‘Menarik rambut dalam tepung’ rupanya ada kaitan mati, ini 10 peribahasa Melayu jati buat bakal jenazah

Oleh ARIF ATAN

Halusnya pemikiran bangsa Melayu dahulu tergambar dalam sejumlah peribahasanya. Ada antara peribahasa itu sekarang kita faham lain tetapi maksudnya dahulu jauh lebih dalam dan amat berfalsafah tinggi.

Contohnya, “seperti menarik rambut di dalam tepung” yang lazim kita hari ini faham bermaksud menyelesaikan masalah dengan cara bijaksana tanpa merugikan mana-mana pihak.

Rupa-rupanya, maksud sebenar peribahasa itu ada terkandung dalam buku “Tikaman Bahasa” susunan Muhammad Adnan Muhammad Ariffin yang terbit kali pertama pada tahun 1934 di Kota Bharu, Kelantan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya menerbitkannya semula pada 1992 tanpa mengubah kandungan dan gaya bahasa yang digunakan.

Jadi, apa maksud “seperti menarik rambut di dalam tepung” yang merupakan antara lebih 2,200 peribahasa susunan bekas Guru Besar Sekolah Inggeris al-Madrasah al-Muhammadiah itu?

Maksudnya, dengan memetik ayat asal, “Bagaimana sekalipun kesenangan mati itu tetapi terlalu sakit ketika nyawa akan bercerai daripada badan.”

Fuh! Mendalam sungguh maksud peribahasa itu.

Tidak hairanlah, Cikgu Muhammad Adnan menegaskan himpunan peribahasa yang diusahakannya itu merupakan peribahasa asli Melayu sebagai tindak balas kepada penerbitan “Kiliran Budi” susunan W.G. Shellabear terbitan tahun 1907.

Malah, beliau dalam bahagian “Pengenalan Pengecap” berkata perumpamaan atau bidalan yang terhimpun dalam bukunya itu “ialah yang terlebih sah dan fasih susunan Melayu jati”.

Terdapat 2,249 peribahasa kesemuanya yang dipecahkan kepada 11 bab. Banyak peribahasa itu sudah jarang atau mungkin tidak pernah lagi generasi sekarang dengar.

Makam Seputum di Pasir Salak. Beliau maut di tali gantung British, 146 tahun lalu.

Berikut 10 peribahasa buat kita sebagai “bakal jenazah” yang dirakam dalam bab ketujuh buku berusia lebih 80 tahun ini di bawah tajuk, “Kehidupan dalam Kesenangan dan Kesusahan” :

1. Seperti menarik rambut di dalam tepung.

Bagaimana sekalipun kesenangan mati itu tetapi terlalu sakit ketika nyawa akan bercerai daripada badan.

2. Mana tali berpunca tak berhujung.
Siapakah hidup tiada akan mati.

3. Pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak.

Hendaklah orang-orang muda mengambil insaf tatkala orang yang tua daripadanya itu mati.

4. Bunga pun gugur, putik pun gugur, tua pun gugur, masak pun gugur.

Tiap-tiap yang hidup itu akan mati juga menurut masa keadaan mautnya, tiadalah boleh ditentukan pada masa tua sahaja.

5. Patah tumbuh hilang berganti.

Baka yang turun-temurun itu tidak akan putus.

6. Berapa tinggi terbang bangau itu kemudian hinggap ia ke belakang kerbau juga.
Berapa lama hidup seorang itu akhirnya mati juga.

7. Hangus tiada berapi, karam tiada berair.
Peri kesusahan orang yang kematian.

8. Di mana api padam di sanalah puntung tercampak, di mana periuk pecah di situlah tembikar tinggal.
Barang di mana tempat seorang itu mati di dalam negeri itulah dikuburkan, demikianlah hal orang kebanyakan atau orang dagang yang miskin atau lemah.

9. Tarik puntung padamlah bara.
Berkuasa itu sementara lagi hidup bila telah mati hilanglah daya upaya.

10. Sirih naik junjungnya patah.
Seorang yang baharu hendak beroleh kesenangan ia pun mati.

Baca juga Tidak semangat keluar kerja? Ini 12 peribahasa Melayu jati lagi ‘rare’ pembangkit motivasi

Baca juga Jenazah pelawak Hamid Gurkha selamat dikebumikan