Malaysia Dateline

Mengapa begitu cepat menyerahkan kalah Zahid, tanya DAP

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan, mengapa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu cepat menyerah dalam permainan ‘Game of Thrones’ yang digerakkannya, selepas 30 hari politik negara ibarat dilanda beliung.

Ia susulan kenyataan Zahid yang mengumumkan untuk melakukan gencatan politik sekaligus terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kit Siang berkata, kemelut politik negara seolah-olah seperti ‘Games of Thrones’ yang merujuk kepada persaingan beberapa parti politik yang bebalah untuk mendapatkan kuasa Persekutuan.

“Minggu lalu mengesahkan kata-kata saya bahawa Malaysia berada di tengah-tengah puting beliung politik yang belum pernah terjadi sebelumnya dengan plot, sub-plot, plot-plot dan sub-plot-plot yang timbul dari ‘tukang-tukang kayu’ untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Kit Siang berkata, kemungkinan presiden Umno itu menyerah kerana telah menyedari rancangannya kini memakan diri (backfire).

Ia selepas Umno mendapati puak-puak dalam Umno termasuk Pas sendiri menentang idea untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Mungkin Umno terkejut apabila mendapati langkah mereka tidak akan memperoleh sokongan dari Pas dalam Game of Thrones.

“Jika Game of Thrones tidak menjadi, mereka tidak boleh mengharapkan Pas akan bergabung atau bersatu dengan Blok Parlimen Umno untuk menyokong keputusan Zahid dan Najib Razak secara membuta tuli,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan mengejut Zahid pada semalam yang mengumumkan untuk melakukan gencatan politik dan menyeru ahlinya memperkukuh sokongan terhadap PN.

Pengumuman itu dibuat selepas desas desus mengaitkan bahawa beliau akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.