Mengapa Mahiaddin merayu di Mahkamah Persekutuan? Ini fakta yang ramai belum tahu

Oleh WAN SITI AMINAH

Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapinya dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Notis rayuan tersebut difailkan oleh bekas Perdana Menteri terbabit di Mahkamah Persekutuan, semalam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company untuk merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Februari lalu itu.

Pada Rabu lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail telah sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Mahiaddin.

Panel yang turut dianggotai oleh Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah itu mendapati Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan tersebut tidak mendedahkan kesalahan Mahiaddin di bawah Akta SPRM 2009.

Hujahan perayu yakni pihak pendakwaan bahawa pertuduhan dihadapi Mahiaddin itu tidak cacat juga diterima oleh ketiga-tiga panel berkenaan di mana mereka semua berpendapat tuduhan tersebut adalah jelas dan tidak kabur, lapor Berita Harian.

Oleh yang demikian, panel terbabit memaklumkan tiada lagi keperluan daripada pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut bagaimana kesalahan berkenaan dilakukan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos tahun lepas membuat keputusan untuk membebaskan Mahiaddin di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah sebanyak RM232.5 juta bagi pihak Bersatu.

Hakim yang bertugas ketika itu, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan untuk membebaskan Mahiaddin selepas membenarkan permohonan dilakukan oleh pemimpin berkenaan dengan tujuan bagi membatalkan tuduhan ke atasnya.

Melalui afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Mahiaddin mendakwa empat pertuduhan itu adalah cacat malah tidak sah di sisi undang-undang kerana didapati bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Sekadar info, ahli politik berusia 77 tahun itu didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum ini kerana menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri kelapan untuk suapan RM232.5 juta dari tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi pihak Bersatu.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukannya di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 lalu.

Kes terhadap Mahiaddin yang masih berhadapan dengan tiga pertuduhan lain iaitu menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Mac ini.

Baca juga: Sultan Selangor zahir dukacita dengan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi