Malaysia Dateline

Mengapa durian harga yahudi, ini logiknya

Durian. Ya, semua orang bercakap tentang durian ketika raja buah itu sedang berlambak di pasaran malangnya harga buah tempatan itu terlalu mahal sehingga digelar harga yahudi. Buah ditanam di tanah Malaysia tetapi harga pula harga Yahudi.

Ramai yang menyifatkan peniaga durian dapat untung besar dan menganggap boleh pergi haji balik hari. Macam-macam persepsi orang ramai terhadap peniaga durian.

Baru-baru ini saya berkesempatan rentas negeri kerana urusan kesihatan, alang-alang sampai di negeri Serambi Mekah saya pulunlah beli durian untuk bawa balik.

Dek kerana mahu durian ‘fresh’ dari ladang saya hubungi seorang pakcik yang ada kebun durian di Kuala Krai.

Durian segar baru luruh, isi kuning berkilat, lemak manis. Memang sedap. Saya dapat harga durian kampung RM8 sekilo dan ioi atau mas muar (panggilan orang kampung) pula RM15 sekilo. Isi durian kampung warna kuning macam musang king cuma bijinya lebih besar. Biasa saya beli durian kampung isinya putih, nipis terserlah bijinya. Kali ini saya berpuas hati beli durian dari kebun RM200 makan sampai ‘lebam’. Siap buat pulut durian dengan santan segar bersama nisan (gula melaka) yang dikikis dan ditabur atas pulut tadi. Alhamdulillah. Sedap sangat.

Isi musang king yang kuning lamak dan manis. (Ini sahaja gambar yang sempat diambil, asyik sangat menikmatinya)

Berjumpa dengan pakcik yang dikenali Pok Nik seorang pesara polis sambil menikmati raja durian musang king (saya dua biji, suami dua biji) dari kebunnya.

Dia bercerita perihal lapan pokok durian musang king (durian kunyit panggilan orang kampung) yang diwarisi daripada orang tuanya. Rezeki dia.

Menurut Pok Nik harga musang king yang dibeli dari kebun sudah mencecah RM50 sekilo, belum lagi dijual di pasaran. Jadi tidak hairanlah harga sebiji durian boleh cecah ratusan ringgit.

Pok Nik tidak menafikan harga durian mahal kerana untuk kos penjagaan yang rumit bagi mengelakkan buah jatuh gred.

Beliau yang tidak mempunyai modal yang banyak terpaksa memajak lima daripada lapan pokok durian musang king kepada pemajak dengan harga RM9,000.

Dengan memberi pajakan buah duriannya akan terjaga daripada binatang seperti tupai yang merosakkan buah akhirnya, rugi kerana tidak ada yang membeli.

“Kita tidak ada modal, nak jaga buah durian mahal ni perlu keluar modal banyak supaya buah kita cantik, isi molek. Kualiti terjaga, ramai yang nak beli buah durian kita,” katanya.

Pok Nik memberi pajakan kepada seorang guru ketika pokoknya baru mula berbuah (buah masih kecil).

Macam tahun sebelum ini Pok Nik tidak memajak pokoknya, daripada sepokok durian yang ada 70 biji hanya 7 biji sahaja buah yang elok, lebihnya semua ditebuk tupai, jatuh atas tanah (lebam) dan di makan babi.

Kata Pok Nik beliau rugi dekat RM3,500 daripada buah yang rosak itu (jika RM50 sebiji).

“Bila buah rosak orang hanya ambil murah bawah RM30 sekilo. Daripada banyak buah yang rosak, lebih baik kita serah pada pemajak mereka ada serba serbi kelengkapan,” katanya.

Satu lagi, katanya sifat buah durian musang king ini jika ia mula luruh ia akan luruh bertali arus bukan macam durian kampung sekali sekala luruh.

Katanya semua persediaan jaga buah durian termasuk membina pondok, jaring atau pukat, upah penembak tupai, upah pengutip buah semua ditanggung oleh pemajak.

Kos di sini sahaja katanya, sudah mencecah ribuan ringgit dengan kos membeli peluru yang kini sudah digunakan hampir 300 biji peluru untuk tembak tupai dan babi.

“Penembak bukannya tembak di depan pokok durian, biasa akan tembak tupai di sekitar iaitu 500 meter dari kebun. Kebun-kebun yang lain pun terselamat daripada tupai, tidak rugilah. Bunyi tembakan kuat sekali tembak semua tupai lari,” katanya.

Jika Pok Nik tidak memajak pokok duriannya dia mampu meraih pendapatan puluhan ribu hasil jualan kesemua durian daripada lima pokok yang dipajaknya. Lima pokok ada lebih kurang 300 biji durian dan dianggarkan sebiji RM100, RM30,000 beliau dapat.

Malangnya beliau tidak mempunyai modal tebal untuk kos penjagaan pokok-pokoknya. Jadi jalan terbaik baginya adalah memajak demi menjaga kualiti buah durian selari dengan nama gelarannya raja buah.

Bagaimanapun, tiga pokok durian musang king beliau masih ada untuk kaum keluarga dan sanak saudara termasuklah saya yang dapat menikmatinya.

Saya bukan memihak kepada pekebun durian, atau penjual durian tetapi ada logiknya cerita Pok Nik mengapa harga durian mahal.