Malaysia Dateline

Raja Kamarul Bahrin Shah

Mengapa pembunuhan 139 pelarian Rohingya di Wang Kelian tidak disiasat?

USUL yang telah dicadangkan di Parlimen untuk membahas isu pelarian Rohingya pada tahun lepas telah ditolak tanpa menerima sokongan dari pihak BN. Dengan pendedahan cubaan menutup pembunuhan terancang pelarian di Wang Kelian, yang juga melibatkan pelarian Rohingya, suatu persoalan baru telah timbul.

Adakah penolakan untuk membahas isu pelarian Rohingya dari Myanmar di Parlimen tahun lepas ada kaitan kerana khuatir terbongkar rahsia pembunuhan beramai-ramai di Wang Kelian?

Pembongkaran oleh NST tentang pembunuhan di Wang Kelian yang cuba ditutup oleh pihak berkuasa menimbulkan persoalan besar yang serius tentang aktiviti perdagangan manusia Malaysia yang bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Mengapa isu pembunuhan beramai-ramai pelarian Rohingya di Wang Kelian cuba ditutup dan kenapa usul berhubung pelarian Rohingya di Parlimen juga ditolak? Rakyat ingin tahu adakah kedua-dua isu ini ada kaitan dan pihak berkuasa bimbang akan terbongkar?

Mengikut laporan terbaru NST, aktiviti penyeludupan manusia dari Myanmar di sempadan Malaysia-Thailand kembali aktif sekarang. Tindakan pihak berkuasa memusnahkan perkhemahan haram pelarian tersebut menimbulkan tanda tanya bukti apakah yang mereka ingin sembunyikan?

Ini menimbulkan tanda tanya sekali lagi apabila usul pelarian Myanmar dan Rohingya di Parlimen di tolak tetapi Umno dan Pas boleh pula mengadakan perhimpunan di Stadium Mini Titiwangsa beberapa hari selepas itu berkaitan isu yang sama.

Apakah yang kerajaan takut disoal jika perbahasan terbuka diadakan di Parlimen? Adakah kaitan sindiket penyeludupan perlu dilindungi? Adakah tuduhan ada pihak berkuasa dan orang atasan terlibat dalam sindiket penyeludupan menyebabkan tragedi itu ingin ditutup?

Laporan NGO antarabangsa dan PBB telah lama mengaitkan pihak berkuasa Malaysia dengan penyeludupan warga asing di sempadan dan mayat dari pembunuhan beramai-ramai di Perlis adalah bukti jelas ianya berlaku.

Apa ertinya perhimpunan besar-besaran untuk Rohingya di Stadium Mini Titiwangsa dan pelancaran Flotila oleh Umno dan Pas jika perdagangan dan pembunuhan pelarian Rohingya berlaku di sempadan Malaysia tanpa pembelaan?

Jelas terbukti 139 mayat yang dijumpai di Wang Kelian adalah dari sindiket haram yang mengenakan bayaran penyeludupan di antara RM2,500 dan RM3,500 untuk seorang.

Permohonan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal mendapat apa-apa maklumat dan mereka terpaksa meminta maklumat dari pihak berkuasa Thailand.

Majlis Peguam (Bar Council) pula mendesak siasatan Diraja diadakan ke atas tragedi 139 mayat yang dijumpai dan percubaan untuk menutup rahsia penemuan mayat-mayat tersebut.

Bukankah lebih baik pelarian bot Rohingya melalui laut dibenarkan masuk ke Malaysia dan bukan dihalau, daripada mereka dibawa masuk secara haram melalui sempadan Malaysia-Thailand?

Kami menuntut Kerajaan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Diraja bagi menyiasat tragedi di Wang Kelian bagi memastikan ianya tidak berulang lagi.

Kami juga menuntut sidang khas Parlimen bagi membahas masalah pelarian kaum Rohingya dan masalah perdagangan manusia di Malaysia.

Ini mesti diadakan dengan segera bagi membersihkan nama Malaysia di dalam kedua-dua isu tersebut.
___________________

Raja Bahrin Shah ialah Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu.