Mengapa pemimpin BN terima syarat asal ECRL?

Mengapa pemimpin BN terima syarat asal ECRL?

Penasihat Perdana Menteri mengenai media dan komunikasi, Datuk A Kadir Jasin mempersoal kewajaran kepimpinan kerajaan terdahulu memeterai perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencecah RM66.7 bilion.

Menurutnya, negara akan menanggung kos pembinaan yang sangat tinggi jika ECRL diteruskan mengikut perjanjian tahun 2016.

Namun, pembatalan projek mega itu, jelasnya, akan menyebabkan Malaysia berisiko diheret ke mahkamah timbang tara antarabangsa dan jika kalah terpaksa membayar ganti rugi hingga RM20 bilion.

“Kita tidak dapat apa-apa sebaliknya membakar RM20 bilion dan bagi habuan percuma kepada China.
Soal yang kita patut tanya ialah mengapa pemimpin Barisan Nasional (BN) merundingkan dan menerima syarat yang sedemikian rupa?

“Bukan itu sahaja, kalau kita batalkan projek itu, perhubungan dengan China tentu akan menjadi keruh dan ini boleh memberi kesan buruk kepada perdagangan dua hala,” dipetik dari artikelnya di Sinar Harian.

Sehubungan itu, Tokoh Wartawan Negara itu berkata, kerajaan melantik Tun Daim Zainuddin sebagai wakil Malaysia sebagai perunding antarabangsa memandangkan pengalaman dan hubungan akrab dengan China.

“Boleh jadi banyak orang tidak tahu bahawa sejak usia dua puluhan lagi Daim telah mula terlibat dengan penyelesaian krisis politik, bermula dengan krisis Sarawak pada tahun 1966, dan seterusnya menjadi wakil perunding belakang tabir bagi banyak isu dan masalah yang dihadapi oleh negara.

“Hasil rundingan Daim itu adalah Perjanjian Tambahan yang lebih baik di mana kos dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu 32.8 peratus atau penjimatan sebanyak RM21.5 bilion. Kos setiap kilometer dikurangkan daripada RM95.5 juta kepada RM68.6 juta,” ujarnya.

Walaupun jarak laluan ECRL dikurangkan kepada 640 kilometer, jelasnya, tetapi ia melalui lebih banyak negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Laluan baharu ini mengelak sebahagian besar Banjaran Titiwangsa maka dengan itu mengurangkan kesan buruk ke atas alam semula jadi dan biosfera Orang Asli,” tambahnya lagi.