Malaysia Dateline

Menangani fenomena “Malu Apa Bossku”

Tidaklah setiap hari saya berpeluang menonton Buletin Utama TV3 yang kini sudah ‘malas’ mungkin trendy lalu dijenamakan sebagai ‘bu’ – dengan huruf kecil – itu.

Jika ada kesempatan untuk menonton dapat dikenal pasti format laporan ‘bu’ berbeza dengan sebelum 9 Mei 2018. Jika era Najib Razak, awal-awal sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) lagi, berita jam 8 malam itu sudah ditayang satu demi satu laporan berupa kempen halus undilah BN.

Namun, pada PRK Cameron Highlands lalu dan kini menjelang pilihan raya di Dun Semenyih, tiada lagi berita yang bermotifkan propaganda agar mengundi Pakatan Harapan (PH).

Ketika rejim BN, wajah bengis Buletin Utama mengalahkan berita RTM1 dalam menyerang PH yang sebelum ini bergelar pembangkang.

Sebaliknya, tempoh 15 minit terawal bu sarat dengan laporan kemalangan, jenayah atau kebakaran. Segmen Aduan Rakyat pula baru-baru ini dilihat seperti menyerang kerajaan negeri Perak dengan penekanan kepada ungkapan merampas tanah orang kampung.

Kolumnis Ahmad Lutfi Othman dalam buku terbaharunya, Revolusi Tanpa Darah ada menyebut tentang keterbukaan untuk meraikan kebebasan media pasca PRU-14.

Era PH di tampuk kuasa di peringkat Persekutuan tentulah tidak harus mengitar semula sikap rejim BN. Meminjam kenyataan Ahmad Lutfi dalam bukunya itu, “Tiada lagi surat amaran, arahan menghadap atau panggilan telefon dari KDN (Kementerian Dalam Negeri) atau isu remeh-temeh.”

Walau bagaimanapun, dalam berlapang dada dengan politik media, pastinya pemimpin dan penyokong PH terutamanya bermuhasabah sejauh mana kebebasan itu turut diisi dan digubah indah oleh parti pemerintah sendiri.

Inilah persoalan penting yang dilontarkan mantan Ketua Pengarang Harakah itu: “Apakah pembaca, pendengar atau penonton mempunyai pilihan yang cukup? Apakah pasaran sudah menawarkan variati yang berkualiti?”

Beliau berpendapat belum muncul alternatif yang lebih baik khususnya akhbar cetak selepas enam bulan pentadbiran PH dengan pada masa sama Bernama dan RTM sebagai media kerajaan “juga agak perlahan peningkatan pencapaiannya.”

Tidaklah bermaksud kerajaan perlu bersikap kuku besi terhadap Utusan atau Media Prima tetapi tentunya media yang berbeza amat diperlukan pada masa ini.

Seorang lagi ‘otai media alternatif’ yang bergelut dengan portal berita sejak awal 2000 lagi, Fathi Aris Omar pernah menulis tentang pentingnya “tenaga manusia yang cekap” seganding dengan kemajuan teknologi media.

Eseinya yang mulanya disiar di Berita Keadilan pada 5 Februari 2001 kemudiannya dimuatkan kembali dalam Agong Tanpa Tengkolok (2014) menekankan perlunya “tenaga manusia, kreativiti aktivis, kepintaran pakar strategi dan pengorganisasian” dalam “memecahkan rangkaian propaganda pemerintah”.

Hanya selepas 18 tahun Fathi Aris menulis sedemikian, perkara-perkara penting yang disebutkannya itu masih relevan untuk diaplikasi PH.

Ini memandangkan jentera media pemerintah pula dilihat dalam keadaan serba kurang menerang apa lagi ‘berseni’ dalam menyerang fitnah, pembohongan dan adu-domba pembangkang.

Apa lagi trend ‘Malu Apa Bossku’ yang dipelopori Najib Razak. Meskipun menampilkan citra dungu bekas Perdana Menteri itu tetapi dilihat berkesan menjentik minda bawah sedar rakyat yang majoritinya non partisan dan pada masa sama dahagakan maklumat berkaitan perkembangan usaha kerajaan berkaitan kepentingan mereka.

Isyarat di sebalik populariti ungkapan itu di media sosial mesti cermat ditangani kerajaan. Bahkan, saya terkejut melihat fenomena itu ‘mewabak’ pada baju-T yang dijual dua helai hanya RM10!

Orang ramai sibuk memilih saiz baju-T pelbagai warna tertera slogan itu di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru Jumaat minggu lalu.

Ramai orang membeli hinggakan saiz L habis! Mereka terus berkerumun dan terus meminta lagi dan lagi. PH tidak harus selesa dengan keterujaan rakyat khususnya masyarakat Melayu terhadap ‘kempen halus’ itu tanpa memanfaatkan pelbagai saluran media.