Mengapa AMANAH terus dicemburui, disambut kata nista ‘parti lama’

Mengapa AMANAH terus dicemburui, disambut kata nista ‘parti lama’

Padangan ramai sering melihat kemunculan Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah kerana kumpulan yang kalah dari parti lama menubuhkan parti baru. Kisah seperti ini tidak asing dalam politik Malaysia, malah dalam negara lain.

Individu yang kalah dan kecewa dalam politik kadangkala keluar dan menubuhkan parti sendiri kerana melayani kekecewaannya itu. Dato’ Onn dahulu keluar dari Umno dan menubuhkan IMP. Pas juga dahulu muncul apabila keluar dari Umno. Demikian juga parti serpihan lain seperti Semangat 46, Nasma, Berjasa, apa lagi di Sabah dan Sarawak, terlalu banyak parti seumpama itu. Lazimnya terdapat seorang tokoh individu yang menonjol yang enggan tinggal sebumbung dengan parti lama lagi.

Namun apabila satu kumpulan secara en bloc itu kalah, ia perlu satu pemerhatian yang lebih teliti. Apalagi dalam parti konservatif yang taksub dengan keputusan pemimpin. Kebebasan suara pemilih amat diragukan dalam pemilihan apabila suara besar ini amat mempengaruhi. Adalah berbeza kes ini dengan parti lain seperti di atas, apabila ia tidak bersandar kepada tokoh tertentu. Nilai perjuangan mereka berbeza, mereka menentang aspirasi “kerajaang perpaduang” dan penentangan ini tidak boleh lagi dibendung dengan toleransi dan kecurigaan integriti yang terserlah isunya kemudian.

Kepimpinan AMANAH enggan berkerjasama dengan barisan kepimpinan Umno. Pengalaman lama amat mengajar, sejarah juga telah banyak mengajar, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat juga berulang kali mengingatkan untuk tidak berkerjasama dengan Umno, jangan lagi pisang berbuah dua kali. Semua orang tahu betapa perubahan keputusan untuk gabungan ini adalah bagai tempua bersarang rendah yang cuba bersembunyi dari telunjuk yang lurus tetapi kelingking berkait, pepat di luar rencong di dalam, ada dorongan dan ada harapan yang tersimpan sebelum PRU dahulu.

Untuk menyertai BN, itu tidak mungkin, AMANAH tidak mahu terikat jerat. Parti lama melompat ke seberang dengan harapan penuh bagai strategi yang pasti menguntungkan, almaklum pada masa itu BN adalah kerajaan.

Namun demikian dalam politik, ada masa langkahnya betul, tetapi di lain masa ia kantoi.

Perancangan Ilahi nampaknya berbeza. Para pengundi tidak ampuh lagi duduk di bawah pemerintahan regim BN lantas menukar kepada kerajaan baru. Harapkan panas sampaikan ke petang nampaknya hujan di tengah hari.

Berterusan nampaknya kedudukan dalam barisan pembangkang. Lebih menjadi allergy mereka ialah apabila secara tiba-tiba tanpa diduga AMANAH muncul sebagai anggota komponen kerajaan. Lebih mengejutkan apabila PM lebih berminat memilih kepimpinan AMANAH yang ramai dalam kabinet berbanding parti lain.

Demikian perancangan yang lebih besar yang tidak diduga. Kelihatannya, melukut lagi di tepi gantang, yang dikejar tidak dapat yang dikendung berciciran.

Perubahan pakatan mereka hanya memperlihatkan kemenangan terhad di negeri tradisi, yang tidak berubah, hanya kembali di takuk lama.

Kehadiran AMANAH dilihat meneruskan perjuangan yang cuba lari dari nilai-nilai konservatif yang lama didukungi kebanyakan komponen BN. Perjuangan menegakkan agama kelihatan sama namun AMANAH cuba beranjak kepada isu yang lebih luas.

Isu hak asasi, anti-korupsi, pengurusan yang cekap, transparensi dan akauntabiliti tetap menjadi isu utama. Islam turut menekankan nilai integriti yang tinggi. Cakrawala ini luas, alam sekitar dan persoalan keselamatan insan juga amat penting.

AMANAH tidak mahu ketinggalan dalam isu ini semua. Isu aurat dan pakaian, bersalaman lain gender, mengendap malam di hotel dan rumah orang dan sebagainya bukan tidak penting, namun imam masjid dan jentera masyarakat di bawah sentiasa gigih memerhati dan menanganinya dengan kemas.

Parti dan barisan kepimpinan harus bijak dengan langkah yang lebih luas dan progresif dalam usaha membawa isu kepentingan negara dan agama di peringkat yang lebih tinggi.

Komen yang banyak di media sosial menggambarkan ramai yang benci pada parti ini. Namun komen ini rata-rata dari agen parti lama. Dalam banyak komen ada yang mengaku, mereka sangat alergik bila mendengar sebarang berita mengenai AMANAH, apa lagi berita baik, ia menjadi tumpuan PM, pemimpin AMANAH menyertai kabinet, bilangan ahli semakin bertambah, beberapa pemimpin utama mewakili negara dalam pelbagai majlis dan persidangan dan sebagainya.

Ironinya kumpulan komentar ini mendukung ‘parti Islam’ namun suara komentar yang terbit lebih bersifat cela dan kata nista yang hanya menimbulkan imej penuh curiga. Suara seperti ini memang tidak menghairankan. Ini adalah nada suara mereka yang kalah, dan lebih teruk apabila tidak menerima hakikat mereka sudah kalah.

Lebih menyakitkan apabila yang menang dan mendapat tempat di persada ini parti yang dianggap serpihan mereka. Komen dan kritikan bila melihat orang lain naik seperti ini bukan lagi kritikan, ia lebih bersifat meroyan. Bad Loser!

* Penulis, bekas prof madya sains politik sebuah universiti tempatan