Mendekati penggerak AMANAH, merungkai teka-teki PRK yang rumit

Lutfi kolumnisBalik dari Tanjung Piai dua minggu lalu, saya sering uzur dan kerap keletihan. Banyak tugasan tertangguh dan pemerhatian di sana belum sempat dituang dalam bentuk penulisan, sementara laporan tidak rasmi yang sampai agak menggusarkan.

Menerima khabar dari lokasi paling hujung di selatan benua Asia itu, perasaan saya berbaur; apakah rakyat Johor khususnya masyarakat Melayu desa masih terikat dengan sentimen Umno, walaupun kerajaan baharu sudah mengambil alih sejak 18 bulan lalu?

Tinjauan rambang saya ke lapangan lebih kurang 20 hari lalu tidak banyak membantu untuk memahami kompleksiti ragam pengundi yang bercampur itu. Ketika itu Tanjung Piai dan pekan Pontian masih damai walaupun sudah mula menerima tetamu dari seluruh pelosok tanahair.

Saya sekadar menikmati juadah asam pedas sambil berkenalan dengan beberapa penggerak tempatan Parti Amanah Negara (AMANAH). Juga berkesempatan meninjau titik paling hujung dari atas kerusi roda yang ditolak bekas teman sekerja Arif Atan, melalui hutan paya bakau yang agak “menggerunkan”.

Namun begitu, tinjauan singkat berkenaan sedikit sebanyak berjaya menggambarkan situasi akar umbi khususnya semangat dan komitmen tinggi aktivis AMANAH bagi mempertahankan kemenangan tipis Bersatu dalam PRU14 lalu.

Pak Raden dihadiahkan buku karya Ahmad Lutfi Othman.

Sekali gus kefahaman saya terhadap realiti pendukung parti Islam progresif itu bertambah mendalam. Ia turut membantu saya untuk menyiapkan buku kecil tentang “perang” merebut undi Melayu menjelang PRU15 yang dijangka lebih sengit dan sukar diduga itu.

Sebenarnya saya lebih teruja untuk berkongsi cerita, suka-duka, dengan penggerak awal AMANAH yang menyusun program jauh dari ibu kota, di negeri yang pernah dikenali sebagai tiang seri Umno. Masa depan parti yang baru bertunas empat tahun ini banyak bergantung harap kepada komitmen tinggi dan keikhlasan mereka.

Terima kasih banyak Ketua AMANAH merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Pontian, Pak Raden Sorobo Pono kerana sudi sarapan bersama di pagi Jumaat 18 Oktober itu, di hotel penginapan kami.

Terasa singkat berbual mesra dengan Pak Raden, dan terpaksa dipendekkan demi mengejar temujanji lain sebelum tengahari. Saya akan menulis khusus tentang bual-santai itu, insya Allah.

N.56 Kukup pernah ditandingi pimpinan AMANAH Johor, Suhaizan Kayat (kini Speaker Dewan Undangan Negeri Johor) pada PRU-14 dengan kalah tipis hanya 862 undi.

Sebelum keluar dari daerah Tanjung Piai, selepas Asar, kami singgah di kediaman Ustaz Ahmad Sani Kemat, ketua AMANAH kawasan di Kg Sawah; bercerita sambil menikmati minum petang dan buah-buahan tempatan hasil tanaman sendiri. Ustaz Sani turut menjelaskan asal-usul nama-nama kampung di situ, seperti Rimba Terjun. Ada balai Islam, tempat menyampaikan kuliah agama, sedang dalam proses “renovation” bersebelahan rumah Ustaz Sani. “Hadirin bertambah ramai, dan perlu diperbesar,” jelasnya.

Kedua-dua Pak Raden dan Ustaz Ahmad Sani merupakan bekas ketua Pas kawasan dan bertindak keluar parti seawal penubuhan AMANAH pada 2015. Meskipun masing-masing sudah menjangkau usia 70-an, namun semangat mereka tetap bugar untuk melihat parti Islam ini maju dan berpengaruh. “Sambutan terhadap AMANAH lebih baik berbanding penerimaan masyarakat setempat kepada Pas dulu,” ujar Ustaz Hasni.

Secara personal, bertemu wajah dengan penggerak parti yang lanjut usianya ini sebenarnya telah menyuntik rasa tenteram di hati, di kala agak heboh berita tentang gara-gara kekecohan dalam mesyuarat pemilihan AMANAH. Ya, tidak mudah parti semuda ini melalui proses kematangan terutama selepas menang PRU14 dan berstatus parti pemerintah.

Ahmad Sani Kemat

Setibanya di Pontian petang Khamis, sehari sebelum itu, saya bersembang panjang dengan beberapa teman yang kelihatan agak gusar dengan perkembangan mesyuarat-mesyuarat pemilihan AMANAH di seluruh negara. Di kawasan tertentu, ia dicemari adegan pertelingkahan yang kemudiannya diviralkan.

Mungkin sebahagiannya dicetuskan oleh ahli-ahli baru yang menyertai parti pasca-PRU14. Bagaimanapun gejala negatif itu tidak boleh dipandang ringan. Ia mencemarkan imej dan reputasi parti. Aspek kaderisasi dan latihan dalaman parti serta disiplin yang ketat mesti diambil berat.

Justeru, adunan golongan berpengalaman dengan kelompok muda diharap menjernihkan keadaan dan mampu mengharmonikan jika timbul situasi yang agak tegang. Sesungguhnya AMANAH adalah sebuah parti masa depan yang sederhana-seimbang jalur perjuangannya dan peduli dengan lingkungan. Serentak pada masa sama, ia disenangi rakan-rakan komponen dan mudah untuk bertolak-ansur serta saling menghormati.

Balik dari Tanjung Piai, dan melepasi tarikh penamaan calon, saya mengharapkan peranan AMANAH yang berkesan dan memudahkan, bagi mengekalkan kemenangan tipis yang dianggap sukar itu. Ia juga pengalaman bermakna, apatah lagi AMANAH bertanding dalam salah satu kerusi Dun di Tanjung Piai, iaitu Kukup, melalui naib pengerusi negeri, Suhaizan Kayat, yang juga Speaker Dun Johor. Suhaizan kalah tipis sekitar 800 undi, menyerlahkan kerusi itu berpotensi menang pada PRU15 nanti.

Semasa makan tengahari bersama di Pontian tempoh hari, Suhaizan berkongsi pandangan, dengan membayangkan keperluan meningkatkan sokongan undi Melayu dan bersedia mengalami kemerosotan kecil di kalangan masyarakat Cina. Isu-isu semasa yang menyentuh pengundi Tionghua dikira tidak begitu memihak PH selain menjangkakan kemungkinan agak ramai yang tidak pulang mengundi 16 November ini.

Petang tadi (Ahad, 10 November) saya bertanyakan perkembangan terkini, melalui aplikasi whatsapp, dengan Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Asas Tani, yang juga Timbalan Presiden AMANAH. Salahuddin, anak kelahiran Tanjung Piai merupakan antara penggerak utama kempen PH dan berkampung di sana.

Seperti lazimnya, Salahuddin menjawab mesej saya dengan panggilan langsung. Mungkin itu lebih selesa dan mudah baginya. Meskipun mempunyai jadual yang ketat, Salahuddin kelihatan tenang dan teratur menjelaskan situasi terkini kempen.

Beliau mengakui cabaran besar untuk menang, sama ada masyarakat Tionghua mahupun pengundi Melayu. Bagaimanapun, kemerosotan sokongan pengundi Cina yang dikatakan jatuh sekitar 20 peratus, sudah mulai pulih dari hari ke hari. Sebelum ini ada portal berita melaporkan program ceramah BN di kalangan masyarakat Cina jauh lebih mendapat sambutan berbanding majlis kempen Pakatan Harapan.

Ada klip video menunjukkan sambutan dingin hadirin meskipun program ceramah PH itu diisi tokoh-tokoh utama DAP, seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Liew Chin Tong. Namun begitu, Ahli Parlimen BN-Rembau, Khairy Jamaluddin, mengingatkan jentera kempennya agar tidak berasa selesa atau terlalu yakin dengan perkembangan itu; dikhuatiri mereka terperangkap dengan perang saraf DAP.

Pengundi Cina dalam PRU14 boleh dianggap deposit tetap buat PH, tetapi kali ini mungkin tidak lagi. Kedua-dua calon, BN dan PH, berentap — dan masih bersaing kuat — untuk meraih undi mereka.

Manakala pengundi Melayu terus terbuka, meskipun 18 bulan lalu ia memihak BN. Salahuddin memberitahu bahawa ada pengundi yang mengakui kerajaan memang membawa perubahan positif yang menguntungkan rakyat dan mereka bertekad mengundi calon kerajaan. Malangnya mereka menunjukkan simbol dacing mewakili kerajaan! Maknanya masih ada rakyat yang menyangka BN masih memerintah.

“Ini mengingatkan saya tentang kempen PRK Hulu Selangor dahulu, yakni tidak lama selepas PRU2008, yang menyaksikan BN kalah di Selangor. Semasa kempen, masih ramai pengundi di Hulu Selangor yang beranggapan Dr Khir Toyo masih MB,” beritahu Salahuddin kepada saya, melalui telefon.

Menunjukkan komitmen tingginya berkempen memenangkan calon PH, Salahuddin juga berkata, dia telah memohon cuti dengan perdana menteri, sehingga hari mengundi, agar dapat sepenuh masa mendekati pengundi dan menyantuni mereka, termasuk dari rumah ke rumah.

Hendaknya ramai lagi pemimpin utama PH dapat meluangkan masa berbaki ini, dengan turun ke lapangan, mendengar sendiri suara resah-keliru rakyat khususnya dalam perang persepsi ini.

Eksperimen di Tanjung Piai mungkin berbeda dengan suasana PRU15 nanti, namun medan tempur ini dijangka mempunyai impak yang ketara buat lanskap politik tanahair, sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat. Ia bukan penamat segala cerita tetapi mungkin menjurus babak baharu yang lebih mendebarkan.

Dari kiri: Arif Atan, Amnijagat, Ahmad Lutfi Othman dan Suhaizan di sebuah restoran di bandar Pontian.