Memerangi golongan pelampau Agama

Meskipun syaitan telah dibelenggu, nafsu politik telah menewaskan tujuan utama Muslim berpuasa yang sepatutnya menjadi medan kepada manusia untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, menyemai nilai kasih sayang, menabur sedekah dan sebagainya.

Apatah lagi dalam suasana krisis politik dan perebutan kuasa yang berlaku di seluruh pelusuk dunia,syaitan politik tidak dibelenggu dan golongan ini sentiasa mencari ruang untuk merebut kuasa, mengungkapkan rasa marah sehingga mecetuskan keganasan, menghasut, menghina, buruk sangka dan sebagainya yang merupakan bentuk-bentuk perbuatan syaitan.

Sepatutnya bulan Ramadan, bulan mulia, barakah, rahmat dan menjadi landasan perubahan bagi Muslim untuk mewujudkan diri sebagai insan kamil serta menjauhkan manusia daripada malapetaka politik kotor.

Namun hakikatnya kerakusan manusia tidak pernah terhenti padahal syaitan hakikatnya telah dirantai dan tidak berupaya untuk membujuk atau menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan sepanjang bulan Ramadan?

Lihatlah apa yang terjadi di belahan dunia Islam nun jauh sapertiSyria,Iraq,Afghanistan,Pakistan,Iran Arab Saudi dan Yaman yang bertelagah, telah menutup mata dan hati umat Islam terbabit daripada menghentikan segala bentuk peperangan di bulan yang telah diisytiharkan al-Quran sebagai haram menumpahkan darah manusia dalam peperangan sekalipun atas nama tegaknya kemurnian Islam.

Betapa rendahnya tahap puasa golongan ini dan dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang tidak dapat meninggalkan perkataan kotor atau perbuatan kotor maka Allah tidak punya kepentingan apa-apa bahawa orang itu meninggalkan makan dan minum." (Hadis Riwayat Bukhari) Dengan kata lain, puasanya akan sia-sia.

Dalam dunia politik hari ini banyak sekali kerosokan masyarakat akibat perbuatan serang menyerang dari belakang dan pengumpatan yang tak pernah reda mahupun pada bulan puasa ini. Sebagai seorang Muslim apa yang kita harapkan Ramadan tahun ini kita tidak dicemari oleh "syaitan-syaitan politik yang tak terbelenggu”.

Ia juga satu kesempatan yang baik untuk kita merenung bagaimana kita menjaga diri dan membebaskan diri daripada penyakit seperti itu.

Apatah lagi dengan menumpahkan darah manusia. Sesungguhnya, amalan-amalan inilah watak syaitan sebenar yang bertopengkan manusia. Bukan lagi manusia yang bertopengkan syaitan.

Al-Quran menyeru supaya kesatuan manusia dijaga dan ia melarang melakukan pembunuhan dan keganasan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesiapa yang membunuh seorang manusia bukan sebagai hukuman terhadap pembunuhan seseorang yang lain atau hukuman terhadap kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi, maka seolah-olahnya dia telah membunuh semua manusia; dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya.” – (Al- Quran surah al-Ma’idah ayat 32).

Dalam Islam, perang disyariatkan demi mempertahankan diri, kehormatan, harta, tanah air serta menghindarkan daripada kesulitan dan kesiksaan. Allah berfirman yang bermaksud: Perang bukanlah arena melampiaskan nafsu untuk membinasakan manusia, meskipun kita telah mencapai kemenangan. Namun ada batasnya yang ia harus berhenti, ;kerana jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.’’ (Maksud surah al-Baqarah, akhir ayat 193).

Terorisme adalah suatu tindakan yang dilakukan untuk meraih tujuan yang tidak manusiawi dan buruk serta mengancam segala macam jenis keamanan, dan pelanggaran atas hak asasi yang ditegaskan oleh agama atau manusia.

Islam memandang segala bentuk serangan atas mereka sebagai kejahatan besar yang mesti dihukum seberat-beratnya seperti hukuman mati, dan sebagainya. Islam menegakkan prinsip tanggungjawab diri dan memandang serangan walau apa pun bentuknya terhadap orang yang tidak berdosa sebagai kejahatan besar. Islam berorientasi melindungi si lemah, si tertindas dan menyeru jihad untuk melindungi mereka.

Umat Islam diharuskan senantiasa membela orang tertindas hingga mereka mendapatkan hak-hak mereka. Imam Ali a.s memberi nasihat kepada kedua-dua anak lelakinya: “;Jadilah kamu penentang para penindas dan pelindung para tertindas.’’ Beliau juga berkata:”;Bagiku orang yang rendah adalah mulia hingga aku memperoleh hak-hak untuk mereka, dan orang yang kuat adalah lemah hingga aku memperoleh hak-hak daripada mereka.’’

Mungkin kata-kata tersebut seiring dengan al-Quran surah Quraisy ayat 4 yang berbicara tentang anugerah keamanan. Kemuliaan adalah umum kepada semua manusia, tidak kira keadaan etnik, bangsa, warna atau status sosial atau harta benda. Undang-undang Islam menganjurkan hak kehidupan kepada semua, menjamin keperibadian roh, tubuh dan anak-anak (keturunan), akal, kehormatan, harta dan agama. Hak untuk hidup dijamin dalam firman Allah: Jangan bunuh jiwa yang Tuhan haramkan, melainkan dengan hak. – (Surah Isra ayat 33).

Manakala dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 Allah berfirman yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu.

Ramai yang tertanya-tanya apakah jalan yang terbaik untuk menangani permasalahan golongan pelampau yang telah memburukkan nama agama Islam dan menyebarkan kebimbangan serta keganasan dan pertumpahan darah.

Kita perlu menyedari bahawa golongan pelampau ini berselindung di sebalik nama Islam. Mereka sentiasa mengemukakan idea yang jauh tersimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

*Penulis adalah Penasihat media,Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia(Yadim)