Mengapa pelajar berhenti sekolah?

Oleh KIM SYAZIE

Amat mengejutkan apabila dilaporkan bahawa seramai 21,316 pelajar di negara ini telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai tahun ini, satu angka yang sangat besar. Apa sudah jadi sebenarnya?

Dengan beberapa hari saja lagi akan memasuki tahun baharu 2022, khabar mengejutkan ini sudah pasti memberi kesan kepada pembangunan modal insan kerana ia melibatkan pendidikan generasi pewaris negara.

Adakah ia berpunca daripada bebanan pelajar yang semakin tidak rasional seperti subjek-subjek yang banyak dalam sehari, hukuman-hukuman yang dikenakan mahupun tugasan yang tidak mampu dilaksanakan hingga menghilangkan minat atau keupayaan mereka untuk meneruskan belajar di sekolah?

Permasalahan keluarga yang tidak dapat dibendung oleh mereka hingga memaksa pelajar tersebut berhenti juga boleh menjadi faktor yang perlu diperhalusi.

Tidak terkecuali, ada juga yang berhenti sekolah bukan kerana kerelaan sendiri, terpaksa membantu ibu bapa mencari duit untuk menampung kehidupan keluarga. Kerana pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia merubah segalanya.

Pada sisi lain, dapat dilihat ibu bapa seakan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem pendidikan yang ada di negara ini.

Suara mantan Menteri Pendidikan

“Apakah yang telah berlaku kepada Malaysia?” soal mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melalui ciapan Twitter.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, terkejut dan terkilan apabila mendapati sejumlah 21,316 pelajar di negara ini telah berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai tahun ini.

“Ya Allah, selamatkanlah negara dan bangsaku daripada ketidaktentuan masa hadapan dek kebobrokan para penguasa yang ‘jadong’ (gabungan perkataan jahat, bodoh dan sombong),” tambahnya.

Beliau memberikan respons demikian dengan melampirkan jawapan bertulis Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad di Parlimen.

Benarkah?

Sebagaimana dilaporkan media, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pelbagai langkah bagi menurunkan kadar keciciran pelajar.

Ini termasuklah menggerakkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengesan pelajar yang tidak hadir semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan semasa sesi pembelajaran di sekolah ketika sekolah dibuka semula.

“KPM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan sokongan psikososial melalui pelbagai kaedah serta mengadakan perbincangan antara pihak sekolah dan ibu bapa atau penjaga pelajar bagi mengenal pasti sebab serta langkah untuk menangani pelajar yang kurang minat untuk belajar.”

Terdahulu, KPM mendefinisikan keciciran daripada sistem pendidikan sebagai situasi yang mana murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat atau menghabiskan tempoh pendidikan.

Justeru, jika diteliti dengan maklum balas yang diberikan oleh pihak kementerian itu, tindakan yang lebih menyeluruh dan bersasar perlu dilaksanakan agar dapat kembali menarik minat pelajar untuk bersekolah.

Segera tangani, laksanakan kajian

Apa yang pasti, dalam situasi ini, tidak wajar guru yang dipersalahkan, tetapi pihak KPM khususnya seharusnya membuat kajian yang terperinci agar isu berhenti sekolah ini dapat ditangani dengan segera. Jika tidak, angka pelajar yang berhenti akan terus menaik.

Seharusnya sistem dan dasar sesebuah kerajaan akan membantu membangunkan sosio ekonomi rakyat dan negara, bukan membantutkan perkembangan dan kemajuannya.

Rejuvenasi (peremajaan) pendidikan negara dan pelan pemulihan pendidikan perlulah dilaksanakan segera agar memberikan kesan munasabah lagi rasional serta tidak membebankan para pendidik mahupun pelajar.

Teruslah mengajak pelajar dengan penuh hikmah dan muhibah, bukan dengan gertakan dan hukuman untuk menarik kembali mereka belajar di sekolah, kerana mereka adalah generasi yang akan mencorakkan negara ini pada masa hadapan.


Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia