Menantu Hadi dakwa sistem KWSP haram, puji pengenalan akaun patuh syariah

Menantu Hadi dakwa sistem KWSP haram, puji pengenalan akaun patuh syariah

Isnin lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan akaun patuh syariah di mana ahli boleh memilih berpindah daripada akaun sedia ada kepada akaun “Simpanan Syariah” mulai Ogos ini.

Mengulas mengenai pengumuman itu, AJK Pas Pusat Zaharuddin Muhammad yang juga menantu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, apa yang diperkenalkan itu bertepatan dengan kaedah muamalat Islam tetapi dakwanya, sistem KWSP itu sendiri bercanggah dengan Islam kerana ia umpama cukai yang dipaksa.

Beliau menyifatkan sistem KWSP sebagai haram, zalim dan menjadikan masyarakat dijajah sekalipun kontraknya halal.

Beliau yang mempertikaikan peraturan mewajibkan majikan dan pekerja menyumbang ke dalam KWSP itu turut menyamakan caruman KWSP dengan perbuatan merompak.

“Gambaran awal yang saya boleh berikan ialah seperti seseorang yang merompak wang kita dan menjadikannya modal untuk dibeli barang dan barang itu dijual semula kepada kita.

“Waktu dia beli barang tu dia guna kontrak patuh syariah. Tapi waktu dia paksa kita bayar, waktu dia beli barang, waktu wang itu diberikan kepada siapa untuk dijadikan modal, untuk meniaga apa, semuanya tanpa izin kita, hatta bila dia nak bagi balik duit yang dia rompak pun tanpa restu kita.

“Ini bahagian besar KWSP yang tidak patuh syariah,” tulis Zaharuddin dalam laman Facebook, semalam.

“Dengan bahasa lebih mudah, kontrak patuh syariah KWSP ini bertepatan dengan kaedah muamalat Islam tetapi sistem KWSP itu sendiri bercanggah dengan Islam seperti percanggahan dengan konsep Anti Duulatan Baina Al Aghniya’ (harta negara berlegar dikalangan orang kaya sahaja) dan konsep kebebasan individu dalam pengurusan harta peribadi sebagaimana yang diperuntukkan oleh hadis,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan syabas kepada Kerajaan atas pembukaan bahagian patuh syariah tetapi dalam masa yang sama, Zaharuddin turut menuntut bahawa beliau akan melawan dan mengambil kerajaan daripada Umno melalui sistem demokrasi bagi membebaskan harta rakyat yang dijajah dan dimonopoli oleh orang kaya.

“InsyaAllah anda akan faham bagaimana KWSP boleh meranapkan ekonomi rakyat bawahan seterusnya menjerumuskan kita dalam hutang dalam siri penerangan saya akan datang,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)