Mengapa MCA perlu bertanding di PRK Tanjung Piai?

Mengapa MCA perlu bertanding di PRK Tanjung Piai?

Sudah menjadi resam pilihan raya, P165 Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi parti yang berasaskan kaum Cina iaitu MCA. Pada PRU-14 lalu, kerusi itu telah ditandingi oleh calon dari parti tersebut iaitu Datuk Sri Wee Jeck Seng tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu, Datuk Wira Dr. Md Farid Md Rafik.

Kini, kerusi itu menjadi rebutan dengan kehadiran PRK dan sekaligus benar-benar menduga keadaan MCA yang kini hanya tinggal satu kerusi Parlimen sahaja di seluruh Malaysia.

Ia berkenaan dengan hidup mati parti kaum Cina itu yang harus mendapatkan semula keyakinan dari pengundi kaum tersebut untuk mereka kembali berkuasa pada PRU15 nanti. Diakui dari segi pengaruh Wee di sekitar Parlimen Tanjung Piai masih berbisa kerana jasanya kepada pembangunan di sana.

Hakikat itu jelas dirasai oleh kaum Cina di sana yang masih meletakkan harapan untuk melihat Wee kembali ke medan pertarungan dengan dipilih semula sebagai ahli parlimen di kawasan itu. Dalam tinjauan yang dibuat, ternyata masyarakat Cina masih mengharapkan sesuatu yang menarik berlaku termasuk kemunculan semula Wee.

Tinjauan mendapati nama yang kini disebut kuat untuk dijadikan calon BN adalah Datuk Sri Mohamed Khalid Nordin iaitu bekas Menteri Besar Johor (sebelum PRU14). Secara langsung ia membuatkan harapan untuk MCA mencuba nasib pastinya terhapus.

Calon ‘heavy weight’ yang dinamakan seperti Khaled pastinya menyukarkan lobi yang cuba dilakukan oleh MCA untuk bertanding di kerusi tersebut. Pastinya MCA kini dalam dilema untuk membuat keputusan kerana rakan partinya Umno juga bersungguh untuk mencuba nasib di kerusi tersebut.

Realitinya apa yang diingini oleh masyarakat Cina di Tanjung Piai pastinya akan terkubur kerana keinginan Umno meletakkan calon akan menjadikan MCA tersingkir. Ia suatu keputusan yang mengecewakan dan boleh diakui perkara ini akan lebih rumit jika masyarakat Cina terus hilang kepercayaan terhadap MCA.

Kesannya besar apabila boleh dilihat sekiranya MCA memberi peluang kepada Umno untuk bertanding dalam PRK kali ini. Ia akan menimbulkan polemik bahawa MCA kini mula mengikut perintah suatu semangat kebangsaan Melayu Islam yang telah diwujudkan oleh pasukan Penyatuan Ummah.

Jika perkara itu berlaku, harapan untuk MCA cuba mendapatkan sokongan masyarakat Cina pada masa akan datang pastinya akan tipis. DAP yang kini memerintah bersama PH juga akan menjadi pilihan masyarakat Cina.

Persaingan semakin hari mencabar buat MCA. Keputusan MCA bertindak melawan kawannya Umno pastinya akan mengeruhkan lagi keadaan. Selain hanya tinggal satu kerusi Parlimen, MCA juga perlu untuk bersama dalam BN pada PRU15 akan datang agar dilihat sebagai komponen atau pasukan membawa suara semua kaum.

Pepatah ditelan mati mak diluah mati bapa memang sesuai kini ditujukan kepada MCA. Dalam congakan pasukan Penyatuan Ummah, mereka menggambarkan bahawa jika dihitung kerusi majoriti Melayu maka mereka mampu menguasai negara ini dengan majoriti mudah.

Dalam cakap-cakap penyokong mereka juga wujud kenyataan seperti itu. Ini bermakna Penyatuan Ummah tidak perlu memikirkan nasib yang dialami oleh MCA selaku parti yang mewakili masyarakat Cina dalam PRK kali ini.

Inilah masa Penyatuan Ummah mahu menampilkan diri mereka sebagai wira bangsa Melayu seperti gembar-gembur yang dijeritkan mereka selama ini. MCA pastinya mula berkira-kira berkenaan nasib mereka termasuk juga calon lama mereka Wee Jeck Seng di Tanjung Piai.

Kerusi yang mempunyai majoriti kaum Melayu itu pastinya mahu memperlihatkan calon Melayu melawan Melayu dan tradisi kerusi yang dimiliki oleh MCA pastinya terkubur. Mungkin akan ada perjanjian pertukaran kerusi yang akan berlaku khusus untuk PRK kali ini.

Perjanjian itu akan memerangkap MCA jika mereka cuba membuat tindakan sedemikian kerana masyarakat Cina hari ini akan melihat MCA lemah dan tidak mampu membawa nasib mereka. Sudah pastinya kempen MCA pada PRU15 nanti (sekiranya kerusi P165 hanya pinjaman untuk PRK) tidak akan diterima oleh masyarakat Cina kerana melihat MCA lemah.

Di sini berlakunya suatu lagi tontonan yang menarik apabila kita dapat melihat bagaimana MCA mengurus hal ini secara bijaksana laksana menarik rambut dalam tepung. Boleh dikatakan juga PRK kali ini benar-benar menduga maruah parti bintang tersebut.

Ada yang menarik dalam percaturan PRK kali ini dan sememangnya sokongan Cina dalam tinjauan mula merosot terhadap pemerintahan PH. Ini memberi peluang yang besar jika MCA mencuba nasib dalam PRK kali ini.

Jika MCA menang maka mereka berjaya membuktikan bahawa mereka masih relevan dan diterima di negara ini. Percaturan inilah yang sedang difikirkan oleh MCA ketika ini dalam kempen mendapatkan peluang bertanding.

Namun, satu tugas berat yang perlu dilakukan oleh MCA jika bertanding. MCA perlu meyakinkan mereka tetap utuh bersama Penyatuan Ummah kerana masyarakat Melayu hari ini sudah mulai ditanam dengan sifat kebangsaan yang tinggi dalam kempen Penyatuan Ummah baru-baru ini.

MCA juga perlu ingat sokongan Melayu juga diperlukan kerana ia akan mendorong bagi MCA mendapatkan kemenangan dalam PRK pada 16 November ini jika mereka bertanding. PH pula telah sebulat suara menyerahkan kerusi itu kepada parti komponen mereka, Bersatu.

Asas Bersatu yang berlatar belakangkan pribumi Melayu pastinya akan meletakkan Melayu sebagai calon. Hal ini merumitkan lagi pasukan BN untuk menyakinkan pengundi Melayu. Kita hanya perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

 

*Artikel ini terbit kali pertama dalam akhbar Mingguan Amanah, Bil 173.