Malaysia Dateline

Mengapa kecoh apabila orang luar jadi tokey?

Apabila ada laporan di media berkenaan orang-orang dari Bangladesh, Indonesia dan pelbagai negara lagi yang menjadi tokey pelbagai perniagaan, tentunya ada pelbagai komen-komen di media sosial.

Ada lesen ke? Bayar cukai ke? Macam-macam pertanyaan yang ada bau-bau sindiran dan kecaman akan diberikan. Ini bukanya satu perkara yang pelik kerana manusia memandang “pendatang” dengan pandangan yang berbeza dengan anak negeri.

Semasa saya belajar di Australia, ada juga terasa diperkecilkan oleh tuan tanah walaupun rata-rata dari mereka datang dari pelbagai negara. Sifat lupa asal usul ini pun satu perangai global. Jika mahu memasuki UK, kita kena lalu kaunter-kaunter imigresen yang dijaga oleh pegawai-pegawai yang berasal dari India dan Pakistan. Mereka akan tanya “How long are you going to stay in my country?”.

Orang Islam pun lupa bahawa dunia ini Allah yang cipta. Kita hanya menumpang sahaja walaupun nama kita didaftarkan di dalam geran tanah. Sifat pelupa ini menyebabkan kita berasa mulia dan menghina hamba-hamba Allah yang lain.

Saya tidak mahu campur dengan persoalan-persoalan demikian tetapi saya mengajak “anak-anak negeri” untuk berfikir “mengapa orang-orang luar ini boleh nampak peluang dan berjaya pula mendapatkan manfaat dari peluang itu? Malah, ada juga orang tempatan yang berpeluang untuk bekerja dengan mereka.

Kita yang lahir di sini sepatutnya mempunyai peluang yang lebih baik dari orang yang datang dari luar. Namun, kemungkinannya kita biarkan. Apabila mereka merebut peluang yang memang sengaja kita abaikan, mengapa memberikan reaksi yang negatif?

Dari segi ilmu perniagaan, berniaga di ruang yang orang lain tahu peluangnya tetapi tidak mahu masuk pasaran dinamakan “sweat spot”. Sampai bila-bila pun orang lain akan tengok sahaja.

Berniaga sifatnya mengambil peluang dan menanggung risiko. Jika kita takut ambil risiko, secara sendirinya kita akan menjadi penonton yang aktif. Aktif membuat komen di media sosial walaupun ianya tidak akan mengubah kehidupan kita.

Ada juga yang mahu memaksa orang lain memberikan kita peluang di atas pelbagai alasan. Walaupun ini nampak macam mulia, tanpa jiwa yang mampu menghadapi risiko, ini akhirnya akan menjadi semacam menyiram air ke daun keladi. Air akan habis, daun tidak basah.

Pendek kata, kena berani turun ke medan, usaha, tanggung risiko dan bertawakal kepada Allah. Itu formula yang sudah banyak kali diulangi oleh orang lain dan merekalah yang menikmati hasilnya.


Penulis adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji. Tulisan ini disiarkan dalam Facebook beliau.