Malaysia Dateline

Undangundang kini bersimpang siur dengan gelagat manusia

Memilih menjadi peguam

Semenjak kecil lagi ibu bapa sering kali berhasrat untuk anaknya menceburi tiga profesion yang terunggul iaitu doktor, peguam dan jurutera. Apakah dorongan yang menyebabkan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menceburi ketiga-tiga profesion ini. Kemungkinan besar kerana bagi ibu bapa ketiga-ketiga profesion ini boleh menjamin masa depan anak-anak mereka dari segi kewangan.

Ini tidak menghairankan kerana mereka sering kali berjumpa doktor, peguam dan jurutera yang kaya raya. Namun, ibu bapa itu sendiri tidak tahu betapa sukarnya kehidupan ketiga-tiga golongan ini pada masa kini berbanding dengan profesion lain.

Tidak dinafikan bahawa ada dalam kalangan ketiga-tiga profesion ini mempunyai masa depan yang gemilang. Tetapi takkala kita menyangka langit akan selalunya cerah tiba-tiba hujan turun mencurah-curah. Pada masa keadaan sebegitu berlaku maka kehidupan akan menjadi sukar.

Mungkin saya tidak layak untuk bercakap berkaitan dengan profesion kedoktoran atau kejuruteraan tetapi bagi bidang guaman ianya sudah pasti pengalaman menjadi peguam selama 20 ini menjadi satu pengalaman berharga buat seseorang yang ingin menceburi bidang kepeguaman.

Ada pahit manis dalam kehidupan peguam yang mungkin tidak diketahui ramai. Ada di kalangan rakan-rakan yang menghadapi kesulitan khasnya selepas pandemik Covid-19 ini melanda. Ada juga yang menjadi kaya-raya dengan kehidupan peguam.

Baru-baru ini ketika menziarahi seorang rakan peguam sempat juga bertanyakan khabar mengenai bisnes kepeguaman beliau. Alhamdulilah, beliau berjaya menguruskan firma guamannya sehingga berjaya membeli dua buah bangunan kedai yang bernilai hampir RM4 juta. Setiap buah bangunan itu perlu dibayar ansuran bulanan bank tidak kurang daripada belasan ribu ringgit sebulan. Tetapi langkah beliau membeli bangunan itu adalah langkah strategik kerana beliau berjaya memberikan sewa kepada pihak lain dan beliau hanya perlu membayar 25% daripada nilai keseluruhan ansuran. Di samping itu, beliau juga mendapat kepercayaan daripada pelanggan beliau sama ada daripada pihak bank atau pun pemaju perumahan menyebabkan bisnes beliau tidak putus-putus. Katanya lagi, beliau ingin menumpukan kepada bisnes peguam dan tidak berhasrat untuk membuat pelbagai perkara lain dalam satu masa seperti menyertai bidang politik. Baginya kehidupan berpolitik banyak mengambil masanya dan banyak mencetuskan rasa tidak puas hati orang lain kepadanya.

Ada seorang rakan peguam yang lain pula menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan kehidupan peguam yang memberikan masa yang banyak kepadanya. Beliau sudah tidak mempunyai sebarang hutang sama ada hutang rumah atau pun kereta. Kos untuk menampung perbelanjaan pejabatnya pula adalah hanya sekitar RM3000 sahaja sebulan dan beliau tidak kisah sekiranya tiada kes baharu yang dibuka olehnya. Baginya kehidupan yang tidak sibuk memberikan banyak peluang kepadanya untuk mendekati masjid dan terlibat dalam aktiviti tamannya.

Ada pula teman peguam yang lain yang hidupnya seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kehidupannya adalah seperti tikus yang berlari mengelilingi roda. Beliau harus berlari setiap masa untuk mencukupkan kos untuk menampung bisnes peguam. Kehidupannya agak sempit. Mungkin beliau menghadapi masalah itu kerana tidak menguruskan bisnes guamannya dengan betul.

Suatu ketika dahulu ada seorang rakan peguam yang kelihatan agak bergaya dengan membawa kereta mercedes yang baharu. Sewaktu beliau memperagakan kereta itu nampak gah sekali kehidupannya. Malangnya, kehidupan bergaya itu tidak bertahan lama kerana beliau tidak menguruskan firma guamannya dengan betul dan hanya menyerahkan urusan kepeguaman kepada rakannya yang juga pengurus firma guamannya. Rupa-rupanya pengurus firma itu adalah seorang yang tidak amanah dan telah mengambil wang anakguam secara tidak sah. Apabila anakguam telah membuat laporan polis atas kehilangan wangnya beliau telah didakwa dan akhirnya kini berada di penjara. Kehidupan sebegitu adalah satu kehidupan yang perit.

Jadi, apakah kehidupan sebagai peguam itu menjanjikan kemewahan dan kesenangan? Ini semua bergantung kepada perancangan yang dibuat oleh peguam itu sendiri. Ada peguam yang berasa cukup untuk kerja makan gaji. Seorang peguam kanan yang pernah ditemui menerima gaji sebanyak RM19,000 sebulan. Beliau berasa gaji sebegitu adalah memadai buatnya dan sudah cukup untuk menampung hidupnya. Anehnya, beliau tidak menggunakan wang itu untuk membeli rumah atau pun kereta baharu. Baginya cukuplah beliau tinggal di rumah sewa sehingga ke akhir hayat.

Namun, bukan semua peguam yang bekerja makan gaji boleh memperolehi pendapatan RM19,000 sebulan. Beliau mampu untuk mendapatkan gaji sebanyak itu kerana pengalamannya yang luas dan ramai klien yang berhajat menggunakan kepakarannya dalam menguruskan kes-kes mahkamah. Dalam kata lain, pelanggan datang ke firma tempat beliau bekerja adalah kerana ingin mengupahnya dan bukan kerana asbab firma tempat beliau bekerja.

Rata-ratanya peguam yang baharu habis latihan dalam kamar akan memperolehi pendapatan antara RM2500 – RM3000 sebulan. Jika peguam itu beramal di luar Lembah Klang barang kali gaji yang diterimanya hanyalah RM1800 – RM2400 sebulan. Ini semua bergantung kepada kewangan firma tempat beliau bekerja.

Ramai juga yang hanya berkhidmat sebagai peguam untuk beberapa tahun sebelum beralih kepada kerjaya lain seperti menjadi penasihat syarikat atau pun masuk dalam perkhidmatan awam dengan menjadi pendakwaraya atau majistret. Bagi golongan ini mereka berasakan kehidupan bekerja kerajaan lebih menjamin masa hadapan. Ini kerana permulaan tangga gaji perkhidmatan awam sekarang adalah agak lumayan berbanding dengan profesion menjadi peguam. Rata-ratanya seorang yang bekerja dalam perkhidmatan awam seperti pendakwaraya atau majistret akan mendapat kenaikan pangkat yang lebih cepat berbanding dengan pemegang ijazah dalam bidang lain. Dalam perkhidmatan awam, selain pendakwaraya atau majistret, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) juga menikmati kenaikan pangkat yang agak cepat. Ratanya-ratanya jika mereka mencapai umur 40 tahun sekurang-kurangnya pangkat mereka sudah mencapai gred 48. Ada yang bernasib baik sudah menjelang umur 45 tahun sudah mencapai gred 54 atau Jusa C.

Berbalik kepada isu pokok yang dibahaskan adalah iaitu kenapakah seseorang itu memilih menjadi peguam. Persoalan ini harus dijawab oleh orang itu sendiri. Jika beliau memilih menjadi peguam untuk membina kerjaya dan kewangan maka beliau perlu meletakkan sasaran dan merangka pelan kerjaya dengan jelas supaya matlamat itu dapat dicapai. Sekiranya sasaran itu tersasar maka beliau perlu menyemak kembali pelan kerjaya itu dan membuat ubah suai yang perlu.

Sewaktu saya mula-mula menjadi peguam dahulu pada tahun 2000, gaji pertama yang dibayar adalah hanya RM1000 sebulan. Pada masa itu kebanyakan orang lain bermula dengan gaji sebanyak RM1800 sebulan. Pada masa itu taraf kehidupan tidak begitu berhajatkan wang gaji yang banyak kerana masih tinggal bujang bersama rakan-rakan. Sewa rumah pada masa itu juga hanya RM500 sebulan dan dikongsikan dengan 3-4 orang rakan yang lain. Kenderaan untuk bergerak pun hanya menggunakan sebuah motosikal kriss modenas. Sehingga kini motosikal kriss modenas itu masih lagi dapat digunakan.

4-5 tahun selepas itu, gaji mula meningkat sedikit demi sedikit sehingga firma menyatakan bahawa mereka tidak mampu lagi untuk memberikan kenaikan gaji. Pada masa itu, firma memerlukan belanja sekitar RM40,000 – RM50,000 sebulan bagi menampung sewa pejabat, membayar gaji kakitangan dan rakan kongsi. Maka, firma tempat saya bekerja itu menawarkan saya menjadi rakan kongsi dan menaikkan gaji kepada RM4,800 sebulan. Wow! Siapa yang tidak gembira menerima gaji sebanyak itu dalam usia awal 30-an.

Apabila krisis ekonomi melanda pada tahun 2008-2009 firma sudah tidak berdaya maju lagi. Pada masa itu walaupun pendapatan sudah mencecah RM4,800 sebulan tetapi apa gunanya jika ianya hanya tertulis di atas kertas yang tidak dapat ditukarkan kepada matawang ringgit. Diam tak diam akhirnya hampir 2 tahun firma berhutang gaji tersebut. Mujurlah pada masa itu firma memberikan kebenaran untuk membuat kerja-kerja luar dan hasil daripada kerja-kerja luar dapatlah menampung perbelanjaan bulanan.

Akhirnya pada bulan Jun 2009, firma membuat keputusan untuk mengecilkan operasi dan terpaksalah berhijrah dan menjadi pelarian ke firma yang lain. Di firma yang baharu ini mereka hanya menumpangkan tempat sebagai pejabat dan firma baharu ini tidak memberikan gaji bulanan. Maka, bermulalah kehidupan yang baharu tanpa gaji. Anehnya, sudah 10 tahun berada di firma ini dan tidak pernah lagi ada bulan yang tidak menerima gaji. Malah, bulan pertama berada di firma ini sudah ada pendapatan yang dijana meskipun tidaklah sampai ke tahap mewah.

Faktor penting dalam kerjaya guaman ini adalah untuk memahami selok-belok perniagaan dan operasi guaman. Peguam adalah dianggap sebagai profesional dan seorang yang profesional tidak boleh membuat kesilapan. Jika ada kesilapan yang dibuat walaupun tidak disengajakan satu tindakan tatatertib boleh diambil ke atas peguam tersebut. Kebolehan seorang peguam menguasai undang-undang dan peraturan akan menyebabkan seseorang itu akan dicari oleh mereka yang berhajat. Sebab itu, etika kepeguaman melarang seseorang peguam itu untuk membuat iklan untuk membesar-besarkan dirinya. Orang akan mengetahui reputasi dirinya melalui kes-kes yang dibuat olehnya dan akhirnya mengupahnya untuk mengendalikan kes. Profesion guaman ini sangat berkait rapat dengan reputasi yang dibina. Sebab itu, jika ingin memilih peguam tidak disarankan untuk terus ‘walk-in’ ke mana-mana firma tanpa membuat siasatan latarbelakang peguam yang dipilih itu.

Seseorang peguam yang menjalankan perniagaan firma guaman berasaskan cara yang tidak betul seperti merasuah kakitangan bank atau pemaju untuk mendapatkan kes tidak mampu untuk bertahan lama. Ini kerana tindakan sedemikian akan mendatangkan impak kewangan kepada firma beliau. Bayangkan jika beliau sepatutnya dibayar RM2000 menurut skala fi tetapi merasuah RM1000 kepada kakitangan bank atau pemaju maka ini akan menjejaskan pendapatannya walhal kerja yang dibuat itu bernilai RM2000. Ini bermakna peguam itu terpaksa memberikan diskaun sehingga 50%.

Sebab itu adalah lebih baik bagi seseorang peguam itu memahirkan dirinya dalam satu cabang undang-undang seperti undang-undang hartanah, korporat, komersil, syariah, saman sivil, perbankan, hakcipta, jenayah dan lain-lain daripada membuat semua perkara. Seseorang peguam yang lebih ‘specialist’ lebih mudah untuk mendapatkan pelanggan daripada peguam yang membuat kerja ‘rojak’.

Selain itu, peguam yang bekerja sendiri juga perlu memahirkan diri dalam bidang yang lain untuk memastikan kerjaya yang lebih stabil. Ada peguam yang menceburi bidang pertanian seperti membuka ladang sawit atau ternakan. Ada juga yang mengumpulkan wang dan membeli hartanah yang berpotensi sebelum membuat kerja-kerja pecah sempadan dan akhirnya menjual tanah lot. Ada juga peguam yang membuat pelaburan saham atau menjalankan perniagaan insuran.

Langkah mempelbagaikan sumber pendapatan sebegini sebenarnya adalah perlu untuk memastikan bahawa wujud pendapatan kedua yang mana jika berlaku apa-apa masalah dalam firma guaman menyebabkan beliau boleh meneruskan kehidupannya tanpa mengganggu operasi firma guamannya.

Memaksa anak untuk menjadi peguam bukanlah satu pilihan yang baik sekiranya anak itu sendiri tidak berminat dengan kerjaya peguam. Bagaimanakah kita akan tahu sekiranya anak itu berminat atau tidak untuk menjadi peguam? Ini satu jawapan yang sukar untuk dijawab. Cara yang terbaik adalah untuk membawa anak itu berjumpa dengan mana-mana peguam yang berjaya dan biarkan anak itu bertanyakan terus kepada peguam itu berkaitan hal-ehwal guaman.

Cara yang lain adalah untuk membenarkan anak itu bekerja secara percuma di mana-mana firma guaman selama 1-2 bulan semasa mereka bercuti khasnya dalam tempoh cuti senggang selepas peperiksaan SPM. Tindakan sebegini akan memberikan pendedahan awal kepada anak itu untuk menilai sendiri kerjaya sebagai peguam.

Namun, saya sendiri tidak berpeluang untuk mendapatkan pengalaman tersebut. Barangkali bapa saya pada waktu itu tidak terfikir untuk berbuat demikian padahal bapa saya juga rapat dengan peguam yang terkenal di Terengganu pada ketika itu. Saya sendiri pun tidak pernah bertanyakan bapa saya kenapa beliau inginkan saya menjadi peguam. Mungkin sebab beliau mempunyai kenalan peguam yang menyebabkan beliau mahukan anaknya menjadi peguam.

Semasa belajar di Universiti Islam Antarabangsa Sungai Pusu dahulu saya sempat untuk membuat latihan atau program sangkutan di firma guaman dan di mahkamah. Pengalaman membuat latihan sangkutan itu tidak mengujakan saya. Sebab itu, apabila sahaja mendapat ijazah guaman saya tidak terus menjadi peguam. Sebaliknya saya meneruskan lagi pengajian ‘double degree’ Shariah (LL.B(S) selama setahun dan seterusnya pengajian di peringkat ijazah lanjutan. Ini kerana hati tidak terbuka untuk menjadi peguam sebaliknya kecenderungan adalah untuk menjadi seorang pensyarah.

Takdir Tuhan, saya sempat menjadi pensyarah sambilan selama 5 tahun di UIA dan UTM dan mengajar dalam subjek Perlembagaan, Undang-Undang Tanah, Undang-Undang dan Masyarakat dan Undang-Undang Komersil. Walaupun berkali-kali memohon untuk menjadi pensyarah tetap tetapi laluan itu tidak diizinkan Tuhan dan akhirnya terperosok dalam dunia guaman ini sehingga begitu jauh.

Sedar tidak sedar sudah 20 tahun bergelumang dalam dunia guaman ini dan seingat saya, pada akhir tahun kelima menjadi peguam itu baharulah saya menerima dunia guaman ini dengan sepenuh hati.

Rupa-rupanya benar pepatah orang Melayu bahawa ‘tidak kenal maka tidak cinta’. Selepas itu saya tidak berpaling lagi daripada menjadi peguam dan saya mula kasih kepada dunia guaman. Bagi saya dunia guaman ini adalah satu dunia yang penuh warna warni dan kita jua yang mencorakkannya dengan warna yang kita kehendaki.

Seperkara yang menarik hati dalam dunia kepeguaman ini adalah kita dilatih untuk berfikir dengan pelbagai lapisan. Kita juga mempunyai tahap toleran yang tinggi terhadap orang yang tidak bersetuju dengan kita. Peguam tidak pernah marah jika orang itu tidak bersetuju dengannya kerana kita tahu bahawa kita mempunyai kebebasan untuk berfikir dan mengeluarkan pendapat. Kita mungkin tidak bersetuju dengan pendapat orang itu tetapi kita masih mempunyai etika dan adab untuk melawan pendapat orang itu. Kita tidak pernah memanggil lawan kita sebagai parasit atau jebon semata-mata kita tidak bersetuju dengan pendapat lawan kita. Begitu juga jika tidak bersetuju dengan pendapat seorang hakim, kita masih mempunyai etika (dalam bahasa guaman dipanggil decorum) untuk membangkang pendapat hakim itu.

Peguam dilatih untuk mempunyai tahap KBAT (kebolehan berfikir aras tinggi) kerana peguam perlu mengeluarkan pendapatnya dengan spontan setelah menilai fakta kes berdasarkan undang-undang yang sedia ada. Dari satu segi, pengajian undang-undang di peringkat ijazah lanjutan sama ada peringkat ijazah atau doktor falsafah sangat membantu seorang peguam. Ini kerana pengajian tahap ini mendesak pelajar itu untuk membaca pelbagai buku dan jurnal undang-undang. Ini akan memahirkan kita dengan pelbagai ilmu baharu yang tidak sempat diajar di dalam kelas.

Selain itu, peguam juga mempunyai peluang untuk mengaplikasikan ilmu tersebut dalam dunia realiti menyebabkan ilmu yang diperolehi itu akan lebih mantap. Kata pepatah arab, ‘ilmu yang tidak diamalkan itu ibarat pohon yang tidak berbuah’. Maksudnya buah ilmu itu akan hanya diperolehi sekiranya ianya diamalkan. Ketika itu baharu kita tahu sama ada ilmu yang kita pakai itu menjadi tajam atau tumpul.

Pengalaman berguam juga membantu kita untuk mengatur langkah untuk berjaya dalam mengendalikan sesuatu kes. Peguam yang banyak berguam pastinya banyak pengalaman. Pengalaman peguam itu tidak akan dapat dibaca dalam buku atau makalah undang-undang. Seseorang itu tidak akan mampu memenangi kes sekiranya tidak mengatur strategi dengan tepat. Semua orang boleh membaca ilmu teori tetapi mempraktikkan ilmu dengan strategi bukanlah satu benda yang mudah. Pengalaman kalah menang dalam sesuatu kes itulah yang akan membantu peguam untuk mengaturkan strategi guaman di kemudian hari.

Akhir sekali, patutkah seseorang itu memilih kerjaya sebagai peguam? Jika ini ditanyakan kepada saya maka saya akan menjawab ‘ya’ meskipun beliau hanya menjadi peguam untuk setahun dua sahaja. Seseorang peguam boleh sahaja pada bila-bila masa berhenti menjadi peguam dan menceburi bidang yang lain pula. Sekiranya bidang guaman ini sesuai dengan naluri jiwanya beliau boleh meneruskan kerjaya dalam bidang ini dan berusaha untuk menjadi peguam yang hebat.

Soalan berikutnya, bolehkah seseorang peguam itu menjadi kaya-raya dan mencapai tahap bebas kewangan? Jawapannya ‘ya’ dan ‘tidak’. Tun Daim Zainuddin memulakan kerjaya sebagai peguam tetapi akhirnya beliau berhenti menjadi peguam dan menceburi bidang perniagaan. Seseorang boleh mencapai kekayaan dengan menjadi peguam tetapi bukanlah tahap kaya-raya seperti ahli perniagaan. Sekarang ini, orang yang berniaga sarung tangan getah berjaya menjadi seorang bilionair dalam tempoh 3 bulan sahaja seperti tokey sarung getah Supermx Berhad atau TopGlove Berhad. Sekiranya seseorang itu ingin menjadi kaya-raya maka jalan yang betul dan lebih mudah adalah untuk memasuki alam perniagaan. Peguam yang kaya-raya biasanya mempunyai perniagaan lain atau ladang sawit beratus ekar. Mereka ini hanya memiliki firma guaman tetapi tidak bersandarkan firma itu untuk menjadi kaya-raya. Tetapi peguam ini menggunakan hasil yuran guaman itu untuk melabur dalam sektor perniagaan yang lain dan hanya mengekalkan status peguam untuk tujuan prestij. Justeru, jika peguam ingin menjadi kaya-raya maka peguam itu mestilah belajar ilmu pelaburan atau perniagaan supaya mereka dapat mencambahkan duit mereka dengan jalan yang betul.

Sukar sangatkah untuk hidup sebagai peguam? Jawapannya pun ‘ya’ atau ‘tidak’. Kesukaran itu akan berlaku jika peguam itu tidak mempunyai pelanggan dan tidak pandai mencari pelanggan. Peguam seperti ini mungkin sesuai untuk bekerja makan gaji berbanding untuk membuka firma sendiri. Ini kerana bekerja makan gaji akan dijamin untuk memperoleh pendapatan setiap bulan. Membuka firma guaman adalah mudah tetapi untuk mengekalkan prestasi firma adalah sesuatu yang sukar. Ada bulan yang mungkin tiada gaji dan ada bulan yang mungkin mendapat gaji yang lebih. Ini semua bergantung kepada pelan perniagaan firma itu sendiri.