Malaysia Dateline

Menang jadi pembangkang, kalah pula jadi pemerintah, sindir Mat Sabu

Terus mendapat perhatian dalam ceramah Jelajah Harapan malam tadi, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menempelak kerajaan pintu belakang yang dikatakan sebagai tidak sabar menunggu masa untuk berkuasa.

Beliau turut membandingkan bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menunggu sehingga 60 tahun, namun tidak bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terburu-buru mahu merampas mandat rakyat.

Katanya, keadaan ini menimbulkan persoalan apabila kemenangan Umno-BN sebelum ini dalam lima siri PRK sudah seharusnya meyakinkan mereka bahawa parti itu bakal mendapat sokongan pada PRU15 kelak.

“Barisan Nasional (BN) baru hilang kerajaan pada 2018, tanda-tanda kamu nak menang telah ada melalui kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK).

 Pimpinan PH yang turut serta dalam program ceramah Jelajah Harapan malam tadi.

“Kalau kamu yakin dengan kemenangan PRK sebelum ini, sepatutnya kerja lebih kuat pada PRU akan datang untuk kamu iaitu Umno-Pas ambil alih pemerintahan ini.

“Tapi kenapa kamu tak boleh tunggu? Kami boleh tunggu 60 tahun, kalau kamu rasa hebat kenapa kamu tak boleh tunggu 5 tahun?” soalnya dalam program ceramah di Tapak Rakan Muda, Andalas, Klang itu.

Turut hadir, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar; Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Pada masa sama, bekas Menteri Pertahanan itu turut mempersoalkan tindakan Umno-Pas yang memainkan isu perkauman semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan PH dan bekerjasama dengan pimpinan yang mempunyai puluhan kes rasuah yang masih dibicarakan.

Beliau turut mengkritik kerajaan yang sanggup merampas demokrasi rakyat itu sebagai telah melakukan rompakan di tengah-tengah pentadbiran yang sah.

Sebahagian mereka yang hadir dalam program Jelajah Harapan di Klang malam tadi.

“Pas mengaku mereka parti Islam tapi mereka terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan yang menentang rasuah dan mengangkat semula perasuah-perasuah ini untuk memerintah Malaysia.

“Kami tak redha kerajaan dirompak. Kerajaan yang kamu ambil sekarang ini, kerajaan yang tak sah. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang dan perlembagaan. Kalau takut kalah, tak perlu guna sistem demokrasi.

“Sekarang pun rakyat dah kecewa. Bagaimana boleh yang menang jadi pembangkang, yang kalah pula jadi pemerintah? Sebab itu dunia Eropah tak hantar ucapan tahniah sampai hari ini,” sindirnya.