Malaysia Dateline

Mencari kerja perlu berhati-hati elak ditipu tawaran lumayan

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman menasihatkan golongan pencari kerja di negara ini supaya lebih berhati-hati mencari kerja dan tidak mudah tertipu dengan tawaran lumayan di luar negara.

Beliau berkata penipuan tawaran kerja dengan gaji lumayan di luar negara sering terjadi pada masa kini dan ia merupakan modus operandi pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan kepada golongan pencari kerja di negara ini.

“Golongan pencari kerja perlu lebih berhati-hati…kita tahu pada masa ini banyak orang menipu orang yang sedang mencari kerja dan mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan. Saya difahamkan rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja sebelum ini juga datang ke negara berkenaan kerana ditipu dengan tawaran gaji lumayan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan tiga rakyat Malaysia dari Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini kira-kira pukul 11.40 malam tadi.

Ketiga-tiga rakyat Sabah itu sebelumnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pukul 2.20 petang semalam bersama 40 orang lagi rakyat Malaysia berasal dari Sarawak yang ditahan di penjara Kemboja kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berterima kasih kepada kerajaan Kemboja kerana melepaskan kesemua rakyat Malaysia  berkenaan dengan selamat.

“Apa yang paling penting kesemua rakyat Malaysia itu selamat dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membebaskan dan membawa pulang kesemua rakyat Malaysia berkenaan.

“Kini pihak polis juga sedang menjalankan siasatan mengenai perkara ini dan kita berharap dalang di sebalik kejadian ini dapat ditangkap,” tambahnya.

Sementara itu, seorang mangsa, Jeffrydean Jude, 19, berasal dari Keningau berkata beliau mengetahui mengenai tawaran kerja berkenaan melalui Facebook, sebelum mendapat nombor telefon dan kemudiannya berhubung melalui Wechat.

“Sebelum terbang ke Kemboja saya sudah membayar kepada ejen berkenaan sebanyak AS$300 atau lebih kurang RM1,200 tetapi tidak menerima sebarang pekerjaan dalam bidang perhotelan yang dijanjikan.

“Ketika hari pertama sampai di sana saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena, kerana pasport serta telefon bimbit dirampas apabila sampai ke kediaman yang disediakan. Selama berada di sana, kami dikurung di dalam bilik dan cuma bertemu orang lain pada waktu makan sahaja. Perkara itu menguatkan lagi kata hati saya sudah ditipu oleh ejen terbabit,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Chong Su Kyun, 37, berasal dari Kota Marudu berkata beliau turut mengetahui tawaran kerja dengan gaji lumayan itu melalui Facebook, sebelum dimasukkan ke dalam ‘group’ Wechat.

“Kami diberikan tiket penerbangan ke Kemboja dan setibanya di Siem Reap, seorang pemandu sudah menunggu di lapangan terbang untuk membawa ke tempat penginapan.

“Awalnya saya mengikut semua arahan mereka namun selepas dua minggu berada di sana, mereka menyatakan pekerjaan sebagai mekanik yang dijanjikan tidak ada,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana berusaha membawa mereka balik ke negara ini.- BERNAMA