Malaysia Dateline

Mengapa kilang masih beroperasi walau sudah ada kluster Covid-19?

Walaupun sebuah syarikat di Taman Industri Integrasi Rawang, Selangor tersenarai dalam kluster baharu Covid-19 pada 13 Januari lalu tetapi pekerjanya dikatakan diarah hadir bekerja seperti biasa.

Sumber menyebut syarikat enggan menghentikan operasi biarpun lebih 100 pekerja sudah diangkut Kementerian Kesihatan (KKM) ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang.

“Kami sangat takut. Ada daripada kes pada mulanya keputusan calitan negatif namun tiba-tiba demam, sebelum didapati positif wabak itu,” kata sumber dipetik Kosmo! semalam.

Difahamkan kilang tersebut mempunyai hampir 1,000 orang pekerja dan baki mereka yang masih sihat perlu hadir bekerja seperti biasa.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Kluster Taman Integrasi sebagai antara 11 kluster baharu pada 13 Januari lalu.

Kes-kes bagi luster tersebut telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 10 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang yang terletak di Rawang Integrated Industrial Park.

Sehingga 13 Januari lalu, sejumlah 250 individu telah disaring, di mana 119 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

Dalam masa sama, sumber itu mendakwa, masih ramai dalam kalangan pekerja tempatan yang tidak melakukan ujian calitan kerana tidak mahu dipotong gaji.

“Jika ada pekerja yang membuat ujian calitan, syarikat akan tanggung tapi gaji pekerja akan dipotong kemudiannya,” katanya.

Sumber juga mendedahkan arahan bekerja dari rumah sebanyak 30 peratus juga hanya diguna pakai bagi yang berjawatan penolong pengurus ke atas sahaja manakala lain-lain perlu hadir seperti biasa.

Lebih mengejutkan, syarikat itu mengarahkan pekerja membeli peralatan sanitasi dan melakukannya sendiri bukannya menggunakan khidmat profesional untuk membuat kerja-kerja sanitasi.

“Di Rawang, syarikat ini mempunyai tiga premis kilang dan sebuah gudang. Kesemuanya mempunyai kes positif Covid-19,” dakwanya.

Menurutnya lagi, kilang itu kembali beroperasi hari ini selepas hanya ditutup selama dua hari bermula kelmarin bagi kerja-kerja sanitasi manakala produksi dihentikan semalam.

Tiada arahan

Sementara itu, seorang pengguna dengan nama Shahril MunkeyInc memuat naik video dan gambar lokasi asrama pekerja kilang itu di Taman Industri Integrasi Rawang.

Dia mempersoalkan mengapa pihak berkuasa masih belum menutup kawasan kilang tersebut walaupun sudah ramai pekerjanya disahkan positif Covid-19 dengan sebanyak enam bas telah digunakan untuk mengangkut pekerja kilang tersebut sejak 13 Januari lalu.

“Kasihan kawan-kawan saya ke kilang itu macam tunggu giliran nak mati sahaja. Kalau tak kena, selamatlah. Kalau kena, kena angkutlah jawabnya.

“Kan berita dah masuk, Kluster Taman Integrasi pun sudah ada. Apa lagi nak? Nak jadi macam Top Glovekah?” katanya lagi.

Dalam hal berkaitan, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe dilapor berkata, tiada keperluan untuk menutup kilang tersebut selagi mana tiada arahan sedemikian dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, jurucakap syarikat itu menafikan hantaran di laman Facebook berkenaan dan enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.

Top Glove didapati melanggar peruntukan membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja.

Kluster Teratai 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan banyak kes jangkitan Covid-19 berlaku di tempat kerja termasuk kilang.

Kilang pengeluar sarung tangan Top Glove di Meru, Klang dikenal pasti sebagai pencetus Kluster Teratai Covid-19 yang telah muncul sebagai kluster terbesar dengan 6,950 kes yang disahkan setakat semalam.

Kluster Teratai mula diumum sebagai kluster baharu pada 7 November 2020 dengan kes indeks bagi kluster tersebut (iaitu kes ke-35,263) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu.

Pada 13 Disember, seorang pengawal keselamatan Top Glove warganegara Nepal, Yam Narayan Chaudary meninggal dunia disahkan akibat Covid-19.

Yam Narayan yang sudah dua tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di Top Glove dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 November lalu.

Rujuk silang pada sumber KKM, 13 Disember 2020 mendapati terdapat kematian seorang lelaki bukan warganegara berusia 29 tahun di Hospital Sungai Buloh yang tanpa latar belakang penyakit.

Individu dengan kes ke-55,965 berkenaan direkodkan sebagai kematian ke-415 dan merupakan antara empat kes kematian baharu pada hari tersebut.

Seorang lelaki bukan warganegara yang dikaitkan dengan Kluster Teratai direkodkan meninggal dunia pada 13 Disember 2020.

Sehubungan itu, sebuah NGO menyelar Top Glove sebagai cuai dalam melindungi pekerja daripada penularan pandemik Covid-19 selain mempersoalkan kepatuhan keselamatan tempat kerja dan cubaan untuk membisukan pemberi maklumat.

Terdahulu, pada 23 September 2020, Yubaraj Khadka, seorang pekerja Top Glove menerima surat penamatan kontrak selepas mendedahkan dua gambar tentang keadaan kilang yang tidak mengikut penjarakan fizikal.

Semalam, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) mengenal pasti empat fasilitinya terkesan akibat Covid-19 iaitu di Port Dickson; Negeri Sembilan, Sungai Puloh dan Shah Alam; Selangor dan Kulim; Kedah.

Pada 1 Disember lalu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dilapor akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Top Glove antara syarikat yang didapati melanggar peruntukan membabitkan penyediaan perumahan kepada pekerja.

Pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar dunia itu didapati melanggar peruntukan terhadap Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Untuk rekod, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) mencatat keuntungan bersih RM2.41 bilion bagi suku pertama berakhir 30 November 2020, 20 kali ganda lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya, sekali gus menjadi keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat itu.

Menurut JTKSM, sebanyak 19 kertas siasatan dibuka membabitkan enam kumpulan syarikat Top Glove.

Pihak JTKSM juga akan mengambil tindakan lanjut merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya manakala tinjauan di penginapan pekerja Top Glove yang terbabit dengan Kluster Teratai telah dilakukan.

Kluster Sungai Putus

Selain itu, Kluster Sungai Putus di Klang, Selangor juga mencatatkan kes jangkitan di kilang dengan jumlah positif Covid-19 mencecah 1,838 kes setakat 15 Januari lalu.

Saringan pekerja kilang bagi kluster tersebut semalam mengesan lagi 331 orang dijangkiti Covid-19.

Kluster Sungai Putus mula diumum sebagai kluster baharu pada 11 Disember lalu dengan kes-kes awal positif Covid-19 bagi kluster tersebut bermula pada 9 Disember 2020 hasil saringan bersasar di kilang itu.

Maklumat KKM sehingga 11 Disember lalu memberitahu 2,001 individu telah disaring dengan 427 kes telah dikesan positif Covid-19 iaitu 418 bukan warganegara dan baki sembilan lagi warganegara.