Mengapa Dr Dzulkefly peduli tentang ‘kematian pra-matang’?

Mengapa Dr Dzulkefly peduli tentang ‘kematian pra-matang’?

Semasa Konvensyen Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI), Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membentangkan statistik purata umur kematian yang tidak meningkat sejak 10 tahun lepas dan ini membimbangkan beliau.

Purata umur mati bagi lelaki di Malaysia ialah 75 tahun dan bagi wanita 79 tahun.

Secara tradisinya, minda kita berfikir ajal maut di tangan Tuhan, buat apa Menteri perlu fikir tentang umur kematian rakyat.

Dr Dzulkefly Ahmad

Hakikatnya data-data jelas menunjukkan negara-negara yang mengamalkan cara hidup sihat, jangkaan hayat dan kualiti hidup juga biasanya meningkat.

Isunya ialah ’kematian pra-matang’ akibat penyakit yang berpunca dari gaya hidup kurang sihat, atau noncommunicable diseases (NCD) seperti masalah jantung, kencing manis, darah tinggi, angin ahmar, barah, dan masalah kesesakan nafas.

NCD adalah punca besar kesesakan di hospital. Rakyat Malaysia membelanjakan sekitar RM10 bilion setahun hanya untuk membeli ubat dan sebahagian besarnya adalah berkaitan dengan NCD.

Ini tidak termasuk kos lain seperti wad, pembedahan, fisioterapi susulan, rawatan pakar, dan seumpamanya. Kerajaan pula terpaksa membiayai lebih separuh dari kos ini melalui kutipan cukai.

Itu baru kos dari sudut kewangan. Bagaimana pula kos sosial? Keluarga yang berantakan dan anak-anak yang terbiar apabila ketua keluarga terlantar menderita sakit.

Dr Dzulkefly melihat isu ini dari perspektif maqasid syariah dan konsep Rahmatan Lil Aalamin.

Cara untuk menyelesaikan masalah kesesakan hospital bukan sekadar dengan menambah hospital dan doktor.

Sebaliknya, juga dengan mengurangkan pesakit yang mungkin boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup yang lebih sihat dalam kalangan rakyat. Saya doakan agar Allah SWT permudahkan urusan beliau.

* Penulis merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor.