Malaysia Dateline

Mengapa perlu api-apikan sentimen kaum, agama di saat rakyat sedang susah?

Mengapa perlu mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, soal Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim apabila bantuan yang beliau sampaikan kepada rakyat di kawasannya cuba dikaitkan dengan isu perkauman.

Menurut Ahli Parlimen DAP itu, rakyat sudah susah dan cukup merana kerana COVID-19 sehinggakan ramai yang hilang pekerjaan, gaji dipotong malah ada perniagaan sudah ‘gulung tikar’.

“Dulu mereka kecam Dato’ Lee Chong Wei kerana menderma laptop kepada anak-anak orang susah melalui program anjuran pejabat saya, sekarang ada yang nak heret isu kaum dan agama dalam soal kebajikan.

“Orang politik yang sudah ada kuasa, mengapa masih mahu membakar negara dengan isu kaum dan agama? Mengapa mereka bersungguh-sungguh nak pecah-belahkan rakyat Malaysia?” soal beliau.

Tugas sebagai wakil rakyat bagi Steven Sim dia perlu membantu rakyat susah tanpa mengira kaum dan agama.

“Kadang kala, orang susah luar kawasan datang, saya tak sampai hati nak tolak, saya bantu juga sedaya upaya setakat yang mampu.

“Saya bantu bukan kerana saya hebat atau kaya – ramai lagi yang jauh lebih hebat dan pandai daripada saya.

“Jauh sekali keluarga saya boleh dianggap sebagai kaya. Tapi semua ini saya buat demi menunaikan amanah berat yang telah diberi,” ujarnya.

Beliau sedih apabila ada tuduhan mengatakan beliau hanya membantu Cina sahaja, Melayu sahaja.

“Sungguh sedih mengapa masih ada pandangan begini. Orang yang saya bantu, ada Cina, Melayu, India bahkan saya tak pernah tanya orang yang dibantu itu kaum apa, agama apa, parti politik apa,” katanya.

Apa yang menyedihkan lagi ada yang mengatakan beliau mempunyai agenda agama yang mengaitkan agama yang dianutinya.

“Mengapa perlu libatkan agama saya? Bagiku agamaku, bagimu, agamamu. Harapan saya ialah, yang Islam jadi Muslim yang lebih baik, yang Kristian jadi Kristian yang lebih baik, yang Buddha jadi Buddha yang lebih baik, yang Hindu jadi Hindu yang lebih baik, kita semua jadi manusia yang lebih baik, nescaya Malaysiaku aman sentosa,” katanya melalui facebook.

Fitnah dan cemuhan yang dilemparkan kepadanya tidak sekali-kali menyekat khidmat beliau kepada masyarakat.

“Saya tetap akan bantu semua tak kira kaum dan agama. Ini ikrar saya dulu semasa dipilih sebagai wakil rakyat.

“Kalau saya gagal, saya tidak berani berdepan rakyat nanti. Lagi menggerunkan, kalau saya gagal, saya akan terkelu di depan Tuhan yang akan menyoal segala perilaku atas amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Semenjak Steven Sim menyantuni seorang ibu tunggal Melayu Islam dengan menyediakan sebuah rumah yang selesa selepas dihalau keluar rumah kerana tidak membayar sewa, beliau mendapat perhatian ramai malah ada yang memuji tindakan drastik beliau menolong ibu tunggal terbabit.

Bukan itu sahaja, beliau turut membeli sebuah motorsikal kepada seorang pemuda Foodpanda berbangsa Melayu yang sebelumnya hanya berbasikal.

Ekoran itu ada pihak telah membanding-bandingkan bantuan yang diberikan Steven Sim dengan bantuan yang diberikan oleh Ahli Parlimen berbangsa Melayu.