Menanti penyambung amanat Mahathir di PBB

 

Dengan menjadi ketua kerajaan tertua di dunia, pada usia 93 tahun, ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 pada 28 September lalu menjadi suatu amanat bersejarah bagi badan dunia itu walaupun Malaysia hanyalah sebuah negara kecil.

Sungguhpun begitu, Dr Mahathir mempunyai rekod yang popular pada dari tahun 1981 ke 2003 sebagai penyambung lidah negara-negara kecil di pentas dunia.

Bagi pihak pembangkang yang aktif menentang Barisan Nasional (BN) dari tahun 1981 hingga 2003, umumnya mereka tidak ada masalah dari segi pendirian Dr Mahathir dalam hal ehwal antarabangsa khususnya berhubung isu-isu seperti Palestin, Afghanistan dan Bosnia-Herzegovina.

Pada masa itu, pihak pembangkang terdiri daripada Pas, DAP dan Parti Rakyat mulai tahun 1981, diikuti dengan Parti Semangat 46 dari 1990 hingga 1996, kemudian disertai oleh Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999.

Ketika itu, Pas adalah paling aktif dalam isu-isu antarabangsa berhubung dengan dunia Islam, pemimpin pemuda parti itu Mohamad Sabu sering mengetuai demonstrasi membantah Amerika di depan kedutaan itu.

Di situlah terletaknya bersejarahnya kehadiran Dr Mahathir di UNGA New York ini. Tidak seperti 15 tahun lalu, kali ini beliau mengetuai kerajaan Pakatan Harapan, dan bukannya BN. Dr Mahathir mengetuai kerajaan yang di dalamnya ada pemimpin-pemimpin yang dahulunya menjadi pembangkang terhadapnya. Turut dalam robongan beliau ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dari PKR, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Dr Dzulkifly Ahmad dari AMANAH.

Menghadiri UNGA sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan mempunyai makna besar kerana Malaysia membuktikan pada dunia bahawa proses demokrasi berjalan dan berkesan di negara ini. Maka suara yang dibawa oleh Dr Mahathir adalah benar-benar dari rakyat.

Namun begitu, walaupun Malaysia telah berubah tetapi dunia masih sama. Katanya:
“Kali terakhir saya berucap di sini pada 2003, saya teringat bagaimana dunia ini kehilangan arah. Saya meratapi hakikat betapa negara kecil terus melutut di kaki negara berkuasa. Saya tegaskan perlunya negara membangun mendesak supaya dunia berubah, meningkatkan pembinaan kapasiti dan mempelbagaikan ekonomi. Kita mesti kekal mengawal masa depan sendiri.”

“Namun hari ini, 15 tahun berikutnya, dunia tidak banyak berubah. Malah, boleh dikatakan keadaan dunia ketika ini jauh lebih teruk berbanding 15 tahun lalu. Hari ini, dunia berada dalam kegawatan ekonomi, sosial dan politik,” jelasnya.

Menurut beliau, kegawatan terburuk adalah dalam arena politik.

Beliau mengulangi pendiriannya yang penulis hadir pada tahun 1983 ketika Malaysia mengadakan persidangan antarabangsa mengenai Palestin di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Ketika itu Menteri Luar ialah Tan Sri Ghazali Shafie. Ia merupakan inisiatif Dr Mahathir dan pada masa itu prinsip ini merupakan suatu perkara baharu.

Dr Mahathir memberitahu UNGA: “Peperangan menentang pengganas tidak akan berakhir selagi punca di akar umbi tidak ditemui dan dihapuskan, manakala hati dan pemikiran dikuasai.”

“Apakah puncanya? Pada 1948, tanah rakyat Palestin dirampas untuk mewujudkan Israel. Rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai dan dipaksa meninggalkan kampung halaman. Rumah dan ladang mereka dirampas.

“Mereka cuba melawan perang konvensional dengan bantuan jiran yang bersimpati. Bagaimanapun, rakan kepada Israel memastikan cubaan itu gagal. Lebih banyak tanah Palestin dirampas manakala penempatan Israel dibina secara meluas di atas tanah Palestin. Pada masa sama, rakyat Palestin dinafikan akses terhadap penempatan yang dibina di tanah mereka.

“Awalnya rakyat Palestin cuba melawan menggunakan lastik dan batu. Mereka ditembak dengan peluru hidup dan ditangkap. Ribuan lagi dipenjarakan.

“Kecewa dan marah, kecundang dalam menentang peperangan konvensional, rakyat Palestin beralih kepada apa yang kini dipanggil keganasan.

“Dunia langsung tidak peduli ketika Israel melanggar undang-undang antarabangsa, merampas kapal membawa ubat-ubatan, makanan dan bahan binaan di perairan antarabangsa. Rakyat Palestin melancarkan roket biasa yang tidak mencederakan sesiapa. Israel bertindak balas secara besar-besaran, melancarkan roket dan mengebom hospital, sekolah serta pelbagai bangunan yang mengorbankan nyawa orang awam termasuk kanak-kanak dan pesakit. Dan ramai lagi.”

“Kemarahan membuak dan kekecewaan rakyat Palestin serta rakan yang bersimpati, mendorong mereka bertindak terhadap apa yang dipanggil keganasan. Namun demikian, penting untuk kita memperakui bahawa apa juga perlakuan yang menakutkan orang ramai, turut mendorong kepada keganasan. Dan negara yang mengebom atau melancarkan roket hingga mencacatkan atau meragut nyawa mereka yang tidak berdosa, juga menakutkan orang ramai. Ini juga adalah perlakuan keganasan.

“Malaysia bencikan keganasan. Kami akan menentangnya habis-habisan. Namun kami percaya, satu-satunya cara untuk menentang keganasan ialah dengan menghapuskan puncanya. Benarkan rakyat Palestin mendapatkan kembali wilayah mereka. Izinkan pembentukan negara Palestin. Hidupkan keadilan dan kedaulatan undang-undang. Penentangan terhadap mereka tidak akan menghentikan keganasan. Cubaan untuk mengatasi mereka juga tidak akan berhasil.”

“Kita perlu mengingatkan diri sendiri bahawa PBB, seperti mana Liga Negara-Negara satu ketika dulu, dibentuk dengan matlamat murni untuk menamatkan peperangan antara negara.” katanya.

Di sini perlu diingat bahawa sebaik saja Dr Mahathir melepaskan jawatan pada tahun 2003, beliau telah melancarkan sebuah badan anti perang: Tujuan badan ini ialah untuk memansuhkan dan mengharamkan peperangan. Kalau perhambaan boleh terhapus, peperangan juga boleh ditiadakan di muka. Walaupun badan ini mula bergerak pada tahun 2005 tetapi perjuangan beliau tidak mendapat sambutan.

Dr Mahathir berkata lagi:
“Peperangan bermakna membunuh manusia. Peperangan moden cenderung kepada pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan negara. Negara bertamadun mendakwa mereka menentang pembunuhan atas apa alasan sekalipun. Apabila seseorang membunuh, dia melakukan jenayah bunuh. Dan balasannya mungkin hukuman mati.

“Bagaimanapun, seperti yang diketahui, peperangan menggalakkan dan membenarkan pembunuhan. Malah, pembunuhan itu dianggap mulia manakala pembunuh dijulang sebagai wira. Dada mereka disemat pingat manakala patung didirikan bagi mengenang jasa mereka, nama pula dicatat dalam buku sejarah.”

“Ada yang tidak kena dengan cara kita berfikir, dengan sistem nilai kita. Bunuh seorang lelaki, itu adalah pembunuhan. Bunuh sejuta orang dan anda menjadi wira. Dan kita masih percaya konflik antara negara boleh diselesaikan dengan peperangan.

“Namun peperangan ini memberi keuntungan kepada pengeluar dan pedagang senjata. Perniagaan senjata kini menjadi perniagaan terbesar di dunia. Mereka mendapat keuntungan tak bermaruah daripada kematian dan kemusnahan yang yang berpunca daripada mereka. Malah sebenarnya, negara yang kononnya mencintai keamanan ini yang mempromosikan perniagaan memalukan ini.”

“Hari ini, senjata menelan kos berjuta ringgit. Jet pejuang berharga kira-kira AS$100 juta. Dan kos penjagaan serta penyelenggaraan membabitkan berpuluh juta dolar. Tetapi negara miskin dipujuk untuk membeli walaupun mereka tidak mampu. Mereka diberitahu jiran mereka atau musuh memilikinya, maka penting untuk mereka mempunyai senjata sama.”

“Justeru, ketika rakyat mereka kelaparan dan tertekan akibat pelbagai jenis penderitaan, sebahagian besar bajet diperuntukkan untuk membeli senjata. Hakikat bahawa pembeli terbabit mungkin tidak perlu menggunakannya langsung, tidak melintasi pemikiran si penjual.”

Untuk itu, Dr Mahathir mengulangi cadangannya tehadap PBB, 15 tahun lalu.
“Lima negara atas dasar kemenangan lebih 70 tahun lalu, tidak boleh mendakwa mempunyai hak untuk menentukan hala dunia selama-lamanya. Mereka tidak boleh memperkudakan moral, melaungkan demokrasi dan perubahan rejim negara lain di dunia sedangkan mereka menafikan demokrasi dalam pertubuhan ini.

“Saya pernah mencadangkan kuasa veto tidak sepatutnya dipegang oleh hanya satu anggota tetap, sebaliknya sekurang-kurangnya dua kuasa besar dengan disokong tiga negara bukan anggota tetap Majlis Keselamatan. Perhimpunan Agung boleh menyokong keputusan itu dengan majoriti mudah. Itu saja yang ingin saya katakan,” katanya mengakhiri amanatnya pada dunia.

Pada masa ini tidak sesiapa yang mempedulikan cadangannya. Tetapi ia merupakan langkah awal ke arah itu. Terpulang pada pihak lain untuk menyambungnya.

 

CATEGORIES
TAGS