Mengapa Pas tidak calonkan Raja Iskandar?

Mengapa Pas tidak calonkan Raja Iskandar?

Tindakan Pas mencalonkan 'orang luar' bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan mengetepikan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kangsar Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yacob dianggap sebagai 'menolak tuah'.

Tindakan Pas mencalonkan ‘orang luar’ bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan mengetepikan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kangsar Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yacob dianggap sebagai ‘menolak tuah’.

Dr Raja Iskandar yang juga kerabat diraja Perak bukan sahaja dianggap sebagai calon mampu menang (winnable) malah disukai (likeable) kerana dikenali ramai dengan watak yang mesra termasuk dengan ‘orang Umno’.

“Malam pengumuman calon Pas sudah dijangka bahawa Dr Raja Iskandar ditolak oleh pimpinan Pas Perak dan Pas Pusat dengan meletak calon luar sebagai taruhan Pas pada PRK Kuala Kangsar ini.

“Kenapa Pas tolak tuah untuk mengalahkan BN dan PAN (Amanah) dalam PRK pada 18 Jun ini dengan meletak risiko besar untuk tewas sekali lagi dengan meletak calon wanita untuk melawan wanita BN,” ujar seorang penyokong Pas dalam emelnya kepada pemberita Malaysia Dateline.

Beliau berharap Dr Raja Iskandar ‘tidak merajuk’ dan membawa diri ke luar negara akibat permainan licik beberapa pemimpin Pas yang bimbang dengan pengaruh dan ketokohan beliau.

“Dinasihatkan juga agar semua Pas Cawangan bergerak macam biasa walaupun bukan Dr Raja Iskandar menjadi calon kerana Haji Razman Zakaria, PJ Pas Perak akan sentiasa berada di Kuala Kangsar nanti,” ujar beliau.

Pas pada 27 Mei lalu mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calon parti itu bagi PRK P067 Kuala Kangsar.

Najihatussalehah ialah lulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Malaya (1992) dan dilahirkan di Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri.

Sebelum ini, beliau pernah bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri N32 Belanja pada Pilihan Raya ke-13 namun tewas kepada Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dari BN.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan nahas helikopter yang melibatkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

BN mencalonkan balu Allahyarham Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar, Datin Mastura Mohd Yazid pada PRK itu.

Pakatan Harapan dijadual mengumumkan calon bagi PRK Kuala Kangsar pada 2 Jun ini.

TAGS