Malaysia Dateline

Mengapa agenda pelaksanaan hudud, isu aurat pramugari sudah senyap?

Tanpa menyebutkan parti tertentu, Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin membangkitkan persoalan tentang agenda pelaksanaan undang-undang hudud.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu berkata, pelbagai kecaman bahkan tuduhan kafir dilemparkan jika pihak lain beralasan untuk menguatkuasakan undang-undang itu.

“Beribu-ribu alasan pemimpin parti itu bawa untuk mengabsahkan sikap mereka kini yang tidak lagi mengambil tahu agenda pelaksanaan hudud yang mereka sendiri laungkan dulu.

“Jika alasan yang mereka bawa hari ini diguna oleh pihak lain, berbakul-bakullah sumpah seranah mereka terhadap pihak itu. Sumpah paling masyhur ialah khadam kafir.

“Bayangkan jika perkataan ini diucap oleh pihak lain, “Kami tak boleh nak buat, nak buat macam mana? Ibarat orang kahwin harapkan anak, kalau tak dapat nak buat macam mana?”

“Jika pihak lain bercakap begitu, bukan setakat seranah khadam kafir, pengucapnya mungkin akan dilabel kafir terus kerana dianggap menghina hukum Tuhan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Sebelum PRU-14, Pas dilihat lantang bercakap tentang agenda hudud. Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 28 Jun 2015 misalnya menegaskan Pas akan meneruskan agenda untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Abdul Hadi berkata demikian dalam ceramah perdana kepimpinan Pas Pusat di Markas Tarbiyah Pas Neger Pulau Pinang, Pongsu Seribu di Kepala Batas.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain sikap parti tersebut seperti menjual agama memandangkan pihak lain tidak boleh menggunakan alasan yang sama dengan parti itu.

“Hanya mereka yang boleh guna. Alasan lain lagi jika ada, orang lain tak boleh guna, mereka boleh guna.

“Inilah sebahagian daripada cara parti itu menjual agama. Gula-gulakan orang ramai dengan urusan agama supaya sokong parti mereka demi kuasa.

“Apabila dapat kuasa, perkara agama yang mereka laungkan itu dilempar ke tepi. Lalu mereka cari alasan agama yang lain pula untuk meluluskan tindakan melempar urusan agama tadi,” bidasnya.

Pas dengan 18 wakil di Dewan Rakyat membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA dan MIC pada Februari lalu sekali gus meranapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam masa sama, Ustaz Zolkharnain berpendapat hal sama juga berlaku dalam isu aurat pramugari apabila hal tersebut tidak kedengaran lagi apabila mereka terbabit sudah berada dalam kerajaan.

“Ketika orang lain berkuasa, tak ada orang yang tak jadi sasaran seranah mereka kerana kononnya tidak memberi perhatian kepada urusan penting agama iaitu tutup aurat.

“Hari ini, isu tutup aurat pramugari sudah senyap. Itulah cara parti itu jual agama untuk tarik simpati awam menyokong mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan parti tersebut hanya menjual agama ketika belum memegang kuasa di Putrajaya.

“Mereka hanya bercakap agama sebelum berkuasa. Apabila dapat kuasa, tiada lagi bicara agama di lidah mereka. Itu cara mereka perdagang agama,” tambahnya lagi.