Memoir misi belum selesai

Oleh KIM SYAZIE

Saya berpeluang sertai misi bantuan banjir di Kampung Karak Setia, Bentong pada Sabtu, 15 Januari lalu anjuran Yayasan IKRAM Malaysia (i-Bantu) dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) Selangor.

Misi ini disertai bersama lebih 20 orang sukarelawan yang hadir dari pelbagai tempat antaranya Gombak, Ampang Jaya, Selayang, Hulu Selangor dan Shah Alam.

Dengan peluang ini, saya amat bersyukur kerana cubaan menyertai misi untuk kali kedua berjaya yang mana cubaan pertama pada awal Januari lalu terpaksa dibatalkan akibat hujan lebat di sekitar daerah Bentong dan Raub.

Kesan kerosakan

Melihat keadaan Sungai Benus dan Sungai Bentong semasa melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak, masih terdapat kesan-kesan banjir di tebing kedua-duanya dengan aras sungai yang luar biasa, bahkan kesan beberapa tanah runtuh di tepi lebuh raya juga boleh dilihat sepanjang perjalanan.

Dari arah Kuala Lumpur, Kampung Karak Setia hanya beberapa kilometer selepas bandar Karak. Kesan kerosakan pada bangunan dan rumah-rumah boleh dilihat dengan ketara apabila melalui kawasan tersebut.

Tiba di destinasi, pasukan sukarelawan melalui Masjid Kampung Karak Setia yang masih ditutup akibat kerosakan infrastrukturnya dan sedang ditambah baik. Melintasi kawasan kampung, sayu hati melihat beberapa rumah hampir roboh dan bangunan rosak yang belum terusik untuk dibersihkan.

Bertarung nyawa

Sambil sukarelawan membersihkan halaman, meratakan tanah dan mengutip sisa sampah akibat banjir, seorang penduduk berkongsi pengalaman syahdu bagaimana keluarganya bertarung nyawa semasa air banjir naik begitu cepat sehingga tiada apa yang boleh diselamatkan.

Akibat hujan lebat tanpa henti pada 18 Disember 2021, Sungai Bentong yang berhampiran sudah melimpah ke kampung tersebut. Masing-masing hanya memikirkan untuk menyelamatkan nyawa. Pada malamnya, paras air terus naik mendadak hingga ke paras bumbung rumah.

Setelah 16 jam berada di bumbung bersama warga emas dan anak kecil, bertarung dengan kesejukan dan kelaparan, sekitar jam 3.00 petang Ahad, beliau sekeluarga akhirnya dapat diselamatkan.

Mereka tidak dapat diselamatkan lebih awal ekoran arus yang deras dan keadaan berbahaya untuk masuk ke kawasan kampung tersebut.

Mangsa juga membantu

Sudah jadi kebiasaan sukarelawan misi banjir, makanan makan tengah hari untuk mereka akan disediakan lebih awal dalam bentuk bungkusan, namun ia berlainan dalam misi kali ini.

Kami amat terharu dengan permintaan oleh mangsa-mangsa banjir sendiri yang ingin membantu memasak makanan makan tengah hari untuk sukarelawan sebagai tanda terima kasih kerana membantu membersihkan kawasan kampung tersebut.

Walaupun mereka dalam keadaan serba kekurangan selepas ditimpa musibah banjir, namun keluhuran budi penduduk di situ untuk menyediakan makanan makan tengah hari amat memberi makna kepada para sukarelawan.

Semasa operasi pembersihan termasuk membersihkan lumpur di longkang oleh sukarelawan, terdapat beberapa kenderaan memasuki Kampung Karak Setia mewakili pelbagai NGO dan individu untuk mengagihkan pelbagai jenis bantuan.

Menariknya, ada sukarelawan sempat bertanya khabar kepada salah seorang aktivis NGO yang sedang mengagihkan bantuan dapur gas dan barang keperluan harian kepada penduduk kampung.

“Kami dari Hulu Langat. Walaupun kawasan kami teruk terkena banjir, kami juga nak bantu mangsa banjir di Pahang,” jawabnya.

Amat terharu kami mendengarnya. Walaupun penduduk Hulu Langat amat teruk terkesan dengan banjir baru-baru ini, masih ada antara mereka yang cakna dan sanggup datang dari jauh mengagihkan bantuan untuk mangsa-mangsa banjir di kampung ini.

Misi belum selesai

Selepas khidmat pembersihan dan makan tengah hari bersama penduduk, pasukan sukarelawan mengagihkan barang-barang bantuan untuk para penduduk.

Salah seorang penduduk turut mengabadikan foto pemberian bantuan berlatarbelakangkan keretanya yang rosak sepenuhnya akibat ditenggelami banjir. Para sukarelawan turut bersama-sama bergambar dengan kereta itu.

Kereta tersebut antara yang menonjol dapat dilihat semasa melawat kampung ini. Ia rosak setelah dimasuki air dan lumpur, bahkan sudah tercabut beberapa komponennya, kelihatan seperti sudah tidak boleh dibaiki lagi.

Walaupun sukarelawan dapat membersihkan halaman beberapa buah rumah termasuk membersihkan lumpur dalam di longkang sepanjang lima meter, sebenarnya masih banyak kerja yang belum dapat diselesaikan.

Longkang tersebut hanya untuk sebuah rumah, sedangkan rumah-rumah lain masih banyak longkang yang tidak digali lumpurnya, termasuk longkang besar di sepanjang jalan kampung tersebut.

Bagaimana jika hujan lebat berlaku di situ? Sudah pasti banjir lebih mudah berlaku akibat longkang yang masih tersumbat dengan lumpur. Itulah juga yang menjadi kerisauan penduduk di situ.

Oleh itu, pihak berkuasa tempatan perlu melakukan sesuatu supaya longkang-longkang tersebut dapat dibersihkan segera mungkin dan jika berlaku hujan, airnya dapat dialirkan dengan lancar tanpa melimpah di sekitar rumah penduduk kampung.

Ya, misi banjir sudah selesai. Namun, misi penduduk mengembalikan harapan untuk bangkit meneruskan kehidupan selepas banjir tetap diteruskan. Ketabahan mereka menghadapi ujian dan keluhuran budi mereka memberikan bantuan tetap menjadi ingatan.


Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia