Mengapa di Johor rakyat masih dihalau?

Mengapa di Johor rakyat masih dihalau?

Sebahagian masalah rakyat di Johor adalah berkaitan dengan hak pemilikan tanah. Sebelum PRU lagi, isu yang berkaitan dengan pemilikan tanah sentiasa menjadi irama yang berlagu sayu pada masyarakat di selatan tanah air ini.

Sudah memasuki fasa tahun kedua Pakatan Harapan (PH) memerintah Johor, isu berkenaan pemilikan tanah masih lagi berbangkit. Hal ini sudah menjadi lumrah apabila riuh rendah suara masyarakat terus berdendang mahukan hak mereka yakni tempat kediaman yang tenteram.

Umum masyarakat tempatan mengakui harga rumah di kawasan bandar seperti Johor Bahru terlalu mahal dan hanya ‘mampu tengok’ saja. Namun ianya bukanlah suatu perkara yang mustahak untuk masyarakat di negeri ini pertikaikan jika mereka sendiri mempunyai kediaman yang tidak diganggu gugat.

Malangnya apa yang berlaku sebaliknya. Dalam tinjauan yang didapati, kebanyakan rumah tidak sah taraf ini dibina pada tahun 1960-an dan ke atas. Jika mengikut sejarah mereka yang membina penempatan tidak sah ini boleh dikategorikan sebagai peneroka bandar.

Dalam rekod juga telah mengesahkan pelbagai permohonan yang dilakukan oleh penduduk di kawasan penempatan tidak sah ini wujud dalam sekitar tahun 1970-an. Bermakna perkara ini sudah menjadi pengetahuan kerajaan negeri pada waktu itu tentang permohonan pengesahan penempatan penduduk.

Dalam satu kes seperti isu di Denai Pinggiran sebelum ini, kebanyakan mereka telah mengakui seolah-olah ditipu oleh pihak kerajaan negeri Johor yang terdahulu. Wujud janji-janji yang menyatakan penerokaan tanah baru di negeri ini telah disokong oleh pihak kerajaan.

Rumah Ainon di Kampung Bakar Batu Perling Johor Bahru yang dirobohkan pemaju.

Suatu kenyataan yang pernah disuarakan oleh penduduk Denai Pinggiran yang menyatakan ‘janji mulut’ oleh kerajaan negeri pada waktu itu (sekitar tahun 1980) menyatakan orang Melayu perlu berpindah ke bandar agar tidak ketinggalan dari arus pembangunan.

Janji yang kedua disuarakan adalah berkenaan permohonan yang mana selepas tanah itu diteroka maka penduduk harus memohon tanah tersebut kepada pihak kerajaan. Menurut majoriti penduduk setinggan Denai Pinggiran, pihak kerajaan ketika itu berjanji akan meluluskan permohonan yang dibuat.

Lalu terbitlah semangat orang Melayu berpindah ke bandar dengan meneroka tanah-tanah terbiar yang asalnya di bawah kerajaan negeri pada waktu itu. Di kawasan Kempas, Majidee, Pandan, Tebrau, Gelang Patah, Danga, Wadi Hana dan sekitar bandar Johor Bahru.

Akhirnya selepas hampir 40 tahun berlalu perkara ini terus berbangkit. Contoh yang terbaharu adalah Kampung Bakar Batu Perling. Bakal menyusul adalah Kampung Permatang Kempas dan ini menjadi suatu pengaruh kuat untuk membuktikan kebolehan PH Johor menyelesaikan perkara ini dengan cara ‘menang menang’.

Hasil pentadbiran yang tidak menghiraukan janji-janji mereka oleh kerajaan BN sebelum ini, tanah-tanah yang diteroka tersebut telah pun tergadai dan selain itu sudah termaktub dalam perancangan pembangunan untuk negeri.

Boleh jadi serba-salah sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan. Contoh yang ketara apabila tanah itu telah dibeli oleh pemaju, bermakna tanah tersebut sudah menjadi hak milik syarikat. Maka penduduk yang asalnya meneroka tanah berkenaan pastinya akan terpinggir serta dihalau dari tanah yang mereka teroka.

Dalam hal ini, pemaju bukan pihak yang boleh dipersalahkan kerana mereka mengambil terma peluang dan ruang untuk mereka mengembangkan perniagaan mereka seperti mengenal pasti tempat berpotensi untuk dibangunkan.

Peneroka bandar atau penduduk kampung juga tidak boleh dipersalahkan. Dalam hal ini, kelemahan urus tadbir serta janji-janji manis yang pernah ditabur mengundang permasalahan pada ketika ini.

Dalam pertemuan saya dengan Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Sr. Haji Dzulkefly Ahmad, beliau menyatakan memang perkara ini terlalu rumit untuk diselesaikan. Namun melalui kepakaran serta pengalamannya, banyak isu yang berjaya diselesaikan dengan membuat situasi ‘menang menang’ itu berlaku.

Dalam kes ini ternyata apa yang boleh dipertikaikan adalah berkenaan dengan masyarakat kian tertipu dengan janji-janji manis yang pernah ditabur oleh golongan terdahulu. Juga terdapat campur tangan pihak yang berkepentingan dari segi material telah mencatur hal ini dari terjadi.

Ini adalah cabaran bagi pihak PH Johor untuk menyelesaikan permasalahan ini. Samalah juga kes yang berlaku di Kampung Air Putih lapis 1, Sri Medan Batu Pahat Johor, yang mana pihak berkepentingan wujud untuk mengambil alih tanah yang pernah diteroka sejak tahun 1940-an.

Cabaran ini memang besar untuk dihadapi. Namun menurut Dzulkefly Ahmad sewaktu ditemui berpendapat, perkara ini adalah suatu kewajipan yang perlu diselesaikan bagi memenuhi perminataan masyarakat serta menjaga ketenteraman pembangunan.

Sememangnya ini memerlukan suatu kemahiran luar jangka kerana dua pihak seperti penduduk kampung dan pemaju terjerat dalam janji-janji manis serta pihak berkepentingan yang lain. Ini adalah cabaran dalam memenangkan masyarakat seiring dengan pembangunan sejagat.