Malaysia Dateline

Memo bantah Israel: Kedutaan AS batal temujanji Majlis Senator dan NGO

Tindakan Kedutaan Amerika bertindak membatalkan pertemuan Majlis Senator, Ahli Parlimen serta NGO yang telah dijanjikan amat mengecewakan.

Senator Raja Bahrin Shah berkata, beberapa pertubuhan dan NGO umat Islam termasuk wakil dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), ahli Senator serta ahli Parlimen yang telah membuat temu janji untuk berjumpa Duta atau wakil kerajaan Amerika Syarikat pada hari Jumaat lepas untuk menghantar memo bantahan terhadap kezaliman ke atas umat Islam Palestin.

Menurut Pengerusi AMANAH dan Pakatan Harapan Terengganu, pertemuan tersebut adalah sempena Hari Al Quds serta mengingatkan nasib Masjidil Al Aqsa yang di buat setiap Jumaat terakhir setiap Ramadhan.

“Pada mulanya kami diberi syarat hanya 12 orang sahaja akan dibenarkan masuk ke kedutaan Amerika Syarikat di mana kemudiannya telah pula di kurangkan kepada 3 orang sahaja.

“Malangnya setelah kami berada di Kuala Lumpur, beberapa jam sebelum solat Jumaat, pertemuan tersebut telah di batalkan oleh kedutaan Amerika,” katanya.

Pada hari Jumaat yang mulia terakhir bulan Ramadhan, semasa umat Islam Palestin sedang beribadah di Masjidil al Aqsa , Baitul Maqdis, pihak berkuasa Yahudi Israel menyerang dan mengusir mereka keluar dengan menggunakan “shock bombs” dan gas pemedih mata.

Sekitar 170 orang telah tercedera dan puluhan dimasukkan ke Hospital di Baitul Maqdis, Jerusalem.

Katanya, inilah sikap Amerika- sekutu tegar Israel, yang enggan mendengar bantahan kekejaman rejim zalim zionis Israel.

Selagi Amerika bersekongkol dan melindungi Rejim haran Israel, katanya, sikap kejam dan angkuh zionis Israel akan berterusan menjadi makin zalim.

“Bukan sahaja umat Islam dihalau dari beribadat di Masjidil Al Aqsa di 10 malam terakhir ramadhan ini, ramai rakyat Palestin tanah mereka di rampas dan di halau dari rumah milik asal turun temurun mereka menjelang Aidil Fitri ini.

“Lebih mengemparkan lagi, rakyat Palestin bukan berbangsa Yahudi di nafikan hak vaksin mencegah COVID-19 walaupun mereka penduduk dan rakyat bumi tersebut,” ujarnya.

NGO Antarabangsa – Human Rights Watch menyifatkan polisi Israel menyerupai sikap Apartheid Afrika Selatan dahulu di zaman era dunia moden hari ini yang mesti di kutuk oleh Bangsa bangsa bersatu dan juga Amerika Syarikat.

Katanya, dunia mesti mengutuk sikap Apartheid perkauman Israel yang semakin ektrim hari demi hari ini dengan bantahan serta tindakan lebih keras dan tegas lagi.

Sebubungan itu, kerajaan Melayu- Islam Malaysia hari ini perlu menghentikan kebenaran kemasukan warga Israel ke Malaysia yang kini telah mula dibenarkan masuk secara rasmi.

“Kita perlu mengharamkan dan kenakan embargo segala jenis perniagaan dengan Israel oleh kerajaan Malaysia yang telah pun mula membeli secara rasmi alat perisikan dan intipan dari negara zionis Israel tersebut.

“Mentri Luar Dato Hishamuddin Hussein mesti lebih lantang menyatakan penentangan Malaysia terhadap sikap ekstrim apartheid Israel yang makin menjadi-jadi.

“Duta Khas ke Timur Tengah, Dato Seri Haji Hadi Awang mesti memainkan peranan berkesan menjelajah negara Arab sepetti Arab Saudi dan negara Arab Bersekutu – UAE, yang makin berjinak dengan rejim Israel.

“Malaysia bukan sahaja mesti memboikot EXPO DUBAI pada 2021 ini yang di sertai Israel, tetapi menghentikan promosi mengalakan penyertaan ke EXPO DUBAI seperti mendirikan billboard gergasi seperti telah dilakukan oleh Timbalan menteri Sains dan Teknologi YB Dato Amzad Hashim di pantai timur,” katanya.

Justeru katanya, Kerajaan Malaysia yang mengelar diri kerajaan Melayu Islam mesti menunjukkan roh pejuang Islam jati menentang kekejaman rejim perkauman zalim Israel.