Malaysia Dateline

Mengapa Pengerusi LKIM termenung?

Faiz serius mendengar status pusat ternakan di Pagoh yang tidak beroperasi sejak 2015.

Sejumlah huruf pada papan tanda Pejabat Pusat Ternakan Ikan Berdensiti Tinggi di Pagoh, Muar sudah tertanggal.

Dua logo dengan di tengahnya ialah Jata Negara di atas paparan nama Kompleks Bimbingan Usahawan Tani itu juga sudah ghaib.

Hanya lambang Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sebelah kanan masih ada. Itu pun warnanya sudah luntur.

Hari ini Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil termenung di pintu masuk kompleks yang terletak di tengah kawasan penanaman kelapa sawit di Jalan Muar-Labis memerhatikan papan tanda nama tersebut.

Apa yang mungkin Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu fikirkan ketika lawatannya di pusat ternakan tersebut?

Tentunya sedang membayangkan pembaziran prasarana yang ditanggung oleh kerajaan selepas pusat ternakan itu sudah tidak beroperasi sejak empat tahun lalu.

Sehubungan itu, Faiz mahu tapak tersebut ‘bernyawa’ kembali dengan kerjasama pihak swasta bagi mengelak kerugian wang negara berterusan.

Beliau berpendapat langkah itu dapat membuka peluang pekerjaan ketika majoriti penduduk Pagoh merupakan pekebun kecil dengan sebahagiannya adalah nelayan.

Mereka tinggal di 65 kampung, empat kawasan Felcra dan sebuah tanah rancangan Felda selain tinggal di pekan-pekan kecil.

“Tapak ini perlu dioperasikan bagi meningkatkan bekalan ikan di pasaran selaras dengan Hala Tuju MOA yang ditetapkan Menteri MOA YB Dato’ Salahuddin Ayub,” katanya.

Untuk rekod, Pagoh memiliki kira-kira 70,000 penduduk dengan 50,000 daripadanya atau 65 peratus adalah kaum Melayu, manakala Cina 22 peratus, India tiga peratus manakala satu peratus kaum-kaum lain.

Lokasi pusat ternakan ikan di Pagoh yang dikelilingi kawasan penanaman kelapa sawit.

 

Beroperasinya pusat ternakan itu bakal membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.