Rata-rata golongan akademik menyifatkan usul undi percaya kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lulus semalam sebagai perkembangan positif untuk negara dan rakyat Malaysia.
Bagi pensyarah UTM, Dr Mazlan Ali, usul yang diluluskan itu adalah petanda keyakinan anggota blok kerajaan walaupun mereka pernah bermusuhan secara politik sebelum ini.
“Ini petanda keyakinan anggota kerajaan walaupun BN dan PH sebelum ini bermusuhan. Mereka utamakan rakyat.
“Anggota BN seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Mohd Said juga sangat profesional dalam mempertahankan perdana menteri
“Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan-BN) pula menyarankan sokongan atas sebab rakyat dan negara. Ini petanda kerajaan sekarang akan bertahan selama lima tahun.
“Mereka mementingkan kestabilan politik dan blok kerajaan mempunyai keseimbangan untuk mewakili segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diluluskan secara undian suara.
Bagaimanapun sebelum itu, undi bagi pelantikan Speaker Dewan Rakyat sokongan amat padu dengan 147 undi menyokong dan 74 membangkang.
Sementara itu, felo kanan Insititut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Dr Denison Jayasooria pula berkata, kejayaan Anwar di Dewan Rakyat itu adalah pengiktirafan ketokohannya untuk memimpin negara.
“Ini adalah satu perkembangan positif kerana jumlah undian adalah lebih daripada majoriti dua pertiga (berdasarkan undi melantik Speaker sebelumnya). Jumlah undian juga merupakan cerminan yang kita lihat semasa pelantikan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat.
“Ini juga petanda bahawa kerajaan perpaduan ini akan mewakili segenap lapisan masyarakat,” tambah beliau.
Usul undi percaya di peringkat Persekutuan dibuat kali pertama pada 15 Januari 1976 untuk Tun Hussein Onn berikutan kematian Tun Abdul Razak.
Kali kedua, usul tersebut telah digunakan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.