Menantu Hadi lapor polis tuduhan Pas terima RM90 juta

Menantu Hadi lapor polis tuduhan Pas terima RM90 juta

Yang Dipertua Pas Kawasan Subang Zaharudin Muhammad membuat laporan polis terhadap Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa berhubung tuduhan wang RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu.

Zaharuddin, yang juga menantu Presiden Pas, telah menfailkan laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh pada 20 Februari lalu dengan mendakwa tuduhan Husam itu bersifat ‘membuat kecoh’ walhal diketahui maklumat dalaman bank di Malaysia dilindungi oleh akta dan undang-undang.

Tindakan Husam itu dakwanya melibatkan keselamatan data pelanggan di Affin Bank Berhad yang dilindungi di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) jika ia membabitkan akaun perbankan Islam dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA 2013) jika ia membabitkan akaun perbankan konvensional.

Zaharuddin tidak menolak Husam menipu orang ramai kerana mustahil untuk beliau mendapat maklumat sulit daripada pihak bank memandangkan ia dilindungi mengikut akta sedia ada.

“Mungkin YB Datuk Husam menipu orang ramai kerana mustahil beliau boleh mengetahui data bank yang dikategorikan sebagai maklumat sulit yang dilindungi oleh FSA 2013 dan IFSA 2013.

“Atau mungkin Husam diberikan maklumat yang salah oleh pihak ‘orang dalam’ Affin Bank dan jika ini benar, maka kesemua penyimpan di Affin Bank adalah tidak selamat dan ‘orang dalam’ itu mesti dicari oleh pihak polis dan Affin Bank sendiri,” katanya seperti dilapor Malaysiagazette.

Menurutnya, tuduhan berhubung wang tersebut juga tidak berasas memandangkan Pas tidak mempunyai akaun di Affin Bank seperti didakwa Husam.

“Atau jika benar itu adalah duit Umno yang disalurkan melalui ‘orang Umno’ kepada ‘orang Pas’ untuk parti sebagaimana dakwaan Datuk Husam, maka saya dan ahli Pas keseluruhannya juga ingin tahu siapakah orang itu supaya senang saya dan ahli-ahli Pas lain menendang orang itu keluar daripada parti.

“Yang cukup pasti ialah Pas tidak menerima apa-apa jumlah daripada Affin Bank Berhad kerana Pas tidak mempunyai akaun di bank tersebut,” katanya.

Dakwanya, tindakan Husam itu sekadar membuat kecoh demi meraih kepentingan politik untuk partinya.

“Justeru itu, Pas Kawasan Subang melihat dakwaan YB Datuk Husam Musa ini lebih bersifat untuk membuat kecoh demi kepentingan politik partinya, bukan menjaga kepentingan awam.

“Jika benar sebagaimana dakwaannya, maka pihak kami mencabar Datuk Husam Musa bertanggungjawab mendedahkan siapakah orang yang didakwa itu supaya ia ditendang keluar daripada parti oleh ahli-ahli yang ikhlas,” katanya.

TAGS