Malaysia Dateline

Mengapa anak syarikat Felda tidak diberi hak majukan tanah di Jalan Semarak?

Bagaimana syarikat pemaju KL Vertical City mampu membayar RM500 juta secara tunai kepada Felda sedangkan ia tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan terpaksa meminjam bagi melaksanakan projek tersebut.

Malah Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad perlu menjelaskan mengapa Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dilantik sebagai pemaju KL Vertical City sedangkan anak syarikat Felda, Encorp Berhad lebih berpengalaman dan berkeupayaan membangunkan tanah-tanah miliknya.

Membangkitkan perkara tersebut, ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli mempersoalkan jawapan diberikan Shahrir terhadap kemusykilan beliau berhubung hak milik tanah Felda di Jalan Semarak yang didakwa telah dipulang kembali kepada Felda.

Rafizi (foto) sebelum ini menggesa Shahrir memberi penjelasan tentang kejayaan Felda mendapatkan kembali hak milik ke atas tanah yang telah diserahkan kepada SPSB sedangkan hak milik itu akan bertukar kepada hak milik strata dan dijual kepada pembeli apabila Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) itu siap dibina.

Beliau juga inginkan penjelasan sama ada Felda akan hilang tanah yang dimilikinya jika projek pembinaan KLVC itu diteruskan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani Felda dan SPSB pada 2014.

“Dalam temuramah dengan media yang dilaporkan semalam, Tan Sri Shahrir Samad dengan terbuka mengakui bahawa hak milik tanah itu memang akan bertukar menjadi hak milik strata yang akan dimiliki oleh pembeli unit-unit hartanah yang dibangunkan SPSB di atas tanah itu,” ujar Rafizi dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mahu Shahrir menjelaskan keuntungan yang akan diperolehi Felda daripada projek yang dianugerahkan kepada SPSB dan mengapa anak syarikat Felda, Encorp Berhad yang berpuluh kali ganda lebih besar dan berpengalaman tidak dianugerahkan projek tersebut.

Naib presiden PKR itu juga hairan mengapa Felda yang dianggar membelanjakan RM316 juta untuk membeli 70.82% pegangan saham dalam Encorp Berhad tidak menggunakan kepakaran syarikat terbabit bagi membangunkan tanahnya di Jalan Semarak.

Malah tambah beliau, pembelian saham Encorp Bhd dilakukan Felda pada 2014, seminggu sebelum berita mengenai pembangunan semula tanah-tanah Felda di Jalan Semarak dibuat.

Sehubungan itu beliau yakin, pembelian saham Encorp dibuat bagi membolehkan syarikat itu membangunkan tanah-tanah milik Felda termasuk tanah-tanah bernilai di Jalan Semarak yang potensinya dianggarkan mencecah RM1 bilion.

“Sebab itu seminggu selepas membayar RM240 juta membeli Encorp dalam tahun 2014, berita-berita milik Umno sendiri melaporkan rancangan Felda menggunakan Encorp untuk membangunkan tanah-tanah tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau inginkan Shahrir memberi penjelasan mengapa Felda mengubah pendirian dari melantik Encorp Berhad untuk membangunkan tanah-tanah tersebut, sebaliknya menyerahkan tanah itu kepada SPSB.

“Perkara kedua yang paling penting yang saya ingin debatkan ialah mengenai pulangan kewangan kepada Felda setelah menyerahkan tanah itu kepada SPSB?” katanya.

Beliau mempertikaikan kemampuan syarikat terbabit untuk membayar RM500 juta tunai atau RM10% dari jumlah kasar pembangunan (gross development value, GDV) kepada Felda seperti dinyatakan Shahrir kerana SPSB tidak mempunyai sebarang sumber kewangan dan aktiviti perniagaan lain.

Malah syarikat terbabit juga, jelasnya terpaksa berhutang RM100 juta dari bank dengan memberi jaminan harta peribadi pengarah-pengarah bagi melaksanakan projek KL Vertical City.

Rafizi juga inginkan penjelasan sama ada SPSB telah mencagarkan tanah yang dipindah milik daripada Felda untuk mendapat pinjaman RM100 juta itu.

“Jika benar tanah-tanah Felda dicagarkan, bukankah lebih baik ia diberikan kepada Encorp kerana sekurang-kurangnya tanah-tanah itu kekal di dalam syarikat Felda dan bukannya diserahkan kepada pemaju swasta yang tidak ada rekod?” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menunggu jawapan daripada Shahrir dan akan terus berdebat melalui media sehinggalah tanah-tanah itu kembali sepenuhnya kepada Felda.