Malaysia Dateline

Mencerap konflik Umno, Bersatu

Suka atau tidak, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir. Isyarat yang diberikan cukup jelas: Bersatu dan Umno kini sedang bercakaran isu pengagihan kerusi.

Umno dan Bersatu adalah parti Melayu. Bersatu adalah serpihan Umno. Kedua-dua parti berebut kerusi yang sama – majoriti Melayu. Ini adalah akar permasalahannya.

Ini ditambah ego Umno sebagai abang besar yang sudah tercalar. 13 wakil rakyatnya melompat dengan suara riang sang katak masuk ke dakapan Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Mustahil Umno duduk diam. Parti itu bertindak balas dengan isytihar akan bertanding di 13 kerusi kerusi yang kini menjadi milik Bersatu hasil pengkhianatan.

Maka perpecahan undi sudah boleh dijangka. Menang jadi arang, kalah jadi abu.

Meski kekalahan dapat diramal, tiada apa yang dapat membenam ego kedua-dua parti Melayu ini.

Satu parti ini sudah terbiasa menjadi abang besar, parti yang lagi satu pula sudah memiliki kerusi Perdana Menteri di Putrajaya – sukar untuk masing-masing beralah.

Di tengah-tengah itu muncul Pas menawarkan diri sebagai pendamai. Belum sempat Pas memulakan langkahnya yang murni, dia sudah ditempik sebagai “pelacur” politik.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tentu ada sebab untuk berkata begitu, dia sudah tentu sudah masak dengan sikap Pas yang sering bermuka-muka.

Kita rakyat di bawah juga bukan tidak tahu sikap “main dua kolam” Pas yang semakin menyerlah sejak dapat kuasa.

Kredibiliti Pas sebagai “pendamai” jelas diragui Umno. Maka, perbalahan antara Umno dan Bersatu mungkin akan berterusan tanpa pendamai.

Jangan kita lupa, di sebalik perpecahan ketiga-tiga parti ini, masing-masing juga menghadapi masalah dalaman, kecuali Bersatu yang dilihat kukuh kerana memegang tampuk kuasa.

Perang saudara Umno dan Pas

Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, Pas kini terpecah kepada Geng Ustaz dan Geng Publika.

Menurutnya, Geng Publika ini menyokong Muhyiddin manakala Geng Ustaz pula adalah mereka yang mahu bekerja dengan Umno dalam konteks Muafakat Nasional.

Kata Chin Tong lagi, beliau mendapat maklumat bahawa Geng Ustaz ini sedang bersiap sedia untuk menjatuhkannya, atau paling tidak mengenepikannya dan diangkat sebagai Mursyidul Am serta menabalkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

Bagaimana Pas hendak menjadi pendamai, sedang partinya sendiri sedang retak menunggu belah?

Dalam pada itu, perang saudara dalam Umno tidak kurang hebatnya.

Bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional, Annuar Musa pada 17 Januari lalu seperti dilapor media berkata parti Melayu terbesar itu sudah berpecah kepada tiga kumpulan.

Menurutnya, kelompok berkenaan terdiri daripada kumpulan yang menolak kerjasama dengan Bersatu dan kumpulan yang berada di tengah-tengah.

Malah katanya, wujud juga kumpulan dalam Umno yang menerima kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddinitu.

Krisis dalaman Umno masih belum nampak penyelesaiannya, maka tidak mustahil proses damai antara Umno dan Bersatu bakal menemui jalan buntu.

Kerjasama Umno-PH?

Akhirnya Umno mungkin terpaksa mengambil jalan bekerjasama dengan parti pembangkang.

Ini yang disuarakan Veteran Umno, Mohd Yussif Latiff yang menyifatkan kerjasama di antara Umno dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU-15 bukan sesuatu yang mustahil.

Turut menyuarakan perkara yang sama adalah Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman yang tidak menolak kemungkinan sebarang kerjasama partinya dengan DAP dan PKR.

Bagaimana PH harus menanggapi situasi ini? Bagi ramai pihak dan penyokong PH khususnya tentulah mahu melihat kerjasama itu – jika dibentuk – atas agenda untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengadaikan prinsip yang sedia ada terbina.

Dalam hal ini, pendirian DAP jelas, hanya akan menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam hal melibatkan kepentingan rakyat sahaja.

Malah Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan pihaknya tiada sebarang kerjasama politik dengan Umno PRU-15.

Kenyataan Guan Eng mungkin boleh menjadi asas kepada sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dalam masa akan datang, tentulah dengan persetujuan komponen PH.

Gendang PRU-15 sudah dipalu, tinggal hanya tunggu disahut PH.

Meski Umno-Pas-Bersatu dilihat semakin berpecah, PH perlu menyusun langkah dengan lebih berhati-hati, mencerap setiap gerak geri lawan, supaya peristiwa hitam “Langkah Sheraton” tidak berulang.

PH harus bijak menanggapi kelemahan kerajaan Muhyiddin yang semakin hilang sokongan majoriti di Parlimen mahupun rakyat di bawah.

Kegagalan kerajaan Muhyiddin dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan ekonomi harus ditentang dengan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.

Yang pasti mandat PRU-14 yang dirampas harus dikembalikan. Dengan jalan demokrasi PH menang, dengan jalan itu juga PH harus kembali menjadi kerajaan.