Menentang komunis, lupa British pernah menjajah?

Menentang komunis, lupa British pernah menjajah?

Fahaman dan ideologi komunis telah menyusup masuk ke Tanah Melayu pada tahun 1920-an lagi. Namun pada peringkat awal, kegiatan mereka ini tidak dilihat memberi kesan yang besar pada negara.

Namun begitu, gerakan komunis ini dilihat mampu memberi ancaman kepada penduduk tempatan apabila tentera Jepun menyerah kalah pada 1945 selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan secara rasmi pada 30 April 1930.

Menurut Mohd. Reduan Haji Asli dalam buku, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, dengan tertubuhnya PKM, gerakan komunis di Tanah Melayu haruslah bersifat tempatan dan tidak mengehadkan lagi orientasi perjuangan mereka dalam kalangan kaum Cina sahaja.

Orang Melayu harus dipujuk untuk menerima fahaman komunis dengan tujuan agar Tanah Melayu dapat dijadikan sebuah republik komunis. Namun begitu, PKM tidak dapat menarik minat orang Melayu kerana kepimpinan tertinggi gerakan ini banya terdiri dari orang Cina dan PKM dilihat lebih bersifat kecinaan.

Apabila tentera Jepun mula menyerang Tanah Melayu, peluang ini telah diambil kesempatan oleh PKM. Bagi menentang Jepun, pihak British telah bekerjasama dengan PKM. British telah bersetuju untuk melatih rekrut komunis yang nantinya akan melawan tentera Jepun.

Kerjasama ini telah memberi peluang dan ruang kepada komunis untuk memperluaskan lagi pengaruh mereka dalam kalangan rakyat. Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA) telah dibentuk oleh PKM melalui ahlinya yang terdiri daripada 200 pemuda Cina telah direkrut.

Apabila Jepun telah menyerah kalah, telah wujud kekosongan politik dan ketenteraan di Tanah Melayu. Memandangkan MPAJA dan PKM merupakan gerakan bersenjata lengkap selepas pengunduran tentera Jepun, kumpulan ini telah bertindak keluar dari hutan untuk menguasai kawasan kampung dan pekan.

Tindakan diambil mereka ini akibat kelewatan Pentadbiran Tentera British kembali ke Tanah Melayu. Menurut Ho Hui Ling dalam bukunya Darurat 1948-1960, MPAJA telah melakukan penganiyaan kepada penduduk tempatan terutama ke atas mereka yang disyaki bekerjasama dengan tentera Jepun sebelum ini.

Komunis telah bertindak mengadakan perbicaraan sendiri dan melakukan kezaliman. Dianggarkan 2,542 orang Melayu, Cina yang tidak bekerjasama dengan komunis, India dan lain-lain telah dibunuh kerana dianggap sebagai tali barut Jepun.

Manakala ketika zaman darurat, PKM telah bertindak dengan memastikan kehidupan rakyat Tanah Melayu tidak terjamin. Gerakan ini telah melakukan kerosakan ke atas ladang, kebun dan tanaman pegusaha Eropah dan tempatan.

Bagi mereka yang tidak memberi kerjasama, PKM bertindak melakukan penculikan dan pembunuhan. Manakala infrastruktur awam juga turut dimusnahkan dengan tujuan memberi kesusahan kepada rakyat.

Keadaan ini telah menyukarkan hidup rakyat dalam menjalankan aktiviti seharian. Hal ini kerana rakyat tidak dapat bekerja di kebun atau di lombong kerana takut diancam komunis.
Pada masa yang sama juga perintah berkurung telah dilaksanakan dan catuan makanan terpaksa dibuat. Manakala hubungan kaum juga terjejas apabila masing-masing saling meragui di antara satu sama lain.

Hakikatnya, komunis mahu menjadikan negara ini sebagai sebuah republik dengan memaksa rakyat mengikut fahaman komunis yang jelas bertentangan budaya dan agama tempatan.

Fahaman komunis yang dibawa ke tanah air ini dahulu berdasarkan Parti Komunis China. PKM mahu menjadikan negara ini satelit bagi menyebarkan fahaman komunis di Asia Tenggara.
Raja-raja Melayu dibimbangi akan dihapuskan. Lagipun komunis lawan Jepun disebabkan dendam mereka apabila Jepun menguasai negara China. Lagi pula sepanjang dua minggu komunis berkuasa, mereka mengambil tindakan dan undang-undang sendiri dengan mnyeksa dan membunuh orang tempatan yang mereka syak pernah bekerjasama dengan Jepun.

Lagi pula, siapa yang mula-mula memberi senjata kepada komunis untuk melawan Jepun? Sudah tentu British. Jadi, secara tidak langsung, komunis juga menerima arahan secara tidak langsung daripada British untuk menentang Jepun. Hal ini menunjukkan juga komunis hanya menjadi alat kepada British.