Malaysia Dateline

Menanti kemunculan Naga untuk selamatkan Tasik Chini

Agak sedih juga ketika menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia baru-baru ini, negara kita masih berada ditakuk lama dalam pembangunan yang merosak dan mencemarkan alam sekitar.

Seingat saya semasa menjadi wartawan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) isu eksploitasi dan kemusnahan ekologi Tasik China ini berlaku apabila sebuah empangan kecil di bina di Singai Chini pada 1995. Sejak itu Tasik Chini dan kawasan sekitarnya telah diancam oleh pelbagai kegiatan seperti pembalakan, perlombongan dan pertanian.

Pembinaan empangan dan kegiatan-kegiatan yang mengancam alam sekitar tidak sahaja merosakkan ekosistem semulajadi dan kualiti alam sekitarnya tetapi menjejaskan kehidupan dan sosio-ekonomi penduduk yang tinggal di kawasan sekitar Tasik Chini terutamanya kawasan penempatan Orang Asli.

Isu dan masalahnya berlarutan sehingga ini dengan tiada penghujungnya malah semakin serisu. Semasa bekerja sebagai wartawan di CAP, saya dan wartawan Sahabat Alam Sekitar (SAM) sentiasa membuat tinjauan dan menulis artikel berhubungan pencemaran dan kerosakan ekosistem di sana.

Bahkan semasa itu, sebagai wartawan di Utusan Pengguna (akhbar bulanan CAP), saya pernah membuat kenyataan akhbar berhubungan isu di Tasik China. Saya masih ingat, SAM berserta beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs) termasuk Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) dan Rangkaian Penanam Kecil Felda Chini (CISNET) pernah mengutarakan aduan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan agensi-agensi kerajaan berhubung isu tetapi tiada jalan penyelesaian.

Sebagai tambahan, apa yang saya ketahui sebagai usaha menyelamatkan Tasik Chini, SAM sendiri telah menjalankan beberapa inisiatif mengadakan mesyuarat bersama penduduk tempatan dan komuniti orang asal bahkan mengambil langkah-langkah mengendalikan perbincangan dengan mereka, tinjauan di lokasi dan mengadakan sidang media.

Bahkan SAM sering mengulangi supaya Kerajaan Negeri Pahang mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Tasik China dan kawsasan sekitaranya.

Dalam hubungan ini disebabkan tiada langkah tegas daripada Kerjaaan Negeri, saya masih ingat lagi pada 2012 komuniti Orang Asli Tasik Chini telah menyerah memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia supaya dapat menghentikan semua kegiatan yang memusnahkan Tasik Chini dan kawasab sekitarnya.

Difahamkan penerokaan tanah bagi perlombongan di kawasan itu bermula sejak beberapa tahun lalu menjadi semakin parah kebelakangan ini. Malah cadangan kelulusan yang diberikan kepada projek perlombongan di sekitar Tasik China itu akan memburukan lagi keadaan. Bahkan sepanjang sedekad yang lalu, ekosistem semulajadi Tasik Chini dan kawasan sekitarnya telah lama dieksploitasi dan dirosakkan.

Tak tahulah sejauh manakah Kerajaan Negeri Pahang memainkan peranan pro-akttif menyelamat dan memulihara Tasik Chini kepada keadaan semujadinya dahulu, Kerajaan Negeri harus bertanggungawab kepada apa yang berlaku sekarang. Rakyat sekarang dengan kekuatan media sosial sedang memerhati apa yang dilakukan Kerjaaan Pahang dalam mengatasi perkara ini.

Tinjauan di lapangan pernah dilakukan dahulu dan mendapati air di sungai dan tasik adalah berlumpur dan kotor, mengancam kehidupan dan tumbuhan akuatik dan rumpai yang akan mati. Keadaan sekarang tentulah lebih serius lagi. Akhirnya spesies ikan yang menjadi sumber makanan kepada penduduk sekitar terutamanya Orang Asal yang tinggal di lima perkampungan itu akan terjejas.

Bagaimanapun, kejadian penerokaan hutan dan perlombongan di Bukit Ketaya dan kawasan berhampiran di Tasik Chini, Pahang, sejak sekian lama sepatutnya tidak berlaku, walaupun kawasan itu dikatakan kaya dengan pelbagai jenis galian. Ini disebabkan oleh kerakusan penerokaan tanah tanpa kawalan dilakukan berhampiran tasik seolah-olah tiada zon penampan seperti yang lazimnya ditetapkan bagi mengelak pencemaran alam sekitar akhirnya mengundang bencana.

Apalah ertinya perisytiharan Tasik Chini sebagai tapak rizab Simpanan Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jika tasik itu sendiri berada dalam keadaan ancaman. Ini meruapakan suatu keadaan yang amat memalukan.

Setahu saya kawasan berkenaan ialah tapak rizab biosfera pertama di negara ini yang sepatutnya berfungsi sebagai tapak pemuliharaan dan konservasi biodiversiti, selain menyokong pembangunan lestari. Ketika ini, terdapat 651 tapak rizab biosfera dari 120 negara di dunia dengan Tasik Chini diwartakan sebagai tapak rizab biosfera kerana kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Sehubungan ini Kerajaan Pahang dikatakan mengambil langkah mewartakan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia, Tasik Chini sebagai taman negeri yang baharu dan kawasan hutan simpan bagi menjadikannya sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi pilihan pelancong termasuk dari luar negara.
Oleh itu kerajaan haruslah tidak meluluskan sebarang projek perlombongan kegiatan yang mengancam alam sekitar Tasik Chini.

Bayangkan pemendapan sisa enapcemar dan tumbuhan yang mati itu menyebabkan Sungai Pahang, Tasik Chini dan Tasik Mentega menjadi cetek. Agak membimbangkan kerana jumlah keluasan tasik semakin menyusut berbanding saiz asalnya dengan perubahan paling ketara yang membabitkan kedalaman tasik akibat berlakunya mendapan sedimen daripada kegiatan penerokaan hutan dan perlombongan.

Keadaan ini menyebabkan air sungai melimpah keluar semasa banjir dan kedua-dua tasik gagal untuk menampung pengaliran air yang deras daripada hutan yang telah ditebang.

Kesan buruknya, ia boleh menyebabkan sebahagian besar bandar Pekan berpotensi dilanda banjir kerana Tasik Chini adalah zon penampan semula jadi banjir untuk menakung curahan air hujan sebelum dialirkan ke Sungai Pahang dan sekarang tidak lagi mampu melakukan fungsi berkenaan.

Sejauh manakah Kerajaan Negeri Pahang sedar akan masalah ancaman pencemaran dan kecetekan air sungai dan tasik yang dikaitkan dengan banjir di Pahang?

Pihak berkuasa harus menyedari bahawa mereka perlu mesra dengan alam kerana ia dapat membantu mencegah bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan bencana lain.

Kementerian Alam Sekitar juga haruslah campur tangan dalam isu ini supaya dapat diselesaikan.
Apakah kita hendak menantikan kemunculan naga yang berang dengan situasi di Tasik Chini baru akan menyedarkan Kerajaan Pahang akan tanggungjawab mereka untuk memulihara dan menjaga kesejahteran ekologi tasik tersebut?

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)