Malaysia Dateline

Memerdekakan diri sendiri daripada “penjajahan pihak pemerintah”

“Katakanlah : Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidup dan Matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” (QS. Al An’am, 6 : 162)

Hari ini, kita menyambut kemerdekaan kali ke-64 negara dalam situasi yang suram, sementara negara masih “berperang” dengan pandemik Covid-19 yang telah meninggalkan kesan bukan kepalang ke atas 32.75 juta populasi negara.

Jumlah keseluruhan kes pandemik Covid-19 dalam negara sehingga kini telah mencecah 1.7 juta orang, dan meragut lebih 16,382 nyawa dengan angka kematian harian yang masih tinggi iaitu 295 kematian. Kes baharu yang dicatatkan kelmarin juga masih berada pada angka yang tinggi iaitu 19,268 kes, dengan kluster aktif terkini sebanyak 1,487 kluster di seluruh negara.

Malaysia menduduki tempat tercorot dalam indeks oleh majalah The Economist yang mengukur sejauhmana prestasi negara-negara untuk kembali kepada keadaan normal selepas wabak Covid-19.

Laporan The Economist juga menyatakan bahawa Malaysia berdepan kesukaran akibat gelombang jangkitan berbahaya disebabkan oleh varian Delta yang menular dengan lebih pantas.

Pandemik Covid-19 bukan sahaja membawa krisis kesihatan kepada negara, malah meninggalkan kesan ekonomi dan sosial yang bukan sedikit. Ia membadai kepada bukan sahaja golongan dewasa, tetapi juga golongan kanak-kanak.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 1.5 juta kanak-kanak Malaysia menghadapi gangguan emosi, dan seramai 1,517 pelajar telah menjadi yatim atau yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa yang menjadi mangsa kepada wabak dunia ini. Berjuta rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, dan ramai lagi kehilangan sumber mata pencarian akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua ini diburukkan lagi dengan adanya krisis politik yang akhirnya membawa kepada krisis perlembagaan, dengan fungsi Parlimen dan Dun yang dimandulkan, sehingga mengakibatkan campurtangan KDYMM YDPA yang akhirnya berulangkali menitahkan agar Parlimen dan Dun segera dipulihkan, sekaligus keluhuran perlembagaan dipertahankan.

Segala ketidakstabilan politik negara yang berterusan ini berlaku adalah berpunca daripada kegagalan pihak-pihak yang kalah untuk menerima keputusan majoriti pengundi yang telah menolak mereka dalam pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ia diburukkan lagi dengan usaha terancang pihak pembangkang ketika itu memancing minat pihak-pihak tertentu untuk berkhianat dan menumbangkan kerajaan sah Pakatan Harapan (PH) yang diangkat rakyat.

Kerakusan merampas kuasa TANPA melalui proses dan sistem demokrasi berpilihan raya yang seterusnya iaitu PRU15, telah mengakibatkan negara bertukar Perdana Menteri sebanyak dua kali. Semua ini didalangi oleh pihak yang sama iaitu yang kalah dalam PRU14 dan yang telah berkhianat menumbangkan kerajaan sendiri semata-mata bagi merebut jawatan Perdana Menteri ke-8.

Memanglah suatu yang amat malang buat Malaysia bilamana sebuah kerajaan telah dibina oleh 114 orang Ahli Parlimen daripada parti-parti yang Kalah dan Khianat, mengakibatkan seluruh rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa tidak akan wujud kestabilan politik yang sebenarnya sekurang-kurang pada masa ini.

Mengambil ibrah (pengajaran) daripada segala yang berlaku, kita sebenarnya memerlukan sebuah gagasan baharu tentang makna dan iltizam kemerdekaan, agar kita tidak lagi melihat kemerdekaan hanya seputar kisah pembebasan daripada penjajahan British atau kuasa-kuasa besar yang lain.

Lebih luas daripada itu, kita wajar memerdekakan diri sendiri daripada “penjajahan pihak pemerintah”, hatta memerdekakan diri daripada fahaman sempit asobiyah bangsa, atau semangat keakuan sehingga membelakangi disiplin dan prinsip pembinaan sebuah negara bangsa, termasuk membelakangi disiplin dan prinsip pembinaan sesebuah organisasi.

Kita perlu merdeka daripada fahaman politik narsisme yang senantiasa menimbulkan prejudis kaum dan agama di tengah-tengah masyarakat majmuk dalam negara, sekaligus merasakan hanya mereka sahaja pembela kepada melayu dan Islam.

Kita perlu merdeka daripada fahaman politik naungan khususnya elit-elit politik yang wewenangan mengenepikan mandat rakyat yang terhasil daripada keputusan PRU14 yang lepas, bahkan bergerak lebih rakus memandulkan institusi legislatif negara, menodai keluhuran perlembagaan, merosakkan demokrasi berparlimen, bahkan tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.

Barangkali kita harus mencontohi negara jiran kita, Indonesia. Suatu ketika dahulu Malaysia jauh meninggalkan mereka daripada segenap sudut. Namun, Indonesia semakin dekat mengejar kita. Bank Dunia 2019 melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia berkembang 5.1 peratus berbanding Malaysia yang hanya pada kadar 4.6 peratus. Kini, Indonesia semakin maju ke hadapan.

Semua ini dipacu dengan kematangan politik dan perasaan mendahulukan negara dalam setiap perkara. Indonesia pasca Orde Baharu telah menukar cara berpolitik negara itu kepada yang lebih matang, negarawan dan terbuka.

Politik Indonesia selepas era reformasi berjaya membentuk nuansa baharu yang melihat politik sebagai medan membaiki negara dan menyediakan dasar-dasar serta program-program yang diperlukan rakyat.

Rakyat melalui usaha menanam dan menyusun semula politik nilai dan politik mendidik akhirnya telah berhasil menolak amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) yang sekian lama sebati dengan politik Indonesia, perlahan beralih kepada ketelusan dan keberhasilan.

Langkah Presiden Joko Widodo (Jokowi) melantik seteru politiknya, Prabowo Subianto misalnya, menjadi sebahagian anggota Kabinet pentadbirannya, sekaligus diamanahkan sebagai Menteri Pertahanan berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Leftenan Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI), merupakan satu tindakan berani dan tepat bagi memastikan kestabilan dan menurunkan suhu panas politik Indonesia.

Malaysia, khususnya Perdana Menteri ke-9, malangnya telah terlepas peluang melakukan perkara seperti ini, apabila gagal melakukan kejutan membawa masuk beberapa tokoh figura NGO dan pembangkang khususnya daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu sebuah gabungan politik berdaftar yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai, bagi menganggotai kabinet baharu Malaysia. Suatu yang hakikatnya ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh pemerhati-pemerhati politik tempatan, bahkan juga pemerhati-pemerhati politik dunia.

Membangunkan sebuah kabinet pemerintahan negara pada saat yang sukar, dengan “peperangan” yang memuncak, hakikatnya memerlukan seorang pemimpin yang berjiwa berani dan patriotis, upaya merangkul segala kekuatan, “cream of the crop”, yang ada daripada setiap sudut pertiwi kita.

Memilih untuk mengekalkan sosok-sosok Menteri dan Timbalan Menteri yang gagal hanyalah menzahirkan betapa lemahnya jiwa seorang pemimpin itu, sementelah menambah lara dan kedukaan rakyat kebanyakan yang sudah sedia terkesan dan tertekan akibat wabak serta kelemahan urus tadbir negara yang sangat ketara.

Tiada cara lain untuk kita memperbaiki wajah politik Malaysia yang hodoh ini selain membina semula masyarakat dan negara ini dengan teguh meneruskan usaha menanamkan Politik Nilai, Politik Mendidik dan Politik Khidmat dalam kehidupan masyarakat.

Di pundak para wanita bernegara dan pemberani tergalas peranan besar bagi melahirkan ummah yang berintegriti, berakhlaq terpuji, amanah, bijaksana, saling hormat, saling memahami dan saling mengasihani antara satu sama lain melampaui beda bangsa, bahasa dan warna kulit di antara para warga.

Wanita perlu terus cekap berperanan menjadi agen pencetus dan pengimbang mandiri sosial serta jati diri manusia bagi memastikan pembinaan generasi manusia yang leluhur dapat dijayakan tidak kiralah kita berdiri di posisi mana.
Pesan Buya Hamka, “Kemerdekaan ialah bahawa engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang perlu engkau ketahui, dan waktu itu engkau rasai apa pula kewajipanmu kepada orang lain.”

“Kita telah menang kerana keberanian. Tetapi itulah baru perjuangan yang pertama. Kemerdekaan barulah berisi bilamana keberanian semangat diiringi oleh keberanian budi.”

Keberanian budi itu adalah pada kesanggupan dan keupayaan kita menzahirkan Iman, Ihsan dan Itqan dalam segala usaha dan perjuangan kita bagi memerdekakan setiap jiwa dan minda anak-anak Malaysia dan anak-anak Dunia.

Salam Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-64!

#ImanIhsanItqan
#MatiItuMotivasi
#MajuTerus!
#CitaCintaUntukMalaysia
#KepimpinanWanitaUntukSemua
#AmanahDemiNegara
———-
Tulisan ini adalah Perutusan Kemerdekaan oleh Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara, Parti Amanah Negara (Amanah).