Mengapa idea kingmaker ditolak

Bolehkah Pas menang cukup kerusi untuk menjadi king maker.

Pemimpin Pas tegas menolak dakwaan parti itu mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno. Mereka menyifatkan cerita kerjasama atau persefahaman politik itu sebagai fitnah memburukkan Pas walaupun presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, mengakui pernah mengusulkannya selepas PRU2008.

Cadangan Ustaz Hadi bukan sahaja ditolak Pakatan Rakyat, malah tidak diterima sebahagian besar pimpinan Pas sendiri. Ada usaha membentuk kerajaan perpaduan Pas-Umno di negeri Selangor dan Perak, dengan menjanjikan Adun Pas sebagai menteri besar, namun majoriti pemimpin Pas tetap setia berpegang janji bersama DAP dan PKR.

Pas masuk PRU12 bukan secara keseorangan. Barisan Alternatif masih ada walaupun tanpa DAP. Pertembungan tiga penjuru dengan DAP dapat dielakkan. Pemimpin Pas dan PKR dapat duduk berbincang dengan baik mengenai agihan kerusi bersama DAP. Lagipun konstituensi DAP tidak bertindih di kawasan yang ditandingi Pas. Maknanya, secara tidak formal, penyertaan ketiga-tiga parti ini dalam PRU2008 adalah seperti satu gabungan.

Justeru, Pas bertindak betul apabila menolak pelawaan membentuk kerajaan perpaduan di Selangor dan Perak, bersama Umno. Ia soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Mandat rakyat harus dihormati. Mereka menolak Umno-BN secara total. Masakan apabila pengundi bersepakat menjatuhkan regim Umno-BN, tiba-tiba selepas pilihan raya, Pas tidak segan-silu menubuhkan kerajaan negeri dengan mengenepikan DAP dan PKR.

Sekiranya Pas terliur dengan tawaran Umno itu, nescaya ia terus memanjangkan hayat regim korup yang menyalahguna kuasa, walaupun kebanyakan pengundi telah membenamkannya dan bersedia menubuhkan kerajaan baru prorakyat.

Alhamdulillah, Pas terselamat daripada aksi pengkhianatan terbuka, walaupun akhirnya terpaksa melepaskan posisi strategik dalam kerajaan negeri Perak, apabila ia ditumbangkan secara tidak demokratik.

Membentuk kerajaan bersama Umno bermakna Pas hanya menempek dengan sistem, amalan dan tradisi pemerintahan yang terbukti menyeleweng, rakus dan mementingkan kroni. Amat sukar sekali untuk memperkenalkan pembaharuan dan penambahbaikan, apatah lagi di kala Pas menjadi golongan minoriti dalam kerajaan. Lebih penting, rakyat yang prihatin dan bertekad mendukung reformasi tidak lagi bersama Pas, walaupun segelintir kecil intelektual Melayu beria-ia menyokong gagasan perpaduan itu.

Penyokong Pakatan Rakyat menarik nafas lega di atas ketetapan Pas itu. Namun tanpa diduga, ia tidak terhenti di situ sahaja. “Permainan” Umno belum tamat. Mereka memandang jauh ke hadapan. Survival Umno sebagai penguasa terancam jika Pakatan dibiarkan berkembang secara semulajadi, dengan Anwar Ibrahim sebagai pengemudi kebangkitan rakyat itu.

Jarum terus dimainkan untuk menanam rasa curiga dan sangka buruk, khususnya di antara Pas dan DAP. Dalam masa sama, digambarkan Pakatan Rakyat gagal menjaga kepentingan Melayu-Islam, mudah bertolak ansur dengan tuntutan ultra-kiasu.

Kebetulan ada aksi dan kenyataan pemimpin DAP tertentu yang boleh dimanipulasi dan dieksploitasi bagi membayangkan parti berkenaan bersikap prejudis dengan Islam. Sikap kritis dan berani mempersoalkan, dianggap anti-Islam atau tidak sensitif dengan Islam. Walhal ia hanya perlu ditangani atau dijawab dengan hujah munasabah dan bijaksana sahaja.

Selain itu, Hudud atau pelaksanaan Syariah sentiasa menjadi senjata berkesan untuk memporak-perandakan pembangkang, khususnya di antara Pas dan DAP. Sekali jarum dicucuk, maka “terloncat-loncat” mereka menari kepanasan, bagai menurut skrip yang disusun strategis Umno. Lupa segala prioriti atau urutan keutamaan yang sudah dihadam dan disepakati. Lupa siapa musuh siapa kawan sekutu. Lupa perangkap samar yang sentiada menunggu kealpaan mangsa.

Hudud mainan Umno telah mengaburkan pertimbangan waras tentang perjuangan rakyat. Malang sekali, begitu mudah Umno mempermainkan sentimen dan emosi orang Pas dengan umpan murah, untuk terus kekal berkuasa.

Rupanya Umno tidak memerlukan kos yang mahal untuk mencerai-beraikan pembangkang. Tidak perlu menawarkan sesuatu yang berharga tjnggi untuk kekal berkuasa. Cuma, Umno tidak menjangka, sewaktu beroleh keuntungan berganda kesan Pas termakan umpan, ia sendiri menempah sengketa dalaman, ekoran skandal gergasi 1MDB.

Pemecatan Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi mengundang retak. Penampilan Dr Mahathir Mohamad dengan Deklarasi Rakyat dan jelajah kempen Selamatkan Malaysia, berjaya mempersatukan pembangkang, dan menjadi mimpi ngeri buat Najib Razak. Tanpa Pas, tanpa Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan tanpa Anwar, segalanya tidak juga berjalan lancar untuk Umno. Mahathir merintis jalan untuk Tsunami Melayu yang menggegarkan. Bayangkan, tanpa Mahathir, bagaimana pembangkang mahu mengolah sokongan rakyat menjelang PRU14, khususnya di kalangan Melayu desa dan penempatan Felda?

Ketika Pas tidak dapat menetapkan hala tujunya, dan dilihat berpusing-pusing di persimpangan, kita dilontarkan idea kingmaker apabila BN dan PH gagal membentuk kerajaan.

Saya mula mendengar impian Pas mahu menjadi kingmaker daripada ucapan timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, lama sebelum Ustaz Abdul Hadi Awang mempopularkannya.

Selepas meneliti video youtube itu hati kecil saya terus menolak idea berkenaan. Bukan memperlekehkan keupayaan Pas untuk meraih kerusi mencukupi, tetapi nurani saya merumuskan bahawa angan-angan itu bercanggah dengan prinsip Pas sendiri. Dan ia sebenarnya mahu memperalatkan undi dan sokongan rakyat kepada Pas. Sama atau mungkin lebih teruk daripada idea kerajaan perpaduan dahulu. Ia umpama cadangan lama tetapi dipakejkan dalam bentuk baharu yang lebih segar.

Pada hemat saya, beberapa pimpinan utama Pas, termasuk presidennya, tidak pernah menggugurkan idea kerajaan perpaduan, tetapi mereka tidak berani membuat ketetapan terus mengusulkannya kerana bimbang ditolak ahli Pas. Walaupun golongan yang dianggap progresif dan kuat membantah idea itu telahpun “gugur setandan” dalam muktamar 2015, namun sebahagian besar ahli dan penyokong akar umbi tidak boleh menerima sama sekali sebarang kerjasama politik dengan Umno, tidak terkecuali di negeri Ustaz Hadi sendiri.

Mereka mungkin bersetuju berpisah dengan DAP dan PKR, serta termakan dengan label negatif terhadap Amanah, tetapi untuk menjalin hubungan dengan Umno, tidak sekali-kali. Jika terbukti Pas menjadi rakan kongsi Umno, walaupun secara gelap, mungkin berduyun-duyun ahlinya menyertai parti Islam Amanah. Dan ini amat ditakuti Ustaz Hadi. Tanpa sokongan ahli yang setia dan walak, apa lagi yang tinggal buat Pas? Dan Amanah dianggap saingan politik terdekat yang mesti “dikuburkan”.

Sepertimana saya menolak kerajaan perpaduan 2008, kerana mengeksploitasi undi untuk menumbangjan BN, saya juga tidak dapat menerima idea kingmaker ini. Apabila Pas bersetuju membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya 1969, ia memang tidak perlu mendapat restu pembangkang lain kerana penyertaannya dalam pilihan raya itu adalah secara solo.

Tetapi ia masuk PRU2008 secara berpasukan, dengan persefahaman tertentu. Benar, Pas terlibat dalam PRU14, tanpa ikatan janji dengan oposisi utama yang lain, tetapi ia tidak boleh mengelirukan rakyat seolah-olah turut menawarkan janji perubahan dan pembaharuan, serta mahu membebaskan daripada cengkaman Umno-BN.

Ada pihak membawa contoh kes bahawa ada parti kecil yang dapat menjadi kingmaker seperti berlaku di United Kingdom ekoran dua parti utama gagal membentuk kerajaan. Maka kumpulan minoriti seolah-olah menjadi dominan. Mungkin itu yang dihasratkan Pas, hanya bermodal kecil tetapi dapat menjadi taukeh besar!

Saya tidak mengikuti sangat perkembangan politik di sana. Namun realiti di UK berbeda dengan suasana di Malaysia dan negara-negara ketiga yang lain.

Seorang teman, penganalisis politik antarabangsa berpendapat: “Kita ini dunia ketiga yang praktis demokrasi pun tak betul. Kerajaan susah nak diubah, rasuah bermaharajalela, kebebasan akhbar ditekan. Di UK, parti Buruh dan Konservatif selalu bersilih ganti tubuh kerajaan. Jadi bolehlah kalau nak jadi kingmaker. Itu biasa.

Tapi kita nak jatuhkan Umno cukup susah. Sebab itu jadi kingmaker itu sebenarnya sokong Umno. Kingmaker pun nanti kena ‘ngap’ dengan Umno. Fokus kita, kena bersatu jatuhkan Umno supaya proses demokrasi dapat dimulakan.”

Sulit, ya, memang sulit untuk Pas berunding dan berbincang dengan Pakatan Harapan sebelum PRU14, selepas masing-masing berbalas tuduhan, tetapi ia lebih praktikal berbanding selepas pilihan raya. Mengapa tidak dicari keserasian dengan PH mahupun BN sebelum hari mengundi lagi.

Dalam politik, segalanya serba mungkin, asal berpaksikan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama. Dan saya yakin, berdasarkan Janji 100 Hari selepas memerrintah, banyak persamaan di antara Pas dan PH, manakala tiada komitmen BN untuk melakukan reformasi dan pembaharuan. Malah Najjb memperhebat segala jenis korupsi, dengan skala maha dahsyat selepas Parlimen dibubarkan.

Justeru, saya pelik dan aneh sekali bagaimana Pas mungkin boleh bersama BN nanti. Atas perkiraan dan sifir apa, atau “lembek tengkuk” setakat dipermudahkan urusan RUU355? Hajat Pas mahu mengubah sistem, bukan hanya menukar kepemimpinan negara, tetapi saya khuatir jika ditakdirkan ia mampu menjadi kingmaker, yang berubah sebenarnya adalah Pas sendiri. Benih sudah bertunas menyerlahkan identiti Pas sudah bertukar, menjadi parti yang mesra Umno dan antipembangkang.

Pas boleh saja mengimpikan untuk duduk dalam Kabinet BN selepas PRU14, atau dilantik ke jawatan strategik lain dalam kerajaan, sektor aw am, Dewan Negara, badan berkanun mahupun GLC. Mungkin itu habuannya jika dapat berperanan sebagai pemecah undi pembangkang.

Soalnya, apa yang boleh disumbangkan Pas ke arah pembaharuan dan pemulihan negara ini? Jika Pas memperlekeh kemampuan serta kejujuran Mahathir dan PH untuk membawa perubahan besar demi kepentingan rakyat, maka azam Pas itu lebih sukar atau hampir mustahil dilaksanakan.

Mahathir pula kini dikelilingi rakan-rakan yang baru, yang menggenggam erat idealisme reformasi, dan berani menegur sebarang salah laku, serta diikat oleh janji-janji pembaharuan, yang mengehadkan kuasa-kuasa perdaba menteri, meminda serra menansuhkan akta-akta drakonian, serta mengupayakan masyarakat sivil dan NGO.Z

Mahathir mengumumkan akan memansuhkan beberapa undang-undang termasuk Anti-berita Tidak Benar 2018, sekiranya mereka mjjenawan Putrajaya. PH turut ingin memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

“Kita juga akan mansuhkan peruntukan zalim yang terdapat dalam Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan Keselamatan, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015,” kata Mahathir dalam sidang akhbar di Parlimen, 3 April 2018.

Mahathir yang baru ini tidak berkuasa mutlak seperti dahulu. Partinya, Bersatu, tidak akan menjadi dominan seperti Umno dalam BN. Hampir pasti, Bersatu tidak akan memegang kerusi majoriti. Keempat-empat parti komponen PH berdiri sama tinggi dan mempunyai suara sama untuk didengar. Usaha mereformasikan institusi utama negara dan proses pelantikan jawatan strategik yang lebih transparen akan membantu pentadbiran negara yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti.

Saya sampai kepada kesimpulan bahawa undi kepada Pas tidak akan membantu untuk merubah negara, malah ia mungkin berperanan mengekalkan kerajaan kleptokrasi Najib-Umno. Bukan sahaja sistem yang bobrok dan rosak teruk ini tidak dapat dipulihkan, kepemimpinan kerajaan juga tidak mampu ditukar. Ia hanya nenyusutkan undi yang sepatutnya diterima gabungan pembangkang. Idea kingmaker sekadar penyambung hayat regim korup bagi terus membolot khazanah kekayaan negara dan mengadudomba rakyat pelbagai kaum.

Perubahan regim yang mengakar selama lebih 60 tahun pasti membawa manfaat buat semua. Kita harus dibiasakan dengan tradisi menukar kerajaan demi mengupayakan rakyat untuk berani membuat perubahan.

 

CATEGORIES