdSP adalah suatu konsep baru dalam pementasan teater. Ia melibatkan banyak hal-hal baru yang sebelumnya tak pernah terlibat dalam kerja-kerja teater. “Mensawahpadikan” suatu lokasi seluas kira-kira satu ekar di tengah-tengah kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur, misalnya, adalah suatu kerja yang tak pernah terfikirkan sebelumnya sebagai suatu kerja teater.

Itu kerja pertanian, memang. Tetapi teater pun boleh melibatkan macam-macam perkara asal saja ada kaitannya. Skrip “Muzika Uda Dan Dara” Usman Awang itu memang mengangkat kehidupan petani di sawah padi.

Apatah lagi dengan perwatakan bebas-merdeka si Utih yang mewakili jiwa seniman-pujangga Usman Awang sendiri, dan perwatakan petani pemberani si Malim melawan penindasan kapitalis itu – sawah padi yang luas terbentang itulah alam kehidupan mereka.

Tetapi cabarannya ialah bagaimana “mewujudkan sawah padi” itu di Padang Merbok, agar ia dapat menarik perhatian orang ramai. Seperti disebut di atas tadi, saya dan pasukan pelaksana TdSP kali ini menyerahkannya kepada kepakaran dan kebijaksanaan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mereka pula menyerahkan tugas ini kepada pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, Sabak Bernam. Hasil perbincangan kami maka dipersetujui pihak PPK akan membuat pemindahan pokok-pokok padi yang berumur dua bulan atau lebih sedikit, yang diambil dari sawah di Pasir Panjang dan dibawa dengan kenderaan lori trailer ke Padang Merbok, KL.

Apabila pihak PPK berkenaan membuat kira-kira kostingnya, mereka dapati kerja ini memerlukan lori trelar sebanyak 120 buah untuk membawa pokok-pokok padi tersebut ke lokasi di Padang Merbok.

Dan apabila diambil-kira semua hal yang terlibat, akhirnya didapati perbelanjaan yang diperlukan untuk “mewujudkan sawah padi” sahaja (seluas kira-kira satu ekar) sudah melebihi setengah juta ringgit, atau hampir RM1 juta. Tentulah memeranjatkan!

Berbaloikah kerja teater ini? Untuk menjawabnya kita memerlukan beberapa pertimbangan dari beberapa sudut dan aspek. Saya tak dapat membincangkannya di sini kali ini kerana ruang yang terhad ini. Insya Allah saya akan membincangkannya di kesempatan yang lain di masa akan datang.