Malaysia Dateline

Mengaitkan minyak sawit dengan penebangan hutan tidak berasas, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad

Dakwaan mengaitkan minyak sawit dengan penebangan hutan adalah tidak berasas sama sekali, tidak adil dan tiada justifikasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Malaysia telah dituduh meletakkan keperluan kepada pembangunan di hadapan keperluan untuk menjaga hutan dan isu penebangan hutan untuk penghasilan minyak sawit adalah isu yang seringkali diperjuangkan oleh para pengkritik kita,” kata beliau.

Beliau berkata dakwaan-dakwaan itu memberi impak negatif kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada minyak sawit untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat untuk membolehkan Malaysia mencapai Matlamat-matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Ia juga mempunyai kesan buruk yang besar kepada pengusaha tanaman kelapa sawit termasuk 650,000 pekebun kecil selain seramai 1.5 juta orang lagi yang bekerja dalam rantaian bekalan minyak sawit.

“Hakikatnya ialah industri minyak sawit di Malaysia telah dibangunkan secara mampan dan bertanggungjawab … kerajaan, dalam mematuhi SDG telah melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan industri itu tidak menyebabkan kemerosotan alam sekitar selain mengelakkan amalan-amalan yang tidak mampan seperti kemusnahan hutan dan habitat hidupan liar,” katanya semasa berucap merasmikan pameran ‘Hutan Kita’ di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pameran ‘’Hutan Kita’ – Journey Through Our Rainforest” itu diadakan di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur dari 24 Ogos hingga 22 Sept, dianjurkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Dr Mahathir berkata industri minyak sawit Malaysia sedang memberi fokus kepada peningkatan produktiviti dan hasil, berbanding memperluaskan kawasan bagi mengelak penebangan hutan dan pertukaran guna tanah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Selain itu, katanya, sekatan terhadap penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut selain di kawasan Hutan Simpan Kekal juga telah dikuatkuasakan.

“Sejajar dengan langkah-langkah tersebut di atas, kerajaan juga telah menetapkan had maksimum kawasan penanaman kelapa sawit kepada 6.55 juta hektar menjelang 2023. Adalah amat menggalakkan Sarawak mengenakan moratorium ke atas tanah negeri bagi tujuan penanaman kelapa sawit yang tidak membenarkan penanaman baharu kelapa sawit atas tanah kerajaan negeri termasuk tanah gambut.

“Malaysia amat berbangga untuk berkongsi dengan dunia beberapa amalan mampan kita. Malaysia telah memperkenalkan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 dan akan menjadikannya mandatori bermula 1 Jan 2020,” kata beliau.– BERNAMA