Menang besar di Sarawak bukan tanda BN bersih, kata Mahfuz

Menang besar di Sarawak bukan tanda BN bersih, kata Mahfuz

Kemenangan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam tidak bermakna BN betul, cukai barang dan perkhidmatan (GST) baik untuk
rakyat, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak bersalah dan skandal negara 1MDB selesai, kata ahli Parlimen Pokok Sena Datuk
Mahfuz Omar.

Sebaliknya beliau mendakwa kemenangan BN diketahui umum kerana lambakan wang serta pengumuman projek dan peruntukan untuk memberi
harapan kepada rakyat Sarawak supaya mengundi BN.

“Dalam pilihan raya umum ke -13 diakui oleh Nazir adik Najib yang beliau diarah oleh abangnya untuk menyalurkan AS$7 juta (RM27.5 juta)
dari akaun perbadi abangnya Najib kepada jentera parti Umno BN secara tunai sebelum PRU13.

“Apa yang dilakukan Nazir sangat dipertikaikan dari mana abangnya Najib memperolehi wang tersebut. Saya percaya inilah juga yang berlaku
pada Prn 11 Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz juga berkata, Najib dan BN sangat mengharapkan kemenangan besar di Sarawak sehingga membelanjakan wang besar untuk jentera Putrajaya
berkampung di Petrajaya Sarawak.

“Harapan Najib dengan kemenangan yang telah diperoleh akan membenamkan dan mematikan semua serangan yang dihalakan kepadanya serta menutup
mulut yang meminta beliau berundur,” katanya lagi.

Beliau menambah, Najib cuba menggunakan rakyat khususnya pengundi Sarawak yang kekurangan maklumat mengenai apa yang berlaku di
Putrajaya untuk membersihkan segala kemungkaran politik salah guna kuasa dan kemungkaran ekonomi rasuah sindiket penipuan wang negara
yang dilakukannya bersama pemimpin Umno BN.

“Najib dan pemimpin Umno BN membawa sembahan tuhan wang bagi menjayakan misi mencuci dosa kemungkaran politik dan ekonomi,”
katanya.

Namun beliau mengingatkan Najib agar beliau tidak terus menipu rakyat kerana rakyat semakin bangkit untuk menyelamatkan Malaysia.

“Kepada Najib dan kuncu kuncunya harus ingat kamu tak boleh terus menipu pada setiap masa.

“Gerakan rakyat akan terus melangkah ke hadapan menyelamatkan Malaysia.

“Kepada rakyat saya mengingatkan jangan sampai kerana bertuhankan wang kita memusnahkan negara dan generasi baru Malaysia.

“Masih belum terlambat untuk rakyat bangkit perbetulkan negara dan meletakkan kembali Malaysia di andasan dengan menyingkir Najib dan
kuncu kuncunya dengan segera,” tegasnya.

Dalam keputusan rasmi PRN Sarawak yang diumumkan malam tadi, BN kekal menerajui pentadbiran negeri apabila menang 72 daripada 82 kerusi
Dewan Undangan Negeri (Dun) manakala masing-masing tujuh DAP dan tiga PKR.

Manakala Pas dan Amanah yang bertanding masing-masing 11 dan 13 kerusi gagal memenangi mana-mana kerusi.

COMMENTS

Wordpress (0)