Malaysia Dateline

Menanti kebangkitan baru rakyat Mesir

Penghujung Mei 2013, kami tiba di Kaherah, Mesir. Ketika itu satu himpunan ulama ulama diketuai oleh Dr Yusuf Al Qardhawi sedang berlangsung membincangkan beberapa perkara termasuk fatwa jihad terhadap Syria. Di sebelah malamnya diadakan himpunan khas bersama Presiden Mesir yang baru setahun memenangi pilihanraya bebas buat kali pertamanya dalam sejarah Mesir, Dr Mohammad Morsi. Mendengar ucapan beliau pada malam itu khususnya amaran dan penegasan terhadap beberapa negara dalam hal berkaitan Syria cukup mendebarkan.

Ketika itu Mesir diambang Himpunan Tamarud yang akan bermula sebulan lagi iaitu pada 30 Jun 2013 oleh pakatan 3 pemimpin pembangkang bersama beberapa kelompok yang lain. Tiga orang tokoh ini iaitu Mohamad Al Barda’ie bekas Pengerusi Agensi Atom Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang sebelum kejatuhan Hosni Mubarak telah mengadakan pakatan dengan Ikhwanul Muslimin dan Morsi untuk menentang Hosni Mubarak dalam pilihanraya berikutnya. Namun kebangkitan rakyat telah berlaku lebih awal dan pada Januari 2011, Hosni Mubarak telah digulingkan setelah 3 minggu rakyat berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah dan bandar bandar utama seluruh Mesir. Yang keduanya Hamdan Sobahi pemimpin parti Sosialis dan yang ketiga, Ahmad Shafiq tokoh serpihan yang mewarisi parti Hosni Mubarak. Ketiga tiga mereka berpakat menyeru rakyat turun ke jalan raya untuk menggulingkan Morsi.

Di media ketika itu, serangan berlaku secara terbuka terhadap kerajaan Morsi. Daripada 12 surat khabar utama, hanya dua sahaja menyebelahi kerajaan dan bakinya bertindak sebaliknya. Antara yang popular digambarkan Morsi pemimpin yang gagal menyelesaikan masalah rakyat. Setelah lebih 50 tahun rakyat menderita di bawah pemerintahan sebelumnya, Morsi yang menjanjikan untuk menyelesaikannya gagal untuk tahun yang pertama kata mereka. Paling sederhana pun mereka menggambarkan Morsi sebagai pemimpin yang baik, tetapi beliau di kawal oleh Mohamad Bade’ Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang digambarkan radikal. Walaupun ditohmah sebegitu, hakikatnya hanya beberapa orang sahaja pemimpin Freedom and Justice Party (FJP), parti politik ditubuhkan Ikhwanul Muslimin terlibat sebagai menteri kabinet. Majoriti menteri kabinet Morsi dilantik dikalangan teknokrat yang tidak berparti dan pemimpin pemimpin parti lain. Ia termasuk Perdana Menteri sendiri Dr Hisham Kandil bukan daripada ahli parlimen FJP.

Manakala dalam tempoh sebulan tersebut kerap kali bekalan elektrik dan air ‘terputus’. Kemudian menjelang seminggu terakhir sebelum himpunan, majoriti stesen minyak ditutup atas alasan kehabisan petrol dan gas. Ini menyebabkan kenderaan terpaksa beratur panjang untuk mengisi minyak di hanya beberapa stesen minyak yang dibuka. Ada yang menyatakan ia adalah sabotaj daripada saki baki pengikut Hosni Mubarak dan tentera yang masih lagi menguasai agensi kerajaan dalam tempoh setahun pertama pentadbiran Morsi. Sebelum itu, kerajaan Turki telah menghadiahkan 200 buah lori pegangkut sampah kepada kerajaan Mesir dan dibahagikan 100 buah untuk Kaherah dan masing masing 50 buah untuk Giza dan Iskandariah, tiga bandar utama yang sejak sekian lama bermasalah dalam hal pungutan sampah. Namun kontrak baru memungut sampah ini tidak berjaya dijalankan kerana kumpulan ‘Baltoji’ iaitu kumpulan radikal yang sebahagiannya bersenjata di kalangan pengikut kerajaan terdahulu yang menguasai kontrak kutipan sampah menanti di kawasan kawasan yang terlibat. Mereka menghalang kerja kerja memungut sampah dijalankan dan memaksa kontrak itu diberikan kembali kepada mereka. Akibatnya menjelang Himpunan Tamarud tersebut sampah sampah bertimbun di kawasan perumahan tidak dikutip akibat sabotaj tersebut.

30 Jun 2013 penyokong gerakan Tamarud mula berhimpun di Dataran Tahrir dan mendesak Morsi berundur. Manakala penyokong kerajaan pula telah membuka pentas himpunan di Medan Rubu’ah Madinah An Nasr dan Medan An Nahdah berhampiran Cairo University, Giza. Jumlah kedua dua perhimpunan membesar mendadak apabila masuk 1 Julai. Morsi mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan yang dilantiknya yang juga Panglima Angkatan Tentera Mesir, Janeral Abdul Fattah As Sisi dan Menteri Dalam Negeri Mohamad Ibrahim bagi mencari jalan menghadapi kedua dua himpunan. Menjelang 2 Julai, peserta Himpunan Tamarrud sebahagiannya mula berarak ke Istana Presiden dan sebahagian yang lain kekal di Dataran Tahrir.

3 Julai 2013, sebelum waktu Maghrib, Menteri Pertahanan yang juga Panglima Angkatan Tentera telah mengadakan sidang media bersama dengan dua tokoh utama agama Islam dan Kristian Mesir dan wakil himpunan Tamarrud, Mohamad Al Bardaie mengumumkan Presiden Mesir yang dipilih secata demokrasi Dr Mohamad Morsi digulingkan. Serentak dengan itu tentera dan polis mula menggerakkan ketumbukan mereka di beberapa kawasan strategik di Kaherah. Manakala Morsi yang berada di Istana Presiden mengadakan sidang media balas dan mengistiharkan beliau masih lagi Presiden. Selesai sidang media yang disiarkan secara langsung tersebut, Morsi terus ditangkap dan ditahan di bangunan Pengawal Republik.

Bermula saat itu, tangkapan demi tangkapan dilakukan terhadap pemimpin FJP. Diantaranya Dr Mohamad Bade’, jutawan pemilik pasaraya Aulad Rejab Khairat As Syatir, Hazim Abu Ismail bekas calon Presiden daripada Parti An Nur dan ramai lagi. Penyokong penyokong Morsi kekal berhimpun di Rubu’ah dan An Nahdah membantah Kudeta tersebut yang telah membunuh demokrasi. Menjelang bulan ramadhan, himpunan menjadi semakin besar. Setiap hari jumaat lebih 40 buah masjid masjid utama sekitar Qaherah mengadakan himpunan dan seterusnya berarak menuju ke Medan Rubu’ah dan An Nahdah. Tentera dan polis mula digerakkan ke dua dua lokasi. Sebahagian peserta himpunan berkhemah di kedua dua lokasi. Manakala yang lain akan hadir selepas solat asar dan kekal sehingga subuh.

14 Ogos 2013 iaitu hari raya Aidil Fitri kelima, tentera dan polis di gerakkan merapati kedua dua lokasi. Peserta himpunan di kedua dua lokasi berkurangan kerana sebahagiannya pulang ke rumah selepas solat subuh. Tembakan gas pemedih mata mula dilepaskan bertalu talu terhadap peserta himpunan. Suasana menjadi kelam kabut apabila sebahagian peserta cuba membantu peserta yang lain yang kesesakan nafas dan cedera. Namun ia tidak mematahkan hasrat peserta himpunan untuk kekal di kedua dua lokasi. Pihak tentera dan polis mula melepaskan peluru hidup dan membunuh beberapa peserta himpunan. Suasana kelam kabut tersebut disiarkan secara langsung oleh siaran media Al Jazeera dan beberapa saluran media antarabangsa yang lain yang turut berkampung lebib sebuoan di Medan Rubu’ah.Diantara mangsa yang ditembak ialah Asma’ Beltaji. Seorang remaja anak kepada pemimpin FJP Dr Mohamad Beltaji. Sehingga waktu asar, pihak tentera berjaya menguasai sepenuhnya Medan Rubu’ah. Ribuan ditangkap dan sejumlah penyokong Morsi ditembak mati dalam peristiwa 14 Ogos tersebut. Walaupun angka tepat kematian cuba ditutup oleh pihak berkuasa Mesir, namun ia menjadi pengetahuan umum apabila jenazah jenazah di keluarkan dan di solatkan di beberapa masjid seberpi Masjid Al Fatah, Masjid As Salam Hayyu Asir dan beberapa masjid yang lain yang menyaksikan setidak tidaknya ratusan mayat diuruskan di masjid masjid tersebut.

Bermula daripada saat itu, demokrasi dan hak asasi manusia semakin gelap di Mesir. Sisi menyertai pilihanraya dan menang dengan majoriti yang besar selepas ribuan pemimpin pembangkang di pelbagai peringkat ditangkap dan dipenjarakan. Morsi dan beberapa tokoh yang lain didakwa di atas dakwaan yang direka reka dan akhirnya meninggal dunia beberapa bulan yang lepas. Beliau menuruti Dr Mohamad Bade’ yang meninggal di penjara juga sebelumnya. Peristiwa ini telah dikutuk oleh Kesatuan Eropah, Human Right Watch dan lain lain agensi hak asasi manusia.

Sejak peristiwa hitam 14 Ogos di Medan Rubu’ah dan An Nahdah tersebut, rakyat tidak lagi berani turun ke jalan raya atau bersuara. Walaupun tekanan demi tekanan dilakukan di peringkat antarabangsa yang mengutuk kudeta dan pelanggaran hak asasi manusia tersebut, tidak ada sebarang protes dilakukan. Walaupun sebilangan pihak mengkritik beberapa dasar Morsi khususnya dasar luarnya yang terlalu awal untuk bermusuh dengan negara dan kuasa lain khususnya berkaitan isu Syria, dalam keadaan kedudukan kerajaannya masih belum kukuh, umum tidak menolak beliau telah membuka selebar lebarnya demokrasi di Mesir. Media media dibebaskan sehingga majoritinya mengkritik kerajaan. Sebahagian besar anggota kabinet beliau diambil daripada pelbagai golongan termasuk yang tidak berparti tetapi mempunyai kepakaran tertentu.

Selama enam tahun ini Mesir sunyi daripada bantahan. Sisi menang lebih besar dalam pilihanraya penggal kedua. Ekonomi Mesir berada dalam keadaan yang sangat buruk. Matawang genih turun 100 peratus berbanding di zaman sebelum Morsi. Dilaporkan 1 pertiga rakyat Mesir berada dalam keadaan miskin. Setelah 6 tahun yang sunyi ini, jumaat lalu rakyat Mesir mula turun ke jalan raya memprotes Presiden Sisi. Uniknya peserta himpunan ini sebahagiannya dikalangan bekas bekas penyokong Sisi sendiri yang mengundi beliau dalam pilihanraya yang lalu. Himpunan ini dicetuskan oleh seorang kontraktor binaan yang berkhidmat selama 15 tahun dengan tentera Mesir, Mohamad Ali. Beliau menyebarkan video rakaman di laman media baru mendedahkan penyelewengan wang rakyat yang dilakukan oleh Presiden Sisi, isteri dan menteri kabinetnya. Ia termasuklah pembinaan istana baru Presiden dan beberapa vila yang lain dikala rakyat berada dalam tekanan ekonomi yang parah. Mohamad Ali menyeru rakyat turun ke jalan raya dan seruan beliau disambut oleh rakyat Mesir di Kaherah, Iskandariah, Suez dan beberapa bandar lain.

Peristiwa ini mengejutkan dunia dan menjadi berita utama beberapa media sejak dua hari ini. Ada yang menjangkakan ia satu kebangkitan baru warga Mesir untuk menyelamatkan negara mereka setelah bergelap selama enam tahun. Tidak pasti sejauhmana kebangkitan ini akan berlaku, pokoknya ketakutan sebahagian rakyat pasca peristiwa Kudeta Morsi 2013 dan peristiwa Rubu’ah mula hilang daripada diri mereka. Dunia menanti respon seterusnya daripada pihak rakyat dan kerajaan selepas ini. Adakah ia akan berkembang menjadi satu kebangkitan baru atau sekadar himpunan kecil yang mudah dipatahkan oleh pihak berkuasa. Masih terlalu awal untuk menjangkakan.

*Penulis adalah Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pertahanan.