Mencari diri yang hilang di hening Syawal

Mencari diri yang hilang di hening Syawal

Hening Subuh di pagi Aidilfitri adalah detik-detik paling indah, nyaman dan mendamaikan. Sehingga mak meninggal dunia 20 tahun lalu, pada Jun 1999, saya jarang sekali beraya di Kuala Lumpur, walaupun sudah menetap di ibu kota sejak 1981.

Rabu lalu, 1 Syawal, saya sekeluarga bercadang balik kampung selepas solat Zuhur setelah agak lama tertangguh hasrat itu. Alhamdulillah, ibadah Ramadan tahun ini dapat dijalani dengan baik, meskipun terpaksa akur nasihat jururawat Hospital Ampang untuk tidak berpuasa sepanjang berada di wad.

Mungkin disebabkan kekurangan darah ekoran problem fistula dialisis atau masalah jantung, saya juga kerap alami sesak nafas. Pagi raya itu, sebaik keluar bilik air usai mandi sunat, saya terpaksa berehat lebih 30 minit di birai katil, menyusun perlahan-lahan gerak nafas. Terlepas solat eid berjamaah di surau berdekatan; saat paling syahdu menyambut hari kemenangan.

Ketika kami melangkah keluar rumah ke kereta, hujan mulai lebat. Kuyup baju meskipun jaraknya tidak sampai 10 kaki. Jam melepasi dua petang, Rabu. Harapan saya lebih tertumpu agar perjalanan panjang ke Jitra, lancar tanpa diasak kesesakan. Tentunya warga Kuala Lumpur sudah bertolak lebih awal ke kampung halaman masing-masing. Mungkin tiga atau empat hari sebelum, iaitu pada Sabtu dan Ahad lagi.

Dalam perjalanan balik kampung pada petang 1 Syawal lalu.

Saya menarik nafas panjang-panjang, mencari keselesaan di dada. Bersedia untuk menempuh laluan, dijangka sekitar 10 jam minimum. Kalaupun kenderaan tidak sesak, kondisi kesihatan saya memerlukan banyak rehat. Jika berhenti melepaskan lelah, juga untuk solat dan makan, ia pasti mengambil masa agak lama.

Kuala Lumpur pada 1 Syawal tidak seperti dahulu. Tidak sunyi dan sepi lagi. Ia sudah bertukar menjadi kampung kelahiran tempat berkumpul saudara-mara bagi warga kota di hari mulia ini. Anak-anak yang bertebaran di seluruh pelosok tanahair balik mengunjungi ibu bapa yang kini menetap di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Justeru, agak ramai juga yang berpagi raya di Lembah Kelang sebelum berangkat menuju destinasi masing-masing selepas solat eid.

Tiada hasrat lebih besar bila berakhirnya Ramadan selain Allah menerima segala amalan kita, puasa, solat, zakat, sedekah, meringankan bebanan orang susah, zikir, membaca dan tadabbur al-Quran, menaja iftar, berlumba melakukan amal kebajikan, menghidupkan malam, iktikaf khususnya pada sepuluh malam terakhir. Ya, luar biasa sekali motivasi Ramadan, yang mendorong keikhlasan ke peringkat tertinggi sehingga mampu meraih taqwa yang tinggi makamnya. Dan Aidilfitri adalah hari merayakan kemenangan itu.

Ramadan yang kudus juga mengingatkan saya tentang detik-detik penuh berkah, kesungguhan untuk mengabdi diri dan melepaskan kongkongan daripada belitan hawa nafsu. Ada teman lama berjaya khatam al-Quran hampir sepuluh kali sepanjang Ramadan, dengan disiplin sekali setiap tiga hari. Iaitu purata satu juz sebelum dan satu juz lagi selepas solat fardu, dengan pengecualian selepas maghrib. Seorang rakan lagi pula mengosongkan aktiviti dan mengambil cuti sepuluh hari Ramadan untuk mengejar Lailatulqadr. Saya perasan sejak zaman kampus lagi, dia tidak akan bersesak di dalam bas untuk cuti raya di kampung pada sebelah malam, bimbang terlepas kelebihan malam seribu bulan itu. Seorang kawan lagi merancang sejak awal, sedekah yang diatur pada setiap malam-malam akhir, yang berjumlah puluhan ribu. Belum dikira tajaan berbuka puasa di merata masjid dan warga miskin terpilih yang dibanci sebelum Ramadan lagi.

Saya juga cuba mengosongkan minda daripada terbeban dengan isu-isu politik yang tidak pernah reda itu. Kebetulan saya dimasukkan ke hospital selama lima hari pada permulaan puasa. Kesempatan terbaik untuk merenungi serta mengkoreksi diri dan bermuhasabah. Setahun pemerintahan kerajaan baharu genap dalam Ramadan. Sudah tentu rungutan, keluhan dan kritikan tidak puas hati lebih banyak kedengaran. Apatah lagi suasana lebih terbuka dan bebas menyebabkan rakyat semakin berani bersuara dan menegur. Apa pun, saya hampir menggantung pena, lebih suka memerhati juga mendengar dan sesekali cuba menekuni tafsir al-Quran. Lazimnya setiap Ramadan, deretan buku-buku menjadi hidangan wajib untuk dihadam, termasuk yang berulangkali dikunyah penuh asyik, namun sejak 2014, apabila kualiti penglihatan merosot mendadak, saya terpaksa beralih medium. Karya-karya klasik terpaksa dilupakan, malah ada kalanya masa lebih tertumpu kepada renungan dan khayalan, selain bermalas-malasan di pembaringan.

Perjalanan dari Bukit Ampang ke utara tidak cukup lancar walaupun kenderaan bukanlah sesak sangat. Hujan mengiringi kami, kadang-kadang lebat dan menganggu penglihatan. Hampir setiap hentian penuh, tanda orang ramai tidak terburu-buru mahu cepat sampai. Ya, tiada apa mahu dikejar di hari raya ini. Lebih baik bersantai-santai menikmati pemandangan indah, hutan kehijauan dan gunung-ganang tertancap kukuh. Mungkin agak kurang juadah pilihan di kawasan rehat dan rawat tetapi hampir semua sudah merasai ketupat dan lemang sebelum bertolak tadi. Isteri saya pula membekalkan nasi arab kambing-ayam; kebetulan seorang rakan dari Bukit Antarabangsa menempah 50 pax untuk jamuan pagi raya pertama itu.

Kami berhenti sekali di Simpang Pulai, Ipoh untuk solat asar. Hujan sudah reda. Renyai-renyai. Suasana raya nampak masih meriah. Ramai berpakaian baju Melayu. Warna-warni. Saling senyum dan manis muka memberi salam. Saya mengatur langkah perlahan bertongkat menuju surau dipimpin anak lelaki ketiga. Bimbang tersadung kaki dalam keadaan agak becak dan licin. Alhamdulillah ramai memahami dan memberi laluan.

Menyedari waktu maghrib hampir tiba, saya mengambil peluang meninjau gerai makan. Tidak banyak yang buka perniagaan. Sekadar mengisi perut sebelum jamak takdim, saya pilih nasi kandar. Rasanya tidak setanding hidangan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya memang peiminat nasi kandar tetapi mula beralih arah kepada nasi padang pula. Penyakit ginjal kronik memaksa saya menyusun semula diet. Kini banyak pantang-larangnya, termasuk rempah-ratus yang menjadi ramuan kuah nasi kahdar. Cecair yang masuk ke dalam badan dihadkan setengah liter sehari sahaja. Lebihan air mengundang banyak masalah khususnya jantung dan proses cuci darah turut terjejas. Mungkin faktor itu juga menyebabkan saya sering sesak nafas terutama selepas keluar bilik air.

Seringkali dalam perjalanan yang agak lama ke desa kelahiran, saya jarang bersembang dengan ahli keluarga. Selain mendengar radio, saya lebih suka mengelamun panjang. Memori lama terpanggil kembali. Nasib balik, cetusan idea baharu juga muncul. Lokasi yang pernah disinggahi turut menggamit ingatan. Pemandangan melalui tingkap mobil rupanya juga satu terapi yang baik.

Mendekati terowong Menora, selepas plaza tol Ipoh, saya terpandang satu menara bangunan agak tinggi di kiri jalan. Mengingatkan saya akan almarhumah puteri kami, Nurul Syafiqah yang meninggal dunia pada 2005. Syafiqah anak yang periang dan cerdas, cukup suka dan gembira jika balik kampung. Keletahnya dalam perjalanan membuatkan selalu membuatkan orang ceria dan tidak bosan. Setiap kali melintasi bangunan tinggi itu, Syafiqah akan bersuara agak kuat, “itu menara kucing”. Air mata hampir tumpah terkenang Syafiqah.

Hari hampir beralih Khamis ketika kami membayar tol terakhir di Hutan Kampung, sebelum memasuki Jitra. Perut saya memulas, mungkin penangan kari ikan nasi kasi kandar tadi. Terpaksa mencari tandas di plaza tol berkenaan. Rupanya bukan setakat tiada tandas khas untuk OKU seperti saya, tetapi semuanya jenis mencangkung, tiada tandas duduk. Waduh, azab besar buat orang uzur. Pihak PLUS sepatutnya perlu mengusahakan bilik air khas untuk OKU di semua hentian. Kecemasan tidak memilih masa dan ketika!

Kampung Raja, Kubang Pasu, sunyi dan nyaman waktu kami sampai. Desa bekas tumpah darah saya itu menyimpan erat kenangan manis lebih lima dekad. Di sinilah saya bermula, dengan ramai sanak-saudara yang sudah kembali menemui Ilahi. Merekalah penghibur bagai kuntum mewangi di taman. Cerita orang tua-tua yang sarat pengalaman cukup dirindui. Penuh iktibar. Menemukan jati diri kita yang mudah hilang. Rumah tinggalan pun hanya tinggal tapak dan bekas. Terbayang harmoni dan indahnya kampung zaman silam. Meriah bertarawikh, moreh, saling hantar juadah berbuka, kerdipan deretan pelita di malam raya dan bingit meriam buluh.

Aidilfitri sepatutnya mengembalikan fitrah yang suci-bersih selepas ditarbiyah madrasah Ramadan. Nostalgia bukan sekadar penenang jiwa tetapi mampu merangsang gerakan perubahan terutama mendepani cabaran memulihkan negara ini. Ia bukan hanya tugas berat pemimpin yang dilihat selesa di kerusi takhta. Semua warga mempunyai fungsi tersendiri, dalam komuniti masing-masing, untuk mengangkat martabat bangsa dan tanahair yang makin terbenam ini.

Subuh raya kedua itu, di meja makan sedia terhidang ketupat palas dengan sambal (serunding) daging. Lembut dan lemak. Sekilas saya terkenang gulai daging dipotong halus, air tangan almarhumah bonda Aishah. Tiada masakan paling istimewa pagi Syawal selain resepi mak. Sebelum melangkah ke surau, ketupat yang direbus mak dengan gandingan gulai dagingnya wajib dijamah dahulu. Satu hari yang cantik dan bahagia di hari raya.

BERSAMBUNG