Malaysia Dateline

Mengapa PH boleh menang PRK Kimanis

Setelah PRK Tanjung Piai melabuhkan tirainya dengan keputusan yang memeranjatkan, perhatian kini beralih semula ke Sabah, khususnya ke Parlimen P.176 Kimanis.

Kejayaan yang diraih MCA di Tanjung Piai menjadi pembakar semangat pakatan pembangkang untuk mempertahankan kerusi parlimen Kimanis yang merupakan kerusi tradisi Umno sejak 20 tahun yang lalu. Meskipun selepas PRU-14, Datuk Seri Anifah Aman keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas, ia tidak menafikan bahawa sememangnya Kimanis adalah kepunyaan Umno

Berdasarkan sentimen yang hangat didebatkan oleh rakyat Malaysia, seakan-akan Kimanis bakal dirampas semula oleh BN. Ditambah pula dengan faktor bilangan undi majoriti parlimen Kimanis pada PRU14 terlalu tipis, telah menambah keyakinan pembangkang akan kemenangan sedang berada dalam genggaman mereka selain faktor sokongan daripada Pas dan PBS.

Namun demikian, atas beberapa faktor, PH masih berpotensi untuk memenangi PRK Kimanis.

Keberkesanan Momentum Pembangkang di Sabah

Kejayaan besar di Tanjung Piai memberi makna yang signifikan bagi pembangkang kerana bukan sahaja berjaya merampas kerusi tersebut daripada PH tetapi memperoleh undi dan majoriti yang besar.

Ia susulan daripada protes orang Melayu yang merasakan Islam semakin terancam di bawah pemerintahan PH manakala kaum Cina pula bengang dengan sikap kerajaan yang tidak menepati janji-janji PRU. Disokong pula oleh pakatan Muafakat Nasional sebagai penambah perisa dalam masakan.

Walau bagaimanapun, jika diperhatikan corak pengundian pilihanraya di Sabah dalam tempoh 20 tahun ini, momentum yang dibawa oleh pembangkang dalam tiga PRU tidak membawa kesan yang besar terhadap pengundi kecuali pada PRU-14 apabila tertubuhnya parti Warisan dengan agenda memperjuangkan hak-hak Sabah yang dilihat sebagai alternatif kepada parti tempatan Sabah ketika itu.

Perkara yang perlu kita akui adalah, budaya politik di Sabah tidak sama dengan di Semenanjung Malaysia. Lihat sahajalah penerimaan terhadap sesuatu isu nasional, sangat berbeza di Semenanjung dan Sabah.

Contohnya isu ketuanan Melayu yang tidak terpakai di Sabah. Sebagaimana isu perlantikan ketua hakim negara, Kongres Maruah Melayu, apatah lagi isu-isu yang melibatkan kaum dan agama.

Bahkan isu-isu nasional tidaklah begitu mendapat tempat dalam kalangan warga Sabah termasuklah isu 1MDB kerana mereka lebih mengutamakan kepentingan hak-hak negeri Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Rata-rata pengundi di Sabah memilih PH bukan kerana isu 1MDB tetapi sebaliknya mahukan perubahan kerajaan supaya aspirasi mendapatkan hak-hak mereka diperjuangkan oleh kerajaan baharu.

Kecenderungan untuk mengundi parti yang kuat seperti Warisan juga tinggi kerana tiada apa yang boleh diaharapkan kepada BN kerana BN kini Cuma hanya ada satu kerusi parlimen sahaja iaitu Kinabatangan. Selainnya adalah PBS, PBRS dan STAR.

 Agenda MA63

PRK Kali ini, Warisan dan BN masing-masing membawa agenda MA63 tetapi sejauh mana keberkesanan agenda tersebut di peringkat persekutuan?

Sekiranya Warisan diberi mandat, sudah tentu ada sedikit harapan kerana ia lebih mudah mempengaruhi keputusan di peringkat persekutuan atas dasar hubungan baik kerajaan negeri dan persekutuan.

Seandainya BN yang menjadi pilihan, pengundi juga sudah tentu tidak akan lupa tindakan pembangkang menggagalkan usaha mengembalikan status Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung pada April tahun lalu. Hakikatnya, agenda MA63 yang dibawa oleh pembangkang akan dilihat sebagai sebuah retorik semata.

Kesukaran yang dialami oleh PBS sewaktu menjadi kerajaan negeri pada 1985-1994 menjadi bukti bahawa kerajaan negeri yang tidak pro-persekutuan bakal berdepan cabaran getir dalam memperjuangkan agenda MA63 yang dilihat sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kemunculan Bersatu di Sabah

Kemunculan Bersatu (PPBM) di Sabah juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada bilangan sokongan pengundi di Kimanis kali ini. Komposisi kerusi parlimen Sabah yang awalnya terbahagi kepada (PH) 15 – 10 (Pembangkang) kini berubah menjadi (PH) 20 – 4 (Pembangkang) selepas 5 ahli parlimen UMNO menyertai PPBM.

Dalam hal ini, kerajaan negeri yang pro-persekutuan lebih memberi kelebihan dalam urus tadbir negeri Sabah. Maka, mengundi calon pembangkang secara tidak langsung tidak memberi apa-apa makna dalam mempengaruhi polisi kerajaan di peringkat persekutuan melainkan ahli parlimen tersebut memilih untuk menyokong agenda yang dibawa oleh PH di parlimen.

Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah bagi pengundi untuk memilih calon BN sekiranya calon tersebut adalah seorang yang amat berpengaruh, berkarisma dan dikenali ramai seperti Datuk Bung Mokhtar atau Tan Sri Musa Aman. Tokoh politik sebegini lebih memberi keyakinan kepada pengundi kerana pengalaman mereka dalam politik.

Kehendak Terhadap Perubahan

Warga Sabah amat jarang mengambil keputusan besar dalam politik namun apabila mereka memilih, mereka akan mempertahankan keputusan tersebut. PRU14 menyaksikan swing luar jangkaan dilakukan dalam sejarah politik Sabah. Dalam 3 siri PRU (2004, 2008 & 2013) di parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman mengekalkan majoriti melebihi 5,000 undi tetapi pada PRU14, hanya 156 undi.

Untuk menolak seorang tokoh politik veteran di Sabah dalam pilihanraya bukanlah mudah apatah lagi beliau merupakan orang penting di Persekutuan tetapi atas dasar kesungguhan dan kehendak terhadap perubahan, mereka beralih menyokong Warisan.

PRK Sandakan juga demikian. Walaupun dihujani pelbagai asakan isu-isu panas, pengundi tetap memilih untuk mengekalkan PH.

Kali ini Kimanis menjadi medan pengukur sama ada warga Sabah bakal mabuk dibuai ombak sentimen yang bertiup dari Semenanjung seterusnya memilih pembangkang, atau mereka akan mengekalkan budaya politik yang unik dan tersendiri yang bersifat lokal.

Segalanya boleh berubah dan ia akan terjawab dalam peti undi pada 19 Januari nanti.