Mengapa masjid dikunci selepas solat Isyak?

Mengapa masjid dikunci selepas solat Isyak?

Hanya singgah di masjid sekitar jam 11 malam untuk menunaikan sembahyang Isyak, seorang remaja dipukul dengan besi sehingga berdarah dahinya gara-gara dituduh mencuri wang tabung masjid.

Adam Sufyan, 17, pada 26 Mac lalu singgah di masjid dekat Pekan Tanjung Karang, Selangor itu selepas bekerja di sebuah gerai nasi lemak berdekatan.

Motosikal miliknya diletak tidak jauh dari masjid dan masuk melalui celah pagar yang sudah rosak apabila didapatinya pagar utama depan dan belakang masjid itu berkunci.

Tentang masjid yang dikunci selepas waktu Isyak dan suis kipas cepat-cepat ditutup oleh ‘orang masjid’ selepas usai solat fardu berjemaah sudah menjadi lumrah.

Itu sebabnya bukan sedikit daripada kita lebih selesa singgah solat di surau disediakan stesen minyak Petronas.

Nasib malang menimpa Adam adalah cerminan tanggapan tipikal masyarakat kita tidak terkecuali orang masjid terhadap golongan remaja. Fasa usia sebegitu selalu dipandang dengan ekor mata prejudis walaupun mereka sendiri pernah menempuh usia muda.

‘Orang masjid’ pula (bukan semua, hanya segelintir – harapnya) lebih suka pukul rata dan berprasangka buruk kepada orang lain yang tidak berpenampilan seperti ‘ustaz’ seperti nasib menimpa Adam.

Mengapa tidak jawatankuasa masjid sepakat mengupah dua orang pengawal keselamatan atau paling tidak pun seorang selain memasang kamera litar tertutup (CCTV)? Kadar upah pun tidak perlu tinggi tetapi tidaklah terlalu rendah.

Jika kedai mamak boleh beroperasi 24 jam, mengapa tidak masjid?

Dalam ribuan ahli kariah, mustahil tiada walau seorang pun bekas tentera atau polis atau Rela tidak pun anggota ARiF bahkan Unit Amal yang mampu bertugas menjaga masjid selama 8 jam sepanjang tempoh masjid paling lengang.

Contohnya, mulai jam 9 malam iaitu waktu lazimnya, jemaah sudah ramai meninggalkan masjid selepas Solat Isyak, berwirid, berdoa, beriktikaf dan sembang-sembang geng pencen di kaki tangga masjid sehingga jam 5 pagi iaitu menjelang masuknya waktu Solat Subuh.

Sekali gus, ‘dasar buka pintu’ masjid ini membolehkan masjid diimarahkan 24 jam seperti ramai masyarakat Islam khususnya orang Melayu suka benar ‘mengimarahkan’ restoran mamak yang beroperasi tanpa henti walaupun status bersih lagi suci diragui.

Jadi, mulakan masjid dibuka 24 jam ini terlebih dahulu di kawasan bandar, tengah pekan dan dikelilingi kawasan padat penempatan.

Jika ada pengawal, ahli kariah boleh datang jam 3, 4 pagi untuk ibadat seperti sembahyang tahajud, contohnya, dalam keadaan lebih tenang dan aman.

Soal bil elektrik melambung tidak harus timbul. Tutuplah suis utama untuk penghawa dingin dalam usaha meminimumkan penggunaan tenaga. Hanya benarkan pasang kipas.

Mulai dari mimbar dan saf depan hingga ke tengah dewan solat, boleh saja ditutup. Rentang tali penghalang dan bentangkan dalam 10 helai sejadah, bawa beberapa kipas berdiri itu sekali sebagai penanda untuk saf pertama masjid untuk tempoh 9 malam hingga 5 pagi itu.

Gunalah duit tabung masjid. Duit tabung masjid bukan sedikit. Tambahan jika masjid di kawasan bandar dan taman perumahan ramai orang berpencen. Masjid di kawasan ini boleh dianggap ‘masjid kaya’.

Baru-baru ini, usai solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, jelas depan mata saya dari aras dua masjid melihat duit RM50 saja seinci tebal di tangan orang yang sedang mengira lambakan duit di atas bentangan sejadah.

Tidak pasti duit itu daripada beberapa tabung atau semua tabung sebab terlindung dengan tiang masjid. Itu pun baru tabung yang digerakkan dari satu jemaah ke jemaah lain.

Kalau tabung statik di hampir tiap dinding itu, tidak tahulah banyak mana wang yang telah berjaya dikumpulkan!

Di masjid lama dekat tapak Flat Pekeliling sebelah Bulatan Pahang, Kuala Lumpur walaupun sudah “hilang” ahli kariah – flat lama itu sudah diroboh untuk projek MRT – tetapi kutipan derma mingguan cecah ribuan ringgit. Angkanya ada ditulis di papan kenyataan. Itu dua, tiga tahun lalu. Sekarang, tidak tahulah.

Rata-rata masjid hatta di pekan kecil, hasil kutipan hari Jumaat saja untuk sebulan lazimnya begitu lumayan kalah pendapatan sebulan seorang jurutera baru bergraduan!

Jadi, apa guna ahli kariah menderma kalau tidak dipulangkan dalam bentuk membuka ruang memberi kemudahan untuk solat malam, kan?

Kalau masih soal duit jadi hitungan, buat saja tabung khas yang boleh dinamakan Tabung TABIM – Tabung Ibadat Malam.

Ini tidak. Maaf saya sebutkan, sesetengah masjid nampaknya kedekut sungguh untuk menghidupkan walau sebiji lampu di ruang yang bukan dewan utama masjid ketika berlangsungnya solat Jumaat.

Padahal, ada bahagian tertentu di sayap kanan kiri atau aras dua masjid sudah sedikit terlindung sekali gus gelap kelam tambahan jika cuaca di luar mendung.

Jawatankuasa masjid tidak fikirkah jemaah yang hadir itu ada yang rabun akhirnya menggagau mencari cermin mata selepas memberi salam!

Justeru, apabila kita membaca nasib malang Adam dipukul di dahi dengan besi, itu tidaklah “menghairankan”.

Itulah sebabnya, ‘orang masjid’ kita mesti berjiwa insani. Pintu pagar masjid mesti dibuka 24 jam. Masjid insani, ummah diberkati.

Bukannya kunci pagar masjid, pengawal keselamatan mesti ada antara jam 9 malam hingga 5 pagi.