Malaysia Dateline

Mendaki bukit, meredah hutan kibar Jalur Gemilang di Setinggi

Program anjuran Pejabat Penghulu Mukim Serendah ini meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-63 dengan pendekatan berbeza.
Kaum Hawa pelbagai lapisan usia juga tidak ketinggalan beriadah sambil meraikan kemerdekaan negara.

Ada yang menjerit kecil melihat betisnya sedang diratah pacat sehingga perlu rakan lain menanggalkan haiwan penghisap darah itu.

Ada juga yang ketara sudah pucat seluruh wajahnya selepas lebih setengah jam mendaki bukit di tengah hutan hujan tropika di daerah Hulu Selangor.

Itu antara yang dialami dalam kalangan lebih 30 peserta Program Semarak Kemerdekaan Mukim Serendah kelmarin.

Merasai jerih perih generasi dahulu merentas belantara yang menjadi habitat kepada kepelbagaian biologi flora dan fauna sememangnya antara tujuan program anjuran Pejabat Penghulu Mukim Serendah ini.

Menariknya, aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang sambil mendaki bukit menuju ke Air Terjun Setinggi di kedudukan 335 meter dari atas aras laut itu disertai pelbagai lapisan usia.

Peserta paling ‘otai’ tetapi masih berbisa merupakan pasangan suami isteri berusia 62 tahun manakala paling muda berumur belasan tahun dengan kali pertama mendaki bukit dan merentas rimba.

Penghulu Mukim Serendah, Rusmi Minhat, 47, berkata, program dengan kerjasama Kelab Kebajikan Anak Hulu Selangor (Anak Husel) itu juga berusaha untuk memupuk semangat cintakan alam semula jadi.

“Kita mahu generasi hari ini mencintai tanah air dengan kesedaran tinggi memelihara kelestarian alam sekitar.

“Erti kemerdekaan juga boleh kita hayati dengan sejauh mana kita menghargai alam semula jadi yang terbentang indah ini.

“InsyaAllah, aktiviti seperti ini akan cuba dijadikan sebagai program tahunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Mukim Serendah,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Sementara itu, Amir Zharif Mohd Zainal Abidin, 27, dari NGO Anak Husel berpendapat eko-riadah tersebut dapat mendekatkan kembali generasi muda dengan pesona ketenangan Hutan Dipterokarpa Pamah.

“Kita tidak mahu golongan belia yang perhatian mereka hanyut pada gajet dan alat teknologi terlepas sama sekali peluang menikmati keindahan alam.

“Padahal, alam hijau asli seperti ini tetap keperluan utama manusia walau canggih dan maju sekalipun kita.

“Sambil menghayati keindahan alam, kita juga dapat menginsafi pengorbanan pasukan keselamatan mempertahan kedaulatan negara serta kepayahan orang dahulu meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang juga bertindak sebagai penyedia makanan.

Penghulu Rusmi (kiri sekali) dan di sebelahnya, Amir Zharif bersama peserta lain sedang memanggang ayam.

Santai selamat

Para peserta datang dari sekitar daerah Hulu Selangor terutamanya Mukim Serendah. Ada antara peserta terbabit pernah menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara, 4,095 meter iaitu Gunung Kinabalu.

Kami mulanya berkumpul di Balai Penghulu Mukim Serendah seawal jam 7 pagi sebelum bergerak menuju ke pintu masuk denai Setinggi di Jalan Melor 10.

Bak kata pepatah; ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Pendakian santai tetapi selamat tetap diutamakan mengambil kira kemampuan kesemua peserta termasuk beberapa kali berhenti berehat sejenak.

Selepas hampir sejam mendaki dan meredah denai diketuai Anizuan Farid Senin, 35, atau lebih dikenali sebagai Along, kami kemudiannya disambut deburan Air Terjun Setinggi di Hutan Simpanan Kekal Serendah yang nyaman lagi menyegarkan.

Penulis sendiri mengambil kesempatan berulang kali bersandar pada dinding batuan itu membiarkan deruan air menimpa kepala dan seluruh tubuh bagaikan terapi buat jiwa.

Walaupun teruja namun perlu berwaspada ketika memijak dan melangkah bongkah batuan yang licin di sana sini.

Bagi peserta yang pertama kali mencuba aktiviti luar mungkin rasa berbaloi menikmati dingin air terjun itu selepas ‘diserang’ pacat serta berjaya mencabar diri mendaki dan meramahi rimba.

Segar tubuh tenang jiwa bersama deruman Air Terjun Setinggi.

Lebih berbaloi apabila perut yang berkeroncong dapat dipujuk dengan hidangan barbeku. Bau ayam dan sosej panggang yang menyatu dengan aroma semula jadi rimba nyata mengasyikkan.

Usai menikmati kedinginan Air Terjun Setinggi sambil menjamu selera, para peserta diingatkan agar tidak meninggalkan sebarang sampah plastik. Semuanya dipastikan dibawa keluar sebelum kami mula meninggalkan lokasi tersebut kira-kira jam 12 tengah hari.

Sebelum itu, tentunya acara bergambar kenangan bersama bendera kebanggaan kita semua tidak akan dilupakan sesuai dengan semangat sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

Bak kata Amir Zharif, bukan semua orang terutama belia berpeluang mengibarkan Jalur Gemilang di dalam rimba belantara sejurus rasa letih merentas denai lenyap ditelan keindahan alam.

Sempena ulang tahun kemerdekaan juga, peserta Azri Azman, 31, berpendapat seluruh anak Malaysia tanpa mengira kaum bertanggungjawab untuk memelihara kemerdekaan alam semula jadi daripada tangan-tangan yang merosakkan.

“Cintai alam sekitar dan perjuangkan kelestarian alam kita daripada diratah golongan yang tamak sampai sanggup menarah hutan dan menukarkan status hutan simpan kekal kepada zon industri,” tegas penduduk Kampung Sungai Choh Simpang itu lagi.

Antara peserta wanita yang berjaya mendaki sehingga selamat tiba di Air Terjun Setinggi.
Riadah mendaki dan merentas hutan bakal menjadi program tahunan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Mukim Serendah.