Mengapa BN tunggu menang nak hapuskan tol motorsikal?

Mohd Shariff ketika berucap di Sungai Dua, Tasek Gelugor kelmarin.

Rakyat negeri Pulau Pinang dinasihatkan jangan termakan janji-janji manis Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan kesampaian menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Malah lebih mendukacitakan Umno-BN sepatutnya boleh melaksanakan apa jua rencana yang mereka inginkan demi kepentingan rakyat, tetapi tidak mahu melaksanakannya.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar ketika ditemui semasa program ceramah Pakatan Harapan (PH) di Sungai Dua, Tasek Gelugor kelmarin.

Jelas beliau lagi, antara janji Najib semasa hadir ke Pulau Pinang baru-baru ini adalah untuk hapuskan tol bagi penunggang motosikal yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

“Najib hanya berani menjanjikan untuk menghapuskan tol bagi penunggang motosikal yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang sahaja sekiranya BN menang PRU yang akan datang.

“Sebaliknya BN tidak perlu menanti untuk menang PRU barulah hendak menghapuskan tol untuk penunggang motosikal tersebut.

Antara pimpinan PH yang turut hadir pada program ceramah PH kelmarin.

“Sebagai sebuah kerajaan yang sedang memerintah mereka mempunyai kuasa untuk melakukannya, tetapi kenapa tidak dilakukan sebelum PRU?” tanya beliau.

Menurut Shariff lagi, janji-janji yang ditaburkan oleh BN agak melucukan kerana tidak mampu untuk menggunakan kuasa bagi manfaat rakyat, sebaliknya mahu tunggu menang PRU dahulu.

“Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang telah pun memerintah sejak menang PRU ke-13 yang lalu, mereka boleh menghapuskan tol tersebut sekiranya benar-benar ikhlas.

“Tetapi hanya cuba menagih sokongan menjelang PRU, maka terpaksalah membuat janji baru seperti ini.

“Sebenarnya rakyat Pulau Pinang tidak mudah termakan segala janji-janji yang ditaburkan oleh BN sejak 2008 lagi,” ujarnya.

Beliau juga berkata PH mempunyai rancangan dan proposal yang lebih baik jika dibandingkan dengan BN yang telah lama memerintah.

“Walaupun PH telah berjaya memerintah Pulau Pinang dan Selangor sahaja sejak 10 tahun yang lalu, pelbagai janji

Sebahagian daripada hadirin yang hadir pada program tersebut.

telah berjaya ditunaikan.

“Kali ini PH bukan saja menjanjikan akan menghapuskan tol untuk penunggang motosikal seperti yang dijanjikan oleh Najib di Pulau Pinang, tetapi kita telah pun menjanjikan akan menghapuskan tol untuk semua.

“Perbandingan ini membuktikan PH lebih prihatin terhadap beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, jika dibezakan dengan BN yang hanya bijak menabur janji tatkala PRU hampir tiba,” tegasnya.

Sehubungan itu tambahnya, rakyat Pulau Pinang mesti menolak Umno dan BN dari terus menjadikan mereka sebagai pembangkang untuk penggal yang ketiga dalam PRU kali ini.

5.0
OVERALL SCORE
3 user votes x 6.7
CATEGORIES