Menang undi Melayu belum tentu Islam tertegak

Menang undi Melayu belum tentu Islam tertegak

Hari ini ramai kawan-kawan yang telah memuatnaik keratan muka depan akhbar Sinar Harian.

Saya memahami intipati apa yang cuba disampaikan oleh Datuk Seri Presiden Pas dengan tajuk “Pas perlu undi Umno”.

Maka tidak salah lagi keputusan yang dibuat oleh teman-teman saya yang telah keluar dari Pas dan bersama Amanah.

Pas kini menumpukan sepenuhnya bagaimana untuk meraih undi dari kalangan Umno dan bukti usaha mereka dapat dilihat dari beberapa siri tingkah laku mereka yang saling tak tumpah seperti Umno.

Bagi saya Pas kini sudah hilang tempat untuk berpaut. Kerusi campuran yang mereka pernah menangi dulu bakal hilang dalam PRU14 akan datang. Mereka hanya mahu undi Melayu sama seperti Umno. Niat untuk mendidik tentang kemajmukan bermasyarakat itu tampak jauh sekali.

Lihat saja “kesyadidan” yang ditonjolkon oleh pimpinan mereka yang dipanggil Ustaz dan Ulama.

Ia juga mahu mengikat minda melayu Islam agar terus merasa setiap kritikan yang dilempar akan jadi bunga dan bibit kepada dosa.

Hingga ada kalangan yang mereka gelar ulama (lantikan politik) mengambil kisah di zaman anbiya sambil menyamakan mereka dengan golongan yang baik dan dalam masa yang sama menyamakan musuh atau saingan politik mereka dengan watak yang antagonis.

Kini Amanah perlu memikul tanggungjawab menyebarkan nilai Islam yang sebenar dan bukan hanya menekankan apa bentuk hukuman tetapi bagaimana nilai Islam itu mampu dirasai oleh seluruh alam.

Jangan menidakkan gerakan Islam lain seperti NGO atau NGI sekalipun jemaah tabligh kerana mereka dan kita punya watak tersendiri.

Maka jika menjadikan sebab mengapa undi Melayu itu penting, Umno telah buktikan semenjak dari selepas kemerdekaan.

COMMENTS

Wordpress (0)