Mengapa Mahathir gelar Dong Zong rasis?

Mengapa Mahathir gelar Dong Zong rasis?

Tun Dr Mahathir yang sudah banyak makan garam tetapi sihat walafiat pada usia 94 tahun sudah menggelarkan Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) sebagai rasis.

Beliau menjadikan bantahan tegar pertubuhan yang menguruskan 60 Sekolah Tinggi Persendirian Cina itu terhadap ideanya pada tahun 1997 mengenai Sekolah Wawasan.

Dong Jiao Zong (DJZ) menolak konsep Sekolah Wawasan Idea yang meletakkan Sekolah Kebangsaan (SK) bersama-sama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah satu bumbung atau kompleks.

Idea Dr Mahathir demi menggalakkan interaksi yang lebih rapat antara kaum bagi tujuan integrasi dan perpaduan nasional itu ditolak oleh DJZ tanpa memberikan sebarang alasan mengapa mereka mengambil keputusan demikian.

Tidak hairanlah apabila Dr Mahathir memanggil DJZ sebagai rasis dengan antara lain berkata:

“Dong Zong ini rasis, kita buat Sekolah Wawasan letak SK, SJKC dan SJKT dalam satu kampus mereka tak mahu, takut anak-anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Dia (DJZ) tak suka orang Melayu, semua dia bantah tak pernah bersetuju dengan apa-apa pun.”

Kenyataan Dr Mahathir terhadap DJZ itu bukan didorong sentimen emosional semata-mata. Sudah ada bukti akademik membuktikan sikap DJZ, antaranya kajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) oleh Sia Keng Yek yang kemudian diterbitkan pada 2005.

DJZ sejak puluhan tahun bersikap dingin malah dilihat memerangi usaha kerajaan memupuk perpaduan nasional melalui pendidikan kebangsaan. Baca rumusan kajian Sia Keng Yek dalam bukunya, “SRJK (Cina) Dalam Pendidikan Kebangsaan – Dilema dan Kontroversi.” :

“… penentangan yang ditunjukkan oleh Dong Jiao Zong dan Hua Tuan terhadap pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan di SRJK (C) masih menjadi salah satu penghalang kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan integrasi nasional di bawah satu bumbung persekolahan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang tunggal.”

Malaysia Baharu pasca 9 Mei 2018 yang kita semua persetujui dibina hasil sikap berlapang dada rakyat menolak perkauman tidak harus apologetik dengan mana-mana entiti rasis.

Sepatutnya, pemimpin kerajaan merentas kaum dan parti sudah menyambut reaksi Perdana Menteri secara positif lagi bersifat “bina negara semula” yang kerap dicanang sebelum PRU-14 tahun lalu.

Sempena bulan kemerdekaan ke-62 negara ini, imbas kembali apa berlaku menjelang PRU 1999 dan PRU-14. DJZ ‘makan’ kedua-dua pihak sama ada MCA di pihak kerajaan dan DAP yang ketika itu di blok oposisi.

DJZ memaksa BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) hingga akhirnya terpampang dalam manifesto kedua-dua pihak.

Sejak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kali pertama dulu pun, DJZ sudah lama mendesak supaya UEC diiktiraf sebagai salah satu kelayakan bagi mengikuti Kursus Pengajian Cina di maktab perguruan.

Hinggakan Kementerian Pendidikan di Parlimen pada 1991 menyifatkan penubuhan badan-badan lain untuk menjalankan peperiksaan tertentu selain Lembaga Peperiksaan adalah di luar dasar Laporan Razak.

Sijil peperiksaan itu pun dianugerahkan oleh badan penilai dalaman yang tidak mempunyai autoriti dalam penggredan kualiti pendidikan negara.

Namun, serba tidak kena kerajaan dibuatnya alam melayan kerenah DJZ. Setiap keputusan berhubung pendidikan nasional akan ditafsir sebagai “mengandungi niat jahat untuk menghapuskan pelajaran Cina di negara ini” seperti terkandung dalam surat kepada Ahli-ahli Kabinet dan Calon Pilihan Raya Parlimen Malaysia, 29 April 1969 yang menolak Laporan Aziz berkaitan penyusunan semula Lembaga Pengelola SRJK (C).

Pada tahun 1988 pula, DJZ pernah mengemukakan cadangan yang amat radikal iaitu bahasa Cina diguna sebagai bahasa pengantar untuk melatih bakal guru SRJK (C) di maktab perguruan melainkan kursus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

DJZ juga selalu menganggap kerajaan tidak mengambil langkah positif dan tegas untuk mengatasi kekurangan guru terlatih di SRJK (C) tetapi apabila kementerian mencadangkan supaya memindahkan guru dari SK untuk mengajar Bahasa Melayu bagi mengatasi masalah itu, DJZ pula menolak dengan menganggap tindakan itu hanya penyelesaian untuk jangka pendek.

Bahkan, DJZ melarang kementerian menghantar guru yang tidak mahir dalam bahasa Cina ke SRJK (C) kononnya bimbang guru-guru dari SK yang tidak berkelayakan formal dalam bahasa Cina boleh menjejaskan identiti SRJK (C).

Nampak? Mana Dr Mahathir yang sudah masak dengan politik perkauman terus-terang memanggil DJZ sebagai rasis.

Sebelum PRU-14, PH memberi jaminan bahawa semangat Perlembagaan dijaga. Inilah masa untuk kerajaan PH menunjukkan buktinya. Jangan biar hanya Tun Mahathir dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik diserang bertubi-tubi oleh ejen DJZ termasuk sebahagian akhbar Cina dan Tamil.

Malaysia Baru tidak harus tunduk pada desakan pertubuhan rasis yang dipacu pula segelintir ahli politik cauvinis dan tidak fasih berbahasa negara lantaran bukan keluaran pendidikan kebangsaan yang menolak cita-cita perpaduan nasional.