Malaysia Dateline

Mengapa MPS tutup mata terhadap 308 kilang haram?

Kewujudan 308 kilang haram di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengundang tanda tanya memandangkan kilang terbabit beroperasi dengan memperoleh bekalan air serta elektrik.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berpendapat mustahil bagi PBT tidak menerima aduan daripada orang awam atau perseorangan jika berlaku aktiviti yang mencurigakan di kawasan mereka.

“Macam mana mereka (kilang) ini boleh dapat sambungan air dan elektrik. Bagaimana prosedur yang dilakukan mereka dalam proses mendapatkan bekalan ini.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dah tau operasi itu haram, kenapa tidak ambil tindakan,” dipetik BH.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebanyak 308 kilang daripada 6,000 yang berada dalam kawasan pentadbiran MPS disahkan beroperasi secara haram.

Menurutnya, ada penduduk datang memberi aduan dengan butiran-butiran lengkap termasuk dalang yang terbabit contohnya ketika berlaku pencemaran di Sungai Semenyih.

“Tetapi adakah aduan itu diambil tindakan serta-merta. Saya pelik kenapa PBT seolah-olah seperti tutup sebelah mata kerana lesen dan permit yang sah adalah salah satu punca pendapatan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata, walaupun hanya sekitar lima peratus daripada 6,000 kilang yang terbabit, tetapi jika membabitkan bahan kimia bertoksik, ia memberi implikasi besar.

“Seperti pencemaran di Sungai Selangor, ia memberi kesan besar kerana sungai ini membekalkan 60 peratus bekalan air kepada penduduk Lembah Klang,” tambahnya lagi.